Insan & Komuniti 19 Aug, 2025

Dataran Merdeka Jadi Lautan Putih! Malam Himpunan & Selawat: MalaysiaKu Bersama Gaza! 100k peserta!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

"Malam Himpunan dan Selawat: Malaysiaku Bersama Gaza”, anjuran bersama MAPIM dan CGM adalah acara kemuncak sepanjang Karnival Sumud Nusantara 2025, yang akan bermula pada 22 Ogos dan berakhir pada 24 Ogos 2025. Atur cara utama bermula sekitar 5 petang 24 Ogos 2025 solat maghrib berjemaah dan Solat Hajat Perdana di Dataran Merdeka. - KitaReporters


 


"Malam Himpunan dan Selawat: Malaysiaku Bersama Gaza”, anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) adalah acara kemuncak sepanjang Karnival Sumud Nusantara 2025, yang akan bermula pada 22 Ogos dan berakhir pada 24 Ogos 2025.

Ia adalah satu perhimpunan besar rakyat nusantara yang menzahirkan keteguhan solidariti melalui seni, budaya, agama dan tindakan demi membela rakyat Gaza yang terus berjuang.

Tema yang dipilih ialah “Dataran Merdeka Jadi Lautan Putih”, simbolik kepada perlambangan solidariti rakyat Malaysia terhadap Gaza dan Palestin.


Penduduk Gaza terutama kanak-kanak di ambang kebuluran akibat peperangan berterusan selain sekatan bekalan makanan oleh rejim Israel masuk ke Gaza.


Hadirin dijangka melebihi 100,000 orang dan mereka digalakkan berpakaian serba putih, sebagai simbol kesatuan demokrasi rakyat Malaysia dengan perjuangan Palestin dan Gaza

Himpunan itu mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr  Mohd Na'im Mokhtar; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM merangkap Pengarah Karnival, Datuk Dr Sani Araby Al-Kahery berkata, lautan putih di Dataran Merdeka menjadi simbol kesatuan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Gaza.


Dr Sani Araby Al-Kahery


Beliau berkata, atur cara utama bermula sekitar 5 petang 24 Ogos 2025 dengan ketibaan Konvoi Sumud Nusantara ke Dataran Merdeka. Ia diikuti solat maghrib berjemaah dan Solat Hajat Perdana dipimpin oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Sheikh Abdul Karim Omar Al‑Fatani Al‑Makki

"Tausiyah Peduli Ummah disampaikan oleh pendakwah terkenal, Habib Ali Zainal Abidin Al‑Hamid dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Majlis selawat dan qasidah dipimpin oleh kumpulan Az-Zahir sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan amanat khas selain perkembangan terkini yang berlaku di Gaza.  


Penduduk Palestin menjadi pelarian di bumi sendiri akibat kekejaman rejim Zionis Israel yang mengusir mereka daripada penempatan asal.


"Selepas itu diadakan pembacaan Deklarasi Sumud Nusantara untuk Gaza dan pelepasan simbolik delegasi Flotilla Sumud Nusantara manakala doa Qunut Nazilah turut dibacakan pada penghujung malam," katanya.

Acara-acara lain yang dijangka menjadi tarikan sempena karnival itu ialah VR Gaza Time Tunnel iaitu satu pengalaman realiti maya, pertunjukan belon panas, havoc food festival, pameran agensi, pelancaran Ensiklopedia “Gaza 101”, Kids World Hall dan tayangan filem perjuangan Gaza.

Konvoi solidariti darat membabitkan lebih 1,000 kenderaan, termasuk dari luar negara akan mengibarkan bendera Palestin.


Arahan perpindahan oleh tentera Israel menyebabkan kira-kira 1 juta penduduk Gaza dalam dilema dan terpaksa meninggalkan kampung halaman berlindung di tempat selamat.


"Saya minta sokongan rakyat Malaysia untuk hadir bersama keluarga dan membawa  tikar atau sejadah selain payung sebagai persediaan jika hujan.

"Bersempena bulan kemerdekaan negara, ia amat penting untuk rakyat menghayati keperitan dan membantu memerdekakan saudara kita di Gaza dan Palestin dari cengkaman regim apartheid Zionis,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGM merangkap Ketua Projek Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri menganggap himpunan ini sebagai gema suara rakyat Malaysia yang akan diterjemahkan dalam aksi aktivis menyertai Global Sumud Flotilla membabitkan 39 negara bagi menghantar bantuan ke Gaza. - KitaReporters

13
8
0
8
1
You will be interested