Lagi kisah menarik berkaitan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan kurniaan kepada murid-murid sekolah.
Keberangkatan Kebawah Duli Tuanku itu disambut meriah penduduk setempat terutama masyarakat kaum Cina dan India yang masing-masing menzahirkan rasa teruja kerana dapat bertentang mata dengan pemerintah negerinya.
Lebih menarik, baginda turut berkenan berangkat ke tiga buah kampung selain melawat dua buah sekolah di daerah berkenaan.
Turut berkenan, baginda ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Mun Repas dan SJK Tamil (SJKT) Bentong serta ke Kampung Repas, Kampung Kemansur dan Kampung Perting sememangnya sesuatu yang tidak dijangkakan penduduk sebelum ini.
Rata-rata penduduk menzahirkan rasa bangga dan teruja apabila dapat melihat dan berjumpa dengan pewaris takhta negeri Tok Gajah itu menerusi program Ziarah Kasih Pemangku Raja Pahang.
Menerusi program selama dua jam yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu, baginda mencemar duli ke SJKC Khai Mun sebagai lokasi pertama dengan disambut mesra oleh guru besar sekolah berkenaan, Choong Wei Ping.
Baginda meluangkan masa mendengar dan beramah mesra dengan guru-guru serta murid-murid, di samping menyampaikan kurniaan kepada murid-murid termasuk enam anak yatim.
Menariknya dalam lawatan berkenaan, Kebawah Duli Tuanku juga berkenan mempelajari tradisi dan kebudayaan Cina di bilik darjah iaitu memadankan perkataan dengan piktograf serta menyertai aktiviti seni menggunting kertas.
Bukan itu sahaja, baginda juga turut mempelajari tulisan Tamil di SJKT Bentong yang merupakan sekolah Tamil pertama yang dilawati Tuanku setakat ini.
Selain itu, baginda telah disambut dengan tarian tradisional India sebaik sahaja keberangkatan tiba di sekolah berkenaan.
Beruntung lagi penduduk setempat itu apabila dalam kunjungan ziarah kali ini, baginda mengurniakan sumbangan kepada 10 keluarga yang kurang bernasib baik yang terdiri daripada warga emas, pesakit kronik dan miskin. - KitaReporters