Dalam dunia hidupan liar, ular sering digambarkan sebagai antara haiwan paling digeruni kerana sifatnya yang agresif apabila terancam serta bisanya yang mampu meragut nyawa dalam tempoh singkat.
Spesies seperti ular tedung atau cobra, dikenali kerana pertahanannya yang kuat, keupayaan mengangkat bahagian depan badan, serta semburan bisa pada jarak dekat
Namun bagi segelintir pekerja taman haiwan, berdepan dengan reptilia berbisa ini bukan lagi sesuatu yang ganjil, sebaliknya sudah menjadi rutin harian demi mencari rezeki.
Itulah realiti kerja Ku Yus, seorang pekerja di sebuah taman ular di Perlis, yang tular menerusi video dalam platform TikTok.
Dalam video tersebut, dia dilihat sedang membersihkan kawasan kurungan haiwan itu sambil ditemani beberapa ekor reptilia berbisa itu.
Video yang dikongsinya ini mendapat lebih 4.4 juta tontonan dan ribuan komen.

“Kerja harian kita. Kita bukan kerja duduk pejabat,
kita hanya kuli sahaja, bekerja sambil pertaruh nyawa untuk cari rezeki,”
katanya dalam kapsyen, mengundang pelbagai reaksi netizen yang kagum dengan
keberanian dan ketabahannya.
Antara soalan paling banyak ditanya netizen ialah mengenai keadaan ular tersebut, adakah ia masih berbisa atau sudah dinyahbisa?
“Ada bisa ke ular tu? Atau dah buang bisa ke macam mana?” tanya netizen tersebut.

Ku Yus menjelaskan bahawa haiwan itu masih memiliki bisa sepenuhnya dan proses pembuangan bisa tidak bersifat kekal.
“Ya, ada bisa lagi ular ni. Kalau kita buang bisa dia, dalam beberapa saat dia akan ada balik. Seperti air liur kita, kita ludah sekarang ada balik kan,” jawabnya.

Penjelasan itu mengejutkan beberapa netizen lain,
namun turut membuka mata ramai tentang biologi ular berbisa yang sentiasa
menghasilkan ‘venom’ secara semula jadi.
Video berkenaan turut menimbulkan persoalan lucu
tetapi jujur daripada seorang netizen.

Jawapan yang diberikan oleh Ku Yus mencetuskan perbualan mengenai agresiviti ular, walaupun berada dalam kelompok sama, serangan sesama sendiri tetap berlaku terutama ketika tertekan atau terkejut.
Namun antara topik paling mendapat perhatian ialah soal gaji dan taraf hidup pekerja seperti Ku Yus yang mempertaruh nyawa setiap hari. Seorang netizen bertanya: “Gaji berapa bang? Sehari RM1,700 ke?”
Jawapan Ku Yus mengejutkan ramai: “RM1,700 dah betul sangat-sangat lah tapi bukan sehari RM1,700 bang. RM1,700 untuk sebulan sahaja,” akuinya.

Kisah yang tular ini akhirnya membuka satu sisi pekerjaan yang jarang disorot, di sebalik ketenangan mereka mengendalikan haiwan berbisa, ada keberanian, disiplin dan kesungguhan yang tidak selalu terlihat oleh mata orang luar.
Apa yang tampak sekadar video beberapa saat sebenarnya adalah rutin yang memerlukan ketelitian dan sabar yang panjang.
Dalam dunia di mana ramai mengejar pekerjaan selesa, masih ada insan seperti Ku Yus yang memilih untuk berdiri di barisan paling hadapan, berdepan risiko demi menjaga hidup sendiri dan memastikan operasi taman haiwan terus berjalan.
Dalam pada itu, ada yang mempunyai pekerjaan yang baik, tetapi lebih sukar "mengular". Macam mana tu? - KitaReporters