Semasa sesi persekolahan 2026 bermula awal Januari 2026 lalu, tidak semua keluarga dapat menyediakan keperluan dengan sempurna kelengkapan persekolahan anak mereka termasuklah dalam kalangan keluarga miskin, asnaf dan B40.

Berikutan kekangan
sumber kewangan serta tidak berkemampuan di samping dibebani kos peningkatan
harga barang, ia sudah pasti menyukarkan keluarga terbabit memenuhi kemahuan anak
apatah lagi apabila mempunyai tanggungan yang ramai.
Namun begitu bagi 50 orang murid dan pelajar daripada keluarga itu mengucap syukur apabila menerima sumbangan peralatan persekolahan seperti beg sekolah, kasut, stoking, tudung dan sebagainya menerusi Program ikhlas com Untukmu – Back To School.

Sebahagian pelajar dan ibu bapa membuat semakan nama pada kaunter pendaftaran.
Sumbangan
wakalah zakat pendidikan itu yang membabitkan murid sekolah rendah, pelajar sekolah
menengah lelaki dan perempuan dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penduduk
Taman Impian Ehsan 3 (PPIE3), Balakong, Seri Kembangan, Selangor, dan berlangsung di dewan taman berkenaan, pada 17 Januari 2026.
Pengerusi
PPIE3, Anuar Omar, berkata sumbangan itu sudah pasti meringankan beban ibu bapa
daripada keluarga terbabit yang sudah dikenal pasti kurang berkemampuan untuk
menyediakan kelengkapan persekolahan anak.
Menurutnya, walaupun ada sebahagian anak daripada keluarga berkenaan tidak ambil kisah terpaksa memakai pakaian seragam lama yang sedia ada, namun sebagai ibu atau bapa mereka juga mahukan anak mereka ke sekolah pada sesi baharu dengan perasaan gembira.

Ahli Jawatankuasa Wanita PPIE3 membantu mengagihkan barangan kepada murid sekolah rendah.
Tambahnya,
hasil perincian yang dibuat oleh murid atau pelajar yang terpilih daripada keluarga
itu perlu dibantu sekurang-kurangnya mereka tidak berasa terasing atau
memencilkan diri apabila melihat rakan datang ke sekolah dengan serba baharu.
“Dengan menerima
sumbangan kelengkapan serba baharu itu, secara tidak langsung. ia menyuntik semangat
kepada mereka untuk gigih belajar menimba ilmu demi membina masa depan yang
cemerlang serta lebih sempurna untuk keluarga.
“Kami persatuan penduduk khusus ibu bapa keluarga murid dan pelajar terbabit berasa amat terharu dan berterima kasih kepada Ikhlas com yang turun padang untuk menyampaikan tanggungjawab sumbangan wakalah zakat pendidikan,” ujar Anuar.

Murid Tahun Empat, Muhammad Izdiyad Muhammad Hisyam gembira menerima sumbangan barangan peralatan persekolahan.
Sementara
itu menurut seorang bapa, Muhammad Hisyam Abu Bakar, sumbangan menerusi wakalah
zakat pendidikan berkenaan meringankan bebanan dia melengkapkan keperluan
peralatan sekolah anaknya yang kini berada dalam tahun empat.
Tambahnya,
selepas diberhentikan kerja beberapa tahun lalu dia terpaksa mencari pekerjaan
baharu namun dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang beliau gagal
memperoleh kerja yang baik di satu-satu syarikat menyebabkan terpaksa berjimat
dalam perbelanjaan.
“Saya amat bersyukur dengan sumbangan ini kerana ada pihak sudi membantu meringankan bebanan tanggungan dan akan memanfaatkan untuk anak malah menjadikan motivasi supaya dia sentiasa tekun belajar,” katanya. - KitaReporters
Ketua Pegawai Komersial ikhlas com, Salman (kiri) menyerahkan sumbangan wakalah zakat pendidikan kepada seorang pelajar sambil diperhatikan Anuar Omar (dua dari kanan).