Insan & Komuniti 13 Jan, 2026

Diari Mama Masscom| Caregiver akhirnya diiktiraf dalam skim bantuan! BINGKAS 3.0 tiba tepat waktunya!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Dalam hiruk-pikuk kehidupan moden dan kos sara hidup yang semakin menghimpit, ada satu kelompok insan yang sering berada di belakang tabir, mereka adalah caregiver atau penjaga pesakit.

Mereka menjaga pesakit tanpa cuti, menyokong tanpa gaji, dan terpaksa menjadi kuat walaupun hakikatnya keletihan emosi dan fizikal sering dipendam sendiri.




Selangor, adalah negeri yang mencatat jumlah penduduk tertinggi serta kos hidup yang semakin meningkat. Bilangan keluarga B40 juga amat besar. 

Dalam kelompok inilah wujud ribuan caregiver yang menjaga ahli keluarga sakit mental, pesakit strok, OKU, warga emas, anak-anak istimewa, dan pesakit kronik. 

Ramai antara mereka terpaksa berhenti kerja, mengurangkan waktu bekerja, malah mengetepikan keperluan diri demi memastikan insan tersayang terus terjaga. 

Namun selama ini, peranan caregiver sering dianggap sebagai tanggungjawab keluarga semata-mata, seolah-olah mereka tidak memerlukan sokongan.



BINGKAS atau Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi membantu golongan berpendapatan rendah menangani tekanan kos sara hidup melalui bantuan keperluan asas. 

BINGKAS 3.0, yang boleh mula dipohon pada Julai 2026, tampil dengan pendekatan lebih inklusif dan berperikemanusiaan dengan mengambil kira realiti keluarga yang mempunyai tanggungan sakit dan OKU, termasuk peranan caregiver.

Pendekatan ini memberi isyarat jelas bahawa kerajaan negeri tidak lagi melihat pesakit secara terasing, sebaliknya memahami bahawa di belakang setiap pesakit, ada caregiver yang turut memerlukan sokongan. 



Ramai yang tahu bahawa caregiver bukan sekadar menjaga makan minum atau memastikan ubat diambil mengikut waktu. 

Mereka juga adalah jururawat tidak bertauliah, pengurus emosi pesakit, pendengar setia dan pelindung kepada pesakit. 

Dalam jangka masa panjang, tekanan berterusan ini boleh menyebabkan caregiver sendiri jatuh sakit, secara fizikal dan mental.

Apabila caregiver tumbang, pesakit juga akan terkesan. Justeru, membantu caregiver bukan satu pembaziran sumber, tetapi satu langkah pencegahan sosial yang sangat penting. 

BINGKAS 3.0 bukan sekadar bantuan material. Ia membawa mesej empati bahawa dalam sebuah negeri yang pesat membangun seperti Selangor, kesejahteraan rakyat tidak boleh diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata. 

Justeru sokongan kepada caregiver bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan dan tanggungjawab masyarakat dan pihak pihak tertentu.


Anfaal Saari


Exco Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, memberitahu, peluasan ini dibuat selepas kerajaan negeri melihat realiti sebenar kehidupan rakyat, yang ramai anak, pasangan dan ahli keluarga  yang kini memikul tanggungjawab menjaga warga emas, tetapi mereka terperangkap dalam tekanan kos hidup yang semakin tinggi dan cabaran kehidupan yang lain.

Baginya  bantuan sebanyak RM300 sebulan secara e-wallet ini mungkin tidak menyelesaikan semua masalah, namun bagi seorang caregiver, ia sangat bermakna kerana bekalan dapur yang sedikit dapat dicukupkan, ubat yang boleh dibeli tanpa menangguh dan ruang bernafas kecil dalam kehidupan yang penuh tuntutan. 

Sehubungan itu, bantuan ini diharap dapat memberi ruang bernafas kepada keluarga B40, untuk mengurangkan tekanan harian, dan menyuntik semangat kepada caregiver untuk terus menjalankan amanah penjagaan dengan lebih bersemangat dan penuh keikhlasan.

Oleh demikian, kemajuan sebenar sesebuah negeri terletak pada keupayaannya menjaga golongan yang memikul beban senyap. 



BINGKAS 3.0 adalah langkah kecil dengan makna besar satu pengiktirafan bahawa caregiver juga manusia yang perlu disokong, difahami dan dipelihara kebajikannya. 

Semoga pembukaan permohonan BINGKAS mulai Julai 2026 dimanfaatkan sepenuhnya oleh keluarga yang layak, khususnya para caregiver yang selama ini berdiri teguh di belakang pesakit tanpa banyak bersuara. 

Mereka insan yang banyak bersabar, justru bantuan kecil ini sangat tepat pada waktunya kerana menjaga insan sakit juga adalah satu bentuk pengorbanan yang wajar dihargai. - KitaReporters

15
8
0
14
0
You will be interested