Sepakat membawa berkat. Buat kerana Allah. Apa cara sekalipun nawaitu tetap yang utama. Beramal di mana saja. Sedikit banyak bukan ukuran yang penting, usaha dan tindakan. Selain hobi sebagai aktiviti, ia boleh digunakan untuk berbuat kebaikan-kebaikan ke jalan Allah.

Inilah yang dilakukan Kelab Ride Prihatin yang terdiri daripada para ahli Aveta Vanguard 250, Sahoca Bikers Legends dan XSKTR dalam memenuhi tanggung jawab sosial mereka kepada masyarakat.
Dalam hubungan ini, sekolah Melayu Darul Taqwi di Wilayah Pattani, Thailand menjadi pilihan grup rider ini untuk beramal.
“lni kali pertama kami sampai ke daerah Pattani, khasnya Kampung Kuwing ini. Dan kami sangat teruja dengan sambutan yang diberikan oleh warga sekolah ini dan tersentuh hati dengan keadaan di sini, “‘ kata Ahmad Zahir Hamzah, wakil kelab dan ketua konvoi.


Dalam lawatan ini, konvoi kelab tersebut telah memberi sumbangan kepada pihak sekolah.
“Kami juga telah menaja makan tengah hari untuk 100 pelajar sekolah tersebut dan memberi
wang saku kepeda kira-kira 32 anak-anak yatim serta sumbangan kepada pihak pengurusan sekolah, “ ujar Ahmad Zahir lagi.
Yang menarik dana untuk projek ini datangnya daripada tabung yang diwujudkan oleh ahli-ahli sendiri. Dan ada 6 ahli grup turut membawa isteri mereka bersama.
‘“Kami mengeluarkan dana sendiri untuk aktiviti ini bagi melahirkan semangat bersatu hati sepasukan. Ibarat kata, sepakat membawa berkat. Alhamdulillah. Allah makbulkan hajat kami, “ tambah Ahmad Zahir lagi.

Menurut Ahmad Zahir, berikutan sambutan yang sangat baik pada program ini, Kelab Ride Prihatin ini akan merangka lebih banyak program amal pada masa hadapan.
“Dan sumbangan daripada masyarakat, terutama alumni SAHOCA dan SKD sangat dialu-alukan
bagi melaksanakan lebih banyak program menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun depan, “ jelas Ahmad Zahir.

Ahmad Zahir Hamzah menyerahkan sumbangan kepada wakil sekolah, Saidina Abidin Waesalae

Bergambar kenangan wakil daerah Pattani, Muhamad Arif Waesalae
Ride 3 hari dari 10 Oktober hingga 12 Oktober 2025 (Jumaat, Sabtu dan Ahad) ini dengan masuk melalui sempadan Bukit Kayu Hitam dan keluar ikut sempadan Betong telah berjaya disempurnakan dengan izin Allah SWT.
Pada masa ini, pelbagai program sedang diatur bagi merealisasikan matlamat grup Kelab Rider Prihatin ini dengan lebih berkesan pada masa akan datang.
“Program terdekat adalah ke Wilayah Yala, yang mana Thailand Charity Ride kami nanti akan menyampaikan sumbangan berupa barang-barang persediaan Kembali ke Sekolah Thai.
"Yang berhajat menyumbang peralatan sekolah untuk anak anak ini, boleh berbuat demikian, “ jelas Ahmad Zahir.

Nordini Mohamad Zainudin

AJ Hasriq Bustomi
Sementara itu, wakil grup riders dari utara, Nordini Mohamad Zainudin berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat menyertai konvoi Kelab Ride Prihatin ini dan menimba banyak pengalaman.
“Kami teruja dapat menyantuni warga sekolah Darul Taqwi ini dan berharap sumbangan kecil kami ini mendapat keberkatan Allah SWT, “ katanya yang menetap dan bekerja di Ipoh
Perkara yang sama diluahkan oleh AJ Hasriq Bustomi wakil group kawasan Tengah yang menyifatkan konvoi ini sangat berharga baginya.
“Selain melayan aktiviti, kami juga berpeluang mengenali masyarakat di sini (Pattani) dengan lebih dekat dan berkongsi cerita tentang anak anak di sini dan masyarakat sekitarnya.‘’ ujar AJ Hasriq yang tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur.

Sumbangan pihak Kelab Ride Prihatin diterima oleh wakil sekolah, Saidina Abidin Waesalae. Turut hadir pada pada majlis itu adalah wakil rakyat daerah tersebut, Muhamad Arif Waesalae.
Bagi pemilik motosikal Aveta Vanguard yang berminat menyertai konvoi ini pada masa hadapan, mereka boleh menghubungi Ahmad Zahir Hamzah menerusi talian 01169715310 untuk maklumat lanjut. - KitaReporters


Tags: