Insan & Komuniti 10 Aug, 2025

Otai buat capal tradisional! Azmi tetap pertahan warisan bangsa! Walaupun kini zaman teknologi AI!

@nazar hashim
Emel: nazarhashim10@gmail.com

Share this

Capal merupakan alas kaki tradisional bagi orang Melayu yang begitu popular suatu ketika dulu.Ia juga menjadi kegunaan popular bangsawan Melayu sebelum ini, malah kekal dipakai dalam kehidupan seharian pada era 1980-an. Bagi Azmi Jaafar, otai capal dari Butterworth, Seberang Perai Utara, beliau tetap mempertahan tradisi warisan bangsa. - KitaReporters


Antara capal yang telah berjaya disiapkan oleh Azmi.

Sepasang capal mengambil masa antara 3 hingga 4 jam untuk disiapkan.

Capal merupakan alas kaki tradisional bagi orang Melayu yang begitu popular suatu ketika dulu. Ia juga menjadi kegunaan popular bangsawan Melayu sebelum ini, malah kekal dipakai dalam kehidupan seharian pada era 1980-an.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bercapal jika beliau mengenakan busana baju Melayu pada setiap hari Jumaat atau pada majlis-majlis berbentuk keagamaan.

Mengimbau sejarah capal ia dikatakan dibawa oleh pedagang India yang memakai sepatu jenis tersebut ketika datang ke Tanah Melayu dan nusantara beberapa tahun yang lalu.

Kini ia tidak lagi digunakan secara meluas seperti dahulu kecuali untuk majlis keramaian tetentu dan rasmi sahaja. Malah ia semakin dilupai masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda.


Azmi tekun menyiapkan capal yang dipesan.

Namun begitu bagi Azmi Jaafar, otai capal dari Butterworth, Seberang Perai Utara (SPU), beliau tetap mempertahan tradisi warisan bangsa. Beliau yang telah sekian lama membuat capal tetap mempertahan penggunaan alsa kaki tradisi ini.

Pada awalnya, beliau hanya belajar membuat capal melalui pengajian secara pos pada tahun 1996 melalui 'the leather crafters journal'.

Bermula dari situ ia mencuba bersungguh-sungguh sehinggalah dapat bertahan sampai sekarang mereka cipta pelbagai jenis capal.

"Untuk siapkan sepasang capal tidak mudah. Ia mengambil masa antara 3 hingga 4 jam dan perlu beri tumpuan secara serius sepenuhnya.

"Bahan yang diperlukan ialah kulit asli, gam, paku, beberapa saiz benang untuk jahitan dan getah untuk tapak kaki.

"Selain itu beberapa bahan kimia juga diperlukan supaya capal dapat bertahan lama," ujarnya ketika ditemui di gerai Kompleks Bagan, Butterworth.


Azmi khusyuk menjahit dan menyiapkan capal di Kompleks Bagan, Butterworth.

Menurut Azmi, walaupun capal kini banyak digunakan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha mahupun majlis keramaian dan perkahwinan, ia masih dapat bertahan walaupun tidak seperti dulu.

Tambah beliau, harga capal kini tidak semurah dahulu kerana ia terletak pada ukuran, saiz kaki dan reka bentuk atau bahan yang digunakan.

Jelasnya, harga capal kulit biasa boleh mencecah antara RM120 hingga RM280. Manakala capal premium yang dihasilkan pula mempunyai ukiran bunga menggunakan tangan seratus peratus dan boleh mencecah harga antara RM850 hingga RM1,800.

Setakat ini katanya, tiada banyak saingan kerana setiap negeri mempunyai tema capal masing-masing dan ia berlainan antara satu sama lain dengan kreativiti tersendiri.

Namun begitu beliau optimis walaupun zaman berubah, capal tetap menjadi pilihan kerana keunikan yang ada padanya sukar untuk ditandingi.

Azmi yang telah hampir 30 tahun berkecimpung dalam rekaan capal  turut mempelbagaikan rekaan bagi menambah pendapatan dengan membuat produk kulit seperti tali pinggang, beg, kasut kulit dan seumpamanya. - KitaReporters


Sebahagian lagi capal yang telah berjaya disiapkan oleh Azmi.

17
16
0
10
0
You will be interested