Insan & Komuniti 24 Jan, 2021

Kes rumah terbakar di Setiu! Pelbagai pihak tampil hulur sumbangan kepada keluarga Zuraidah!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

MOK Kalsom Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan wang kepada Zuraidah Azahari di Kampung Seri Kenangan, Setiu pada 21 Januari 2021. - Kredit foto : PPIDS


KEDUKAAN yang dialami keluarga Zuraidah Azahari, 42, selepas mereka tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran di Kampung Seri Kenangan, Sungai Tong, Setiu, Terengganu pada 16 Januari 2021 lalu kini mula mendapat perhatian daripada orang ramai termasuk pelbagai pihak di daerah itu memberi sumbangan untuk mereka.

Sumbangan tersebut berupa barangan makanan, wang tunai, pakaian terpakai dan perkakas dapur bagi meringankan beban penderitaan yang dilalui mereka selepas bencana alam menimpa keluarga petani itu.


Lagi kisah-kisah sedih berkaitan kebakaran:

https://kitareporters.com/search?search=kebakaran


SEMASA mula rumah Zuraidah terbakar


SELEPAS terbakar


Kebanyakan mereka yang hadir menziarahi keluarga Zuraida selain mereka memberi bantuan sebagai simpati, mereka juga berharap semuga keluarga terbabit tabah menghadapi dugaan hidup yang ditentukan oleh Allah itu.

Zuraidah yang mempunyai tujuh orang anak itu begitu terharu dengan kunjungan orang ramai termasuk penduduk kampung sekitar kawasan itu yang tidak putus datang menziarahi keluarga mereka sehingga hari ini. 

Beliau berkata, semua sumbangan yang dihulurkan itu amat bermakna buat keluarga mereka ketika ini tiada apa-apa yang ada pada mereka selepas berlaku kebakaran rumahnya baru-baru ini.


ZURAIDAH AZAHARI


``Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang hulurkan sumbangan dan terima kasih juga ada yang sudi datang menjenguk keluarga saya. 

``Saya amat bersyukur pada Allah kerana dalam kebakaran itu, saya bersama dua orang anak berada di rumah ketika itu terselamat, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas kami melainkan rumah sahaja yang hangus termasuk peti ais, barangan dapur dan televisyen,’’ katanya ketika dihubungi pada Sabtu 23 januari 2021.


DUA belah kaki Zuraidah melecur akibat terkena api ketika dia menyelamatkan dua anaknya semasa rumahnya terbakar pada 16 Januari 2021.


Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5 petang itu, Zuraidah dan dua anaknya iaitu Nur Aufa Zahidah Yusman Heri, 5, dan Mohamad Faris Sufyan, 5 bulan, terselamat kecuali dua belah kaki Zuraidah yang sedikit melecur akibat terkena api semasa menyelamat dua orangnya untuk membawa keluar dari rumahnya.

Semasa kebakaran rumahnya yang mengakibatkan kerugian lebih RM70,000, Zuraidah sedang mandi di bilik air, manakala Mohamad Faris sedang tidur dalam buaian berhampiran dengan sebuah bilik. 

Suri rumah itu  mengetahui kejadian berkenaan selepas Nur Aufa Zahidah memberitahunya dan apabila dia keluar dari bilik air mendapati api sedang marak membakar di bilik terbabit yang terletak buaian anaknya itu. 

Ketika itu mereka hanya tiga beranak sahaja yang berada di rumah sementara suaminya, Yusman Heri Mansor, 50, serta lima anaknya yang lain tiada di rumah.


WAN Nasiah Wan Abdul Majid (kiri) menyampaikan sumbangan dapur kepada Zuraidah pada 19 Januari 2021. 


Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiu, Wan Nasiah Wan Abdul Majid ketika rombongannya berkunjung ke lokasi kebakaran tersebut pada 19 Januari 2021 menasihat Zuraidah supaya tabah serta banyak bersabar menghadapi dugaan hidup akibat kejadian itu. 

Beliau berkata, walaupun kebakaran itu berlaku dengan sekelip mata menyebabkan mereka kehilangan tempat berlindung tetapi beliau turut bersyukur kerana tiga beranak itu selamat. 

Wanita UMNO itu memberi bantuan makanan dan sebuah dapur untuk keluarga terbabit yang kini menumpang di rumah ibu Zuraidah.


BARANG-barang yang disumbangkan oleh orang ramai termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO)


Dalam pada itu, Persatuan Puteri Islam Daerah Setiu (PPIDS) menerusi Setiausahanya, Mok Kalsom Abdullah pula menyampaikan sumbangan wang untuk keluarga Zuraidah pada Khamis, 21 Januari 2021. 


MAZNAH Abdullah (dua dari kiri) memberi bantuan wang kepada Zuraidah pada 20 Januari 2021. - Kredit foto: Masjid Putera Jaya 


Turut mengagihkan sumbangan wang bagi keluarga terbabit ialah Kumpulan Yassin Masjid Putera Jaya, Setiu dan bantuan itu disampaikan oleh Pengerusinya, Maznah Abdullah di Kampung Seri Kenangan pada 20 Januari 2021. 

Orang ramai yang bersimpati dan mahu membantu nasib keluarga malang itu bolehlah memberi sumbangan mereka melalui akaun Zuraidah Azahari di Bank Simpanan Nasional (BSN) 11400-29-00022447-9 atau boleh hubungi beliau menerusi talian telefon 019-8763278. - KitaReporters


3
0
0
0
1
You will be interested