
Hidup ini perlu banyak bertoleransi, memudahkan orang lain, bukan bererti akan jatuh darjat atau kedudukan kita, tetapi sikap itu mencerminkan betapa besarnya jiwa dan keikhlasan hati seseorang itu.
Bagi memudahkan pesakitnya mendapat rawatan, seorang doktor dan jururawatnya di Poliklinik Dinar, Seksyen 7 Shah Alam, menyantuni seorang pesakit strok yang perlu mengambil darah di dalam kereta kerana pesakit itu tidak boleh berjalan dan agak lemah.
Demi memastikan pesakit strok berkenaan mendapat rawatan terbaik, mereka sanggup pergi ke kereta dan melaksanakan prosedur ambil darah di situ juga.
Kisah kecil ini bukan sahaja menyentuh hati, malah menjadi contoh bahawa kebaikan dan keprihatinan harus bermula dari diri kita sendiri dan bukan tertakluk pada prosedur dan peraturan tertentu.


Menurut Dr Shidah, dari Poliklinik Dinar Shah Alam, inilah kali pertama beliau dan jururawatnya berpeluang membuat prosedur pengambilan darah dalam kereta di hadapan klinik mereka.
"Pengalaman ini yang pertama bagi saya dan ia satu cara membantu pesakit yang sukar untuk dibawa ke klinik kerana masalah tertentu seperti tidak boleh berjalan atau lemah. Sebagai perawat saya akan cuba memudahkan pesakit dan memberi mereka rawatan yang terbaik."
Sementara itu, Poliklinik Dinar, yang baru beroperasi dua bulan di kawasan perumahan Platinum Seksyen 7, Shah Alam, kini menjadi tumpuan penduduk setempat kerana menawarkan rawatan mesra dan prihatin serta suasana klinik yang tenang. Penduduk menyambut baik kewujudan Klinik yang ditunggu penduduk sejak 20 tahun lalu
“Sebelum ni, dah hampir 20 tahun kami tunggu ada klinik dekat sini. Bila Poliklinik Dinar dibuka, depan kawasan perumahan kami pula, memang kami rasa sangat gembira.
"Memang sangat memudahkan kami di kawasan ini. Boleh jalan kaki je untuk ke klinik. Kalau ada emergency pun dekat sangat ” kata salah seorang penduduk.

Menurut Dr Shidah, sejak pembukaan klinik berkenaan, jumlah pesakit meningkat setiap hari. Kebanyakan yang mengunjungi klinik berkenaan adalah penduduk perumahan Platinum Seksyen 7 yang berdekatan,
Selain lokasinya yang strategik, layanan mesra dan ramah daripada staf klinik turut menjadi faktor utama tarikan penduduk untuk mendapatkan rawatan di sini.
Klinik ini dibuka jam 8 pagi setiap hari. Bagaimana pun perkhidmatan " house call" atau datang ke rumah pesakit yang berdekatan buat masa ini belum dapat dilaksanakan.
Beliau memberitahu, "Buat masa sekarang hanya dua doktor yang bertugas di klinik Dinar ni, saya dan Dr Zaki. Kami bergilir-gilir merawat pesakit dan pesakit semakin bertambah.
"Perkhidmatan berkenaan masih belum dapat dilaksanakan kerana pesakit di klinik pun ramai dan untuk lawatan ke rumah atau house call boleh dipertimbang jika sangat memerlukan, Tapi buat masa sekarang belum dapat dijalankan kerana tak cukup doktor untuk menjalankan perkhidmatan berkenaan," jelasnya.
Perkhidmatan klinik yang mesra pesakit dan pelanggan serta memudahkan pesakit melalui prosedur kesihatan, adalah antara ciri klinik yang akan mendapat sambutan ramai .
Ini kerana orang yang sedang dalam kesakitan atau kurang sihat memerlukan perkhidmatan mesra dan prihatin. Mereka juga sangat memerlukan rasa tenang dan damai bila berurusan dengan pihak klinik.
Justru, bila ada klinik yang mesra pelanggan sudah tentu tarikannya lebih baik berbanding klinik yang hanya mengutamakan keuntungan tanpa ada rasa keprihatinan kepada pelanggan mereka. - KitaReporters

Suasana tenang dan damai dalam Poliklinik Dinar.