Insan & Komuniti 03 Mar, 2021

Terbaiklah Bonda Nor! Kerana terlewat hantar, penghantar makanan OKU Rizuam terima kejutan!

@zuhayati yazid
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2007 dan masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this


BENAR kata pepatah, tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Siapa sangka insiden terlewat menghantar makanan kepada pelanggan yang membuat pesanan, membuka pintu rezeki buat seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dikenali sebagai Rizuam.

Kisah Rizuam viral dalam media sosial selepas ia dikongsi oleh penulis buku terkenal, Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan pada 23 Februari 2021 lalu. 

Menerusi Facebooknya,  Bonda Nor berkongsi bagaimana salah faham yang berlaku ketika beliau membuat pesanan Yong Tau Fu untuk berbuka puasa yang sepatutnya dihantar oleh Rizuam. 


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan penghantar atau rider:

https://kitareporters.com/search?search=penghantar


PERTEMUAN BERMAKNA...Bonda Nor ditemani suami akhirnya dapat bersua muka dengan rider OKU Grab Food yang menghantar pesanan Yong Tau Fu minggu lalu. : Kredit foto: Facebook Bonda Nor.


Perkongsian berkenaan dikongsi oleh lebih 3,300 pengguna dengan ribuan lagi perkongsian lain dibuat oleh netizen daripada sumber portal lain yang memetik kisah tersebut. 

“Walaupun dah bagi tip pada rider tersebut melalui system GrabPay, hati saya tetap rasa tak seronok. Saya rasa bersalah sebab salah sangka padanya. 

"Oleh itu, saya tuliskan kisah tersebut dalam Facebook untuk peringatan bersama. Bahkan saya juga menghubungi pihak Grab untuk mengesan rider OKU yang menghantar makanan tersebut,” kata Bonda Nor.


IKHLAS... Suami Bonda Nor, Cikgu Adi menyampaikan sumbangan wang tunai bernilai RM5,000 dan beberapa buku terbitan Bonda Nor Resources kepada Rizuam.



Akhirnya, selepas beberapa hari menunggu, Bonda Nor ditemani suaminya berjaya mengadakan pertemuan untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada Rizuam.

Ditemani dua lagi rakannya yang juga rider OKU GrabFood, Rizuam menzahirkan rasa terharu apabila menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 selain buku motivasi dan planner Semangat yang diterbitkan oleh Bonda Nor Resources.

“Alhamdulillah, saya sempat umumkan pertemuan ini dalam grup Akademi Bonda Nor dan team speaker Ekspres-I dan ternyata ramai yang mahu menyelitkan sumbangan buat Rizuam. 

“Apa yang paling membuat saya terkesima bila melihatnya datang dalam keadaan kaki terhincut-hincut akibat kemalangan terlanggar kerbau selepas balik kerja pada waktu malam. Allahu Akbar, betapa gigihnya dia bekerja mencari rezeki,” jelas Bonda Nor lagi.

Salah seorang rakan Rizuam, Asyraf yang merupakan OKU cacat pendengaran memberitahu bahawa team runner OKU memang sangat rajin.


TERHARU... Rizuam tidak menyangka tugas menghantar makanan yang dipesan menjadi asbab dia menerima rezeki terpijak.


“Kami sentiasa kejar job Bonda,” ujar Asyraf sambil menunjukkan carta Top 10 Runner GrabFood Kuala Terengganu yang dimonopoli oleh runner OKU. 

Dalam pada itu, Bonda Nor turut berkongsi kata-kata yang dinukilkan pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun tentang OKU pekak dan bisu dalam tulisannya yang viral itu.

“Mereka sangat mulia Bonda. Mulut mereka tidak pernah menyakiti orang lain. Telinga mereka tidak pernah bermaksiat.”

Sebelum berpisah, Bonda Nor sempat memuji golongan rider OKU ini dan berharap khalayak mendapat inspirasi daripada kegigihan mereka. 

RIZUAM bersama dua lagi teman sekerja yang menyertai dalam pertemuan bersama Bonda Nor di sebuah restoran segera di bandar Kuala Terengganu, baru-baru ini.


“Semoga syurgalah buatmu anak-anak! Allah uji kamu semua dengan sedikit kekurangan, tapi ternyata kamu tidak pula berputus asa, tidak hidup meminta-minta. Bahkan usaha kamu sangat luar biasa mengalahkan kami yang sempurna sifatnya. 

"Hari yang indah buat kami atas jalinan takdir Allah dan ukhuwah ini. Alhamdulillah.”

Bonda Nor merupakan pengasas Kaedah Membaca Ekpres-I dan Ekspres-I Reading yang mempunyai puluhan speaker di seluruh negara. Beliau juga telah menghasilkan puluhan buah buku motivasi yang mencatat jualan best-seller.

Ternyata setiap yang berlaku pasti bersebab walaupun sehelai daun kering yang gugur di muka bumi ini,  dan hari ini Bonda Nor membuktikan pertemuan mereka berdua membawa kepada perkenalan yang indah.

Semoga Rizuam terus cekal menjalankan tanggungjawab dalam pekerjaan serta dimurahkan rezeki.

Terima kasih Bonda Nor! Semoga kalian di bawah rahmat-Nya. - KitaReporters



8
0
0
1
0
You will be interested