Program Sahabat Maritim (PSM) anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau, Perak dapat memperkukuhkan hubungan dengan komuniti nelayan.

Program ini diisi dengan aktiviti sukan bowling bersama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kerian dan agensi sahabat diadakan di Pacific @ Megamall, Pulau Pinang.
Ia disertai wakil nelayan pantai, pengusaha bot PK2B, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan pegawai dari Zon Maritim Kuala Kurau.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, penganjuran aktiviti seumpama itu bukan sekadar mengeratkan silaturahim, malah menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa dan komuniti nelayan setempat.
Beliau berkata, hubungan baik antara Maritim Malaysia, PNK dan agensi sahabat amat penting bagi memastikan kerjasama berterusan dalam menjaga keselamatan serta kesejahteraan di laut.
"Pelbagai isu di lapangan dapat diselesaikan dengan lebih berkesan melalui hubungan yang erat ini," katanya dalam kenyataan media. - KitaReporters
