Insan & Komuniti 17 Jun, 2025

Memoir kenduri merewang! Pengantin baharu terkesan! Gotong royong saudara mara, penduduk kampung!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Penduduk Kampung Anak Kurau, Taiping, Perak mempraktikkan merewang sempena majlis perkahwinan anak saudara Mohamad Nazri Ja'ai.


Rewang yang bermaksud gotong-royong. Pada majlis perkahwinan rewang membawa maksud jiran tetangga dan ahli keluarga yang membantu menjayakan majlis perkahwinan terutama dari segi penyediaan makanan untuk tetamu jemputan.

Amalan itu sudah dilakukan oleh orang Melayu sejak zaman berzaman dan ia amat sinonim dengan masyarakat veteran atau orang lama amat menyukainya kerana dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan serta menambah kemeriahan majlis perkahwinan diadakan itu.

Bagi mereka yang tinggal di kampung pedalaman, merewang menjadi pilihan untuk dianjurkan terutama dalam usaha mengeratkan hubungan dengan sanak saudara dan jiran sekampung supaya kemeriahan majlis diadakan itu turut dinikmati mereka sekali gus mengikis jauh sikap mementingkan diri sendiri.

Mohamad Nazri Ja’ai dari Kampung Anak Kurau, Taiping, Perak, berkata selain mempraktikkan semula amalan merewang itu dan dia turut selit tema moden dan klasik untuk majlis perkahwinan anak saudaranya, Nur Fatini Mohamad Saad dengan pasangannya Luqman Harish, pada 31 Mei 2025.


Penduduk kampung bergotong-royong memasak 120 kilogram gulai daging.


Menurutnya, bermula jam tiga petang sehari sebelum majlis perkahwinan orang kampung sudah mula datang merewang bagi melakukan kerja memasang khemah, menyusun kerusi dan meja makan, membersihkan kawasan, menyediakan tungku dapur untuk memasak dan sebagainya.

Beliau berkata, pada hari perkahwinan itu berlangsung, dia sudah mengingatkan saudara mara dan jiran sekampung untuk hadir ke rumahnya pada awal pagi bagi bergotong-royong memotong dan memasak gulai 120 kilogram daging dan diikuti membersih 80 ayam untuk dimasak kicap.

Tambahnya, merewang itu juga membabitkan kaum wanita untuk membantu melakukan tugasan menyusun peralatan dapur yang akan digunakan seperti kawah, periuk, tong bagi memasak nasi minyak dan nasi putih, bekas minuman serta hiasan meja makan pengantin di samping tetamu.

Jelasnya, apabila memasak gulai daging kaum wanita dan lelaki berganding bahu melakukan kerja menumis, memotong bawang, nenas untuk dibuat pajeri serta keladi yang dimasak asam pedas di samping menyediakan lauk iringan iaitu mengoreng ikan masin, membuat sambal belacan dan membersihkan ulam-ulaman. 


Kaum wanita berbaju kurung Kedah dan berkain batik dengan bertudung atau berselendang menyeri majlis perkahwinan Nur Fatini dan Luqman pada 31 Mei 2025.


“Pada pagi majlis suasana amat meriah serta riuh rendah dengan usik-mengusik ketika merewang dilakukan namun begitu masing-masing sedar semua masakan itu perlu siap dimasak sebelum jam 11 pagi kerana setengah jam selepas itu tetamu sudah mula hadir,” ujarnya.

Mohamad Nazri, berkata bersesuaian dengan tema moden dan klasik, kaum wanita yang hadir pula digalakkan untuk mengenakan baju kurung Kedah dan berkain batik dengan berselendang atau bertudung yang mewarnaikan lagi kemeriahan majlis persandingan anak saudaranya itu.

Terangnya, situasi itu memang menarik perhatian rombongan pengantin lelaki yang datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan dan Terengganu dengan memakai pakaian bertemakan hitam dan putih berarak mengiringi ke pelamin persandingan.


Ibu kayu rebus dengan sambal bilis dan kelapa parut turut dihidangkan untuk tetamu.


Tambahnya, selain kuih muih moden tetamu turut dihidangkan ubi kayu rebus yang dimakan bersama sambal ikan bilis atau kelapa parut, laksa utara, cendol, bubur kacang dan rojak buah sumbangan saudara-mara dan jiran sekampung yang ternyata mendapat pujian dalam kalangan tetamu.

“Sambutan khususnya daripada orang kampung sangatlah tidak dijangka, dianggarkan lebih 1,000 tetamu hadir memeriah majlis ini. Rata-rata mereka memuji makanan yang disediakan sangat sedap dan berpuas hati hasil kerjasama merewang itu,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Fatini menzahirkan rasa terharu dengan usaha bapa saudaranya yang menjaga dia sejak kecil memeriahkan majlis persandingan secara merewang malah diselitkan pula dengan tema moden dan klasik kerana menjadi memoir amat indah.

“Saya melengkapkan memoir ini dengan mengadakan sesi bergambar di Homestay Pak Ayie kerana mengetengah konsep penginapan rumah tradisional Perak sangat cantik dan turut dinikmati bersama rakan-rakan belajar satu sekolah serta kolej dahulu yang turut hadir,” katanya. - KitaReporters


Nur Fatini dan Luqman merakamkan memoir perkahwinan mereka dengan sesi bergambar di Homestay Pak Ayie yang mengetengahkan penginapan rumah tradisional Perak.

23
14
1
14
0
You will be interested