Insan & Komuniti 03 Oct, 2025

Warga Bangi berjiwa besar! Sanggup kongsi dan bantu orang lain! Free Market BBBC beri buku percuma!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

"Saya bangga warga Bangi mempunyai jiwa yang besar, sanggup berkongsi barangan peribadi mereka dengan orang lain termasuk pakaian, makanan dan buku-buku bacaan.


Ramai warga tempatan dari pelbagai bangsa dan agama hadir untuk menikmati buku secara percuma sempena Free Market BBBC.


"Ini sesuatu yang luar biasa kerana sejak menjadi wakil rakyat di sini, saya tahu mereka memang bermurah hati, sebut apa sahaja keperluan untuk dikongsi atau diberikan secara percuma, komuniti melakukan secara sukarela dan ikhlas," kata Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Beliau ditemui ketika hadir menyertai warga tempatan sempena Free Market BBBC: Buku Percuma dan Hari Terbuka Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Bangi di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor. Ia dianjurkan oleh Sukarelawan BBBC.  

Dengan tema "Dari Komuniti Untuk Komuniti", program itu mendapat kerjasama OUM Bangi Learning Centre, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 16, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKj, Parlimen Bangi, Penyelaras DUN Sungai Ramal dan Bekind Malaysia, 


Urusetia Program Free Market BBBC, Khansa' Zulkiflee memberi penerangan kepada Syahredzan Johan mengenai program Buku Percuma kepada warga Bandar Baru Bangi sambil diperhatikan oleh Penyelaras Sukarelawan BBBC, Kelana Putra Muhamad.


Sempena Free Market itu, Syahredzan menaja 630 kon aiskrim, manakala Kumon Bangi menguruskan aktiviti untuk kanak-kanak, Air Balang memberi minuman percuma, BeOne memberi kad SIM percuma, manakala MPKj menyediakan permit dan kawalan trafik.

OUM Bangi turut memberi penerangan mengenai kampus itu selain pemeriksaan kesihatan dan mata percuma serta skim perlindungan insurans yang disediakan kerajaan untuk golongan B40.

Syahredzan berkata, program itu memberi banyak manfaat kepada komuniti kerana sesiapa boleh mengambil secara percuma, memupuk minat membaca, merapatkan silaturahim di kalangan komuniti selain mengenali secara rapat pengundi di kawasan Parlimennya. 


Syahredzan membantu seorang pengunjung kanak-kanak mencari buku yang sesuai sempena Free Market BBBC: Buku Percuma di pekarangan OUM Bangi.


"Saya terharu kerana warga Bangi amat prihatin, mereka mengangkat satu perjuangan sukarela, maksudnya mereka memahami dan merasai kepayahan orang lain.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang, ibu bapa dan anak-anak boleh mendapatkan buku secara percuma. Buku yang diberikan juga dalam pelbagai genre seperti akademik, agama, novel dan bahan bacaan untuk kanak-kanak.

"Saya kagum dengan sukarelawan BBBC kerana mencetus idea begini, justeru saya sentiasa menyokong mereka untuk memastikan usaha murni ini dapat dilaksanakan dengan berjaya.

"Seronok melihat kehadiran ramai warga tempatan dari pelbagai bangsa dan agama untuk menikmati buku secara percuma, tiada jual beli hari ini, malah pengunjung mendapat minuman percuma, aiskrim, kad SIM dan cabutan bertuah. 

"Terima kasih OUM kerana menyediakan lokasi strategik untuk program ini," katanya. 


Antara bahan bacaan yang disumbangkan ialah buku pendidikan, kanak-kanak, buku um dan bacaan ringan, majalah, komik dan novel.


Syahredzan mengakui, apa yang dilakukan oleh warga Bangi dan Sukarelawan BBBC memberi imej baik, tiada politiking atau perkara-perkara perkauman, mereka  hadir di bawah satu bumbung, menikmati buku percuma, berbual dan bertukar pendapat selain mendapat perkhidmatan kesihatan percuma.

"Harapan saya, semangat ini dapat diteruskan bagi membantu satu sama lain, dan saya turut mengesyorkan penerima penghargaan SARA menggunakan pemberian RM100 itu dengan membantu mereka yang dalam kesusahan termasuk rumah kebajikan jika mereka merasakan tidak perlu menggunakan sumbangan itu.

"Mulakan kitaran positif untuk manfaat orang lain. membantu orang yang lebih memerlukan kerana itu amalan mulia yang dituntut agama," katanya lagi.



Sementara itu, sejak awal jam 7 pagi, warga Bandar Baru Bangi dan kawasan sekitar menyerbu pekarangan OUM Bangi untuk mendapatkan ribuan buku yang diberikan secara percuma, ada membuka bonet atau reruai dan ada menyerahkan buku milik mereka kepada sukarelawan BBBC.

Antara bahan bacaan yang disumbangkan ialah buku pendidikan, kanak-kanak, buku umum dan bacaan ringan, majalah, komik dan novel. 

Bagaimanapun, penganjur tidak menerima buku berkaitan politik dan propaganda selain buku komersial yang tidak memberi nilai. - KitaReporters


Sejak jam 7 pagi, warga Bandar Baru Bangi dan kawasan sekitar menyerbu perkarangan OUM Bangi untuk mendapatkan ribuan buku yang diberikan secara percuma.

  

21
17
0
11
0
You will be interested