Insan & Komuniti 13 Apr, 2021

Ramadan dah dekat! Sama-sama kita sepakat! Sambut Ramadan amat berkat! Dengan amal lebih padat!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

Kota Mekah khususnya kawasan di sekitar Masjidil Haram akan menjadi lebih meriah pada bulan Ramadan,bagaimanapun sejak pandemik COVID-19 keadaannya begitu berubah sama sekali. - Kredit foto: Haramain Sharifain, Mohammad Shaharuddin Mohd Shahari dan Masnira Ramli.


SEORANG warga Malaysia yang tinggal menetap di Mekah Al Mukaramah, Arab Saudi mengajak umat Islam menyambut kehadiran Ramadan Al-Mubarak telah tiba dengan melakukan amalan soleh lebih banyak.

Beliau menyatakan, kini Ramadan 1442 Hijrah sudah tiba. Marilah sama-sama kita sepakat agar menyambut kehadiran Ramadan kali ini dengan amalan soleh yang lebih padat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ramadan


Untuk Ramadan 1442 Hijrah kawasan Dataran Kaabah (Mataaf) hanya dibenarkan kepada jemaah umrah melakukan tawaf. Bagi solat tarawih dan solat sunat lainnya ialah di Bahagian Kawasan King Abdullah yang telah diperluaskan, Tingkat 1, Bahagian Atap dan Bahagian Dataran Luar Masjidil Haram.  


Mohammad Shaharuddin Mohd. Shahari membuat seruan tersebut melalui sebuah puisi bertajuk "Ramadan 1441 Hijrah dalam kenangan" yang dinukilkannya sempena kedatangan Ramadan 1442 Hijrah.

Sajak beliau dipaparkan melalui laman sosial FB Ruangan Makkah Kenangan Terindah pada Khamis 1 April 2021 lalu.

Mohammad Shaharuddin merupakan seorang pelajar di Universiti Umu Qura, Mekah yang berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. 

Beliau juga adalah pentadbir Ruangan Makkah Kenangan Terindah. Ruangan ini kerap membuat siaran langsung dari Mekah, Madinah dan beberapa kota lainnya sekitar Arab Saudi mengenai pelbagai perkara serta isu-isu semasa.


Sheikh Abdul Rahman Sudais.


Melalui sajaknya beliau turut melahirkan rasa sayu dengan Ramadan 1441 Hijrah/2020 Mashi yang lalu kerana sekalipun tinggal berhampiran kawasan Masjidil Haram seperti dirinya, namun tidak dapat menunaikan solat tarawih dan ibadah sunat lainnya di masjid agung yang menjadi kebanggaan umat Islam disebabkan adanya sekatan ekoran penularan wabak COVID-19.

Katanya, disebabkan segala SOP yang ketat Masjidil Haram masih dibuka, tetapi jemaahnya terlalu terhad. Hanya sedikit orang yang boleh solat.

"Solat tarawih hanya 10 rakaat diakhiri dengan witir 3 rakaat. Subhanallah... Masjid kosong yang amat. Semua gara-gara COVID-19 yang gawat," jelasnya.

Mohammad Shaharuddin menyatakan, hakikatnya Allah ingin menguji hamba-hamba-Nya yang taat agar tidak berputus asa dengan Allah sebagai pemberi rahmat.


Para jemaah yang akan bersolat tarawih dan solat sunat lainnya di Masjidil Haram, Mekah termasuk jemaah umrah sepanjang Ramadan tahun 2021 ini akan diberikan air zam sam dalam bentuk botol yang diagihkan oleh para petugas khas. 


Berikut adalah sajak nukilan beliau :

"Ramadan 1441 Hijrah dalam kenangan"

Betapa sayunya Ramadan yang lalu...

Aku dekat namun tersekat

Segala SOP amatlah ketat

Masjidil Haram dibuka tapi jemaah terhad

Hanya sedikit orang yang boleh solat.

Solat tarawih hanya 10 rakaat

diakhiri dengan witir 3 rakaat

Subhaanallah...

Masjidil Haram kosong yang amat

semua gara-gara COVID-19 yang gawat.

Hakikatnya Allah ingin menguji hamba-hamba-Nya yang taat

Agar tidak berputus asa dengan Allah pemberi rahmat.

Kini Ramadan 1442 Hijrah semakin dekat

Marilah sama-sama kita bersepakat

Agar menyambut Ramadan kali ini

Dengan amal soleh yang padat.

Dari Mekah,

Penulis Kenangan Terindah

Khamis 1 April 2021 / 18 Syaaban 1442 Hijrah.


Kawalan ketat sentiasa dilakukan oleh pihak polis Arab Saudi di kawasan pemeriksaan sempadan antara tanah halal dan tanah haram di Mekah al Mukaramah sama ada pada Ramadan atau musim haji.


Sementara itu, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Mekah kerana mengikut suami bertugas di negara berkenaan, Masnira Ramli melahirkan rasa gembira dengan pengumuman peraturan kerajaan Arab Saudi sepanjang Ramadan di Masjidil Haram untuk tahun 2021 ini, yang bermula pada Selasa 13 April 2021.

"Alhamdulillah bila dah keluar kenyataan mengenai peraturan yang dinanti-nantikan. Gembira rasanya. Ada sinar untuk solat tarawih di Masjidil Haram. Insya-Allah," ujarnya dengan penuh harapan melalui laman sosial FB beliau.

Katanya, sekurang-kurangnya tidaklah sama macam Ramadan 2020 lepas. Sunyi sepi, sedih rasanya.

Menurutnya, "Kini alhamdulillah! Moga Allah mudahkan dan lancarkan semuanya serta memberi peluang kepada kita semua untuk menyambut Ramadan tahun (2021) ini. Amin."


Salah satu view menarik pada waktu senja di hadapan pintu gerbang sempadan antara tanah halal dan tanah haram di Mekah,Arab Saudi. 


Beberapa peraturan baharu sepanjang Ramadan tahun 2021 ini yang diumumkan oleh Imam Besar Masjidil Haram, Mekah, Sheikh Abdul Rahman Sudais pada sidang media maya antaranya permit khas solat dan umrah di masjid berkenaan hanya melalui aplikasi Eatmarna, kawasan solat tarawih dan solat sunat untuk jemaah di King Abdullah Expansion, Tingkat 1, Bahagian Atap dan Dataran Di luar Masjidil Haram.

Ramadan kali ini solat tarawih 10 rakaat termasuk tahajud dan 3 rakaat solat witir. Tidak ada iktikaf untuk 10 malam terakhir Ramadan.

Majlis iftar tidak dibenarkan namun hanya agihan iftar diberikan secara perseorangan.

Kawasan Dataran Kaabah (Mataaf) hanya dibenarkan untuk jemaah umrah melakukan tawaf sahaja dan solat tidak dibenarkan di kawasan berkenaan. Jemaah umrah juga tidak dibenarkan menyentuh Kaabah.

Air zam zam hanya diedarkan melalui secara pemberian dalam botol untuk para jemaah di Masjidil Haram. - KitaReporters 


    

Kaabah dan Menara Jam merupakan kombinasi antara daya tarikan selain melakukan ibadah haji atau umrah bila seseorang datang ke Mekah,Arab Saudi. Malahan ada dalam kalangan kita bila teringatkan momen tersebut terasa rindu untuk mengunjunginya kembali.

1
0
0
0
0
You will be interested