Hidup sekarang sangat keras. Bagai kaca yang dibiarkan pecah perlahan- lahan. Rumah tangga juga semakin rapuh. Masjid yang dibina tidak lagi ada nur. Suram muram tanpa seri.

Oleh itu berkongsilah hidup dengan seseorang yang akan membuat kamu jatuh cinta kepada Allah setiap hari. Dalam Al-Quran terdapat doa yang menggambarkan setiap pasangan ingin memiliki keluarga yang diharapkan.
Berikut ertinya: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa." (QS. Al-Furqon ayat 74).

Namun setelah lama meniti kehidupan, kita akan sedar bahawa hidup ini banyak pilihan. Dan pilihan itu sebenarnya ada di hati kita.
Elok jalan yang dipilih, maka elok lah jadinya. Begitu juga sebaliknya.
Kata-kata Mufti Menk: "Jauh lebih baik kehilangan sesuatu untuk Tuhan daripada kehilangan Tuhan untuk mendapatkan sesuatu" patut diambil berat.
Ingat akan realiti hidup kita. Apa kita ada bukan hak kita. Ia pinjaman daripada Allah SWT. Bila-bila masa Dia boleh ambil semula. Suka duka bahagia derita ketentuan Dia. Begitu juga dengan aturan-Nya.

Berkenalan lama. Berkawan lama. Bercinta lama. Berkahwin lama. Bukan jaminan bahagia. Kerana langit tidak selalunya cerah. Panas juga tidak semestinya sampai ke petang. Hujan pun turun tanpa dirancang
Retak sedikit membawa belah. Silap sepatah membawa padah. Hilang setia kasih beralih arah. Putusnya cinta terlerai janji. Lafaz terabai… musnahlah segala.
Pun jangan bersedih. Jangan ditangisi yang berlaku. Ujian Allah tanda disayangi. Ia lebih kepada menguji. Mungkin ada yang lebih baik menanti.
Sementara memujuk hati. Menginsafi diri. Bertenang bersangka baik. Reda, doa, tawakal dan positif. Allah ada. Dia tahu apa terbaik untuk Hamba-Nya.
Yang terjadi bukan kesilapan. Tapi takdir penentuan. Akan mahalnya kehidupan.
Khalil Gibran dalam tulisannya berkata jika kamu mencintai seseorang biarkan ia pergi. Kalau ia kembali, ia adalah milikmu. Bila tidak, dia memang tidak pernah akan menjadi milikmu.

Sesungguhnya jodoh maut pertemuan itu rahsia Tuhan. Seperti juga pertemuan yang ada perpisahan. Saat setia dan jujur tiada lagi bernilai, maka terlerailah sebuah hubungan yang diikat kerana Allah.
Ingatlah pada kata kata Nouman Ali Khan yang berbunyi, “Hubunganmu dengan Allah tergantung pada hati yang bersih.”
Oleh yang demikian, lebih baik kehilangan cinta seseorang kerana Allah daripada kehilangan Allah kerana cinta kepada seseorang. - KitaReporters
