Insan & Komuniti 06 Jan, 2021

Video| Tanya Roberts gadis Bond pergi selamanya! Charlie's Angels terakhir, Sheena dah tiada!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

INGATKAH anda pada Stacey Sutton, watak yang dilakonkan oleh aktres Tanya Roberts selaku gadis Bond di samping mendiang Roger Moore dalam filem A View To A Kill keluaran tahun 1985? Tanya Roberts meninggal dunia di California, Amerika Syarikat pada Isnin malam 4 Januari 2021 lalu dalam usia 65 tahun. : KitaReporters


TANYA ROBERTS meninggal pada malam 4 Januari 2020 dalam usia 65 tahun. - Kredit IMDb


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan James Bond:

https://kitareporters.com/search?search=james+bond


Kematian Tanya yang juga bintang TV, termasuk siri popular Charlie’s Angels, adalah satu kehilangan kepada industri filem Hollywood. Yang tinggal hanyalah namanya yang terus abadi dalam ingatan keluarga dan peminat. 

Sebelum itu, media melaporkan dia sudah meninggal pada Ahad 3 Januari 2021 lantaran kesilapan komunikasi. Berita kematian 'palsunya' disiarkan secara meluas tetapi kemudian dinafikan. Namun sehari selepas itu dia benar-benar pergi.


TANYA Roberts bersama Roger Moore dalam A View To A Kill. - Kredit foto: James Bond Wiki



Kematiannya selang tiga tahun tujuh bulan selepas gandingannya, Roger Moore meninggal pada Mei 2017. Filem A View To A Kill juga adalah filem terakhir lakonan Moore sebagai Bond sebelum diambil alih oleh Timothy Dalton.

A View To A Kill turut menampilkan Christopher Walken selaku penjahat Max Zorin dan Grace Jones sebagai May Day, orang kanan Max Zorin yang akhirnya membantu Bond apabila dia dikhianati Zorin.

Menurut laporan RollingStone, Tanya rebah berhampiran rumahnya di California pada 24 Disember 2020 ketika membawa anjingnya berjalan-jalan. Dia kemudian dimasukkan ke Hospital Cedars-Sinai di Los Angeles dalam keadan kritikal.  

Dia tidak sedarkan diri dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan sehinggalah kematiannya pada malam 4 Januari 2021, yang disahkan oleh teman lelakinya, Lance O’Brien.


TANYA Roberts (kiri) bersama Jacyln Smith dan Cheryl Ladd ketika membintangi siri suka ramai Charlie's Angels. - Kredit foto: Forbes.com


Tanya yang dilahirkan di The Bronx, New York, pernah berkahwin dengan Barry Roberts dari 1974 hingga 2006.  

Kematiannya tiada kaitan dengan Covid-19 tetapi difahamkan akibat jangkitan kuman saluran kencing yang merebak ke buah pinggang, hempedu, hati dan saluran darah

Dia dikatakan memang tidak begitu sihat sebelum hari kejadian dia rebah.

Menurut The Irish Times, Tanya yang lahir sebagai Victoria Beigh Blum, memulakan karier seninya pada tahun 70-an sebagai model iklan TV dan diperkenalkan ke layar perak melalui filem seram Forced Entry pada 1975.

Dia kemudian terpilih membintangi siri penyiasatan popular TV, Charlie’s Angels yang pada 1982 menggantikan Shelly Hack dengan memegang watak Julie.

Sayangnya dia hanya membintangi diri itu untuk semusim kerana ketika dia berlakon, siri itu sudah memasuki musim kelima dan terakhir.

Sekalipun siri itu amat popular ketika bermula pada 1979, lama kelamaan ratingnya semakin menurun. Mungkin kerana berlaku beberapa pertukaran pelakonnya serta saingan daripada siri penyiasatan yang lain ketika itu.

Pelakon asal Charlie’s Angels ialah Farrah Fawcett, Jacyln Smith dan Kate Jackson. Farrah meninggalkan siri itu selepas satu musim digantikan oleh Cheryl Ladd. Kemudian Kate Jackson pula berundur, digantikan oleh Shelly Hack.

Pelakon tunggal yang kekal dari permulaan sehingga siri tersebut melabuhkan tirai hanyalah Jacyln Smith yang memegang watak Kelly Garrettt.  


TANYA Roberts dalam filem Sheena: Queen of The Jungle. - Kredit foto Pinterest


Selepas membintangi beberapa siri drama TV, Tanya membintangi beberapa buah filem popular, antaranya The Beastmaster pada 1982 dan filem Sheena: Queen of The Jungle.

Bintang Tanya menonjol apabila terpilih menjadi gadis Bond mendampingi Roger Moore pada 1985 melalui A View To A Kill. Memang ramai pelakon yang mengidam untuk muncul dalam filem Bond.

Selepas kejayaaan filem ini sepatutnya Tanya mendapat pebagai tawaran lain. Namun tidak demikian halnya sehingga dia menyifatkan peranan sebagai gadis Bond itu sebagai sumpahan.

Bagaimanapun dia kembali mencapai kejayaan dalam beberapa siri TV selepas itu, seperti sitkom That ’70 Show. Dia membintangi siri itu untuk tiga musim dan kemudian muncul sebagai pelakon undangan.

Tanya juga pernah membintangi siri TV Murder Me Murder You (1983), Sins of Desire (1993), dan sebagai hos dalam siri  bual bicara radio, Hot Line (1994-1996).

Dia juga juga membintangi siri Barbershop pada 2005 yang merupakan kemunculan terakhirnya di kaca TV. - KitaReporters


 

 

 

0
1
5
0
1
You will be interested