Insan & Komuniti 28 Feb, 2022

Pak Ya telah pergi! Yahya Atan lambang kegigihan hoki Malaysia! Tampil dalam 3 Sukan Olimpik!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

YAHYA Atan (depan, dua dari kanan), Stephen van Huizen (depan, dua dari kiri) dan Mirnawan Nawawi (kiri) bersama skuad negara.  - Kredit foto: RSC


YAHYA Atan merupakan antara segelintir tokoh hoki negara yang membarisi pasukan Malaysia dalam tiga Sukan Olimpik - kesemuanya dengan merit iaitu menerusi pusingan kelayakan terlebih dahulu.

Bermula sebagai pemain pada Olimpik Los Angeles 1984, beliau kemudian tampil sebagai penolong jurulatih dalam temasya di Atlanta 1996 dan Sydney 2000

Yahya juga menjadi penolong jurulatih negara dalam dua Piala Dunia  di Utrecht, Belanda pada 1998 dan Kuala Lumpur 2002 malah 'air tangannya' bersama Paul Lissek dari Jerman, membawa Malaysia merangkul pingat perak Sukan Komanwel 1998, juga di ibu kota

Gandingan jurulatilh ini di samping Stephen van Huizen, juga membantu skuad negara membawa pulang pingat gangsa Sukan Asia Busan 2002 setelah mengalahkan Pakistan menerusi penentuan penalti strok 4-3 di Stadium Hoki Gangseo.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan hoki

UCAPAN takziah KHM atas pemergian Allahyarham Yahya Atan. - Kredit foto: KHM 


Arena hoki negara pada 27 Februari 2022, menerima khabar duka dengan kembalinya Allahyarham ke rahmatullah pada usia 67 tahun, kira-kira pukul 6.45 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL).  

Dua hari sebelumnya, bekas ketua jurulatih pasukan wanita Malaysia ini ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas akibat serangan angin ahmar sebelum pasukannya, Sabah menentang Mutiara Impian dalam Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2022. 


YAHYA (berdiri, empat dari kanan) sebagai pemain negara pada Sukan Olimpik Los Angeles 1984. - Kredit foto: MUS


Laman Facebook rasmi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melaporkan, “arena hoki Malaysia kehilangan insan yang telah banyak menyumbang kepada sukan hoki di Malaysia.

“KHM ingin menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga Yahya atau lebih dikenali sebagai Pak Ya yang telah menghembuskan nafas terakhir jam 6.45 petang (27 Februari 2022) di HKL.

“Allahyarham merupakan seorang yang sangat mencintai sukan hoki dan telah banyak menghabiskan waktunya bersama membantu sukan hoki sama ada pada peringkat akar umbi (pembangunan) mahupun yang lebih tinggi.

“Jasa Allahyarham Pak Ya akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh KHM.

“Kami mendoakan semoga keluarga Allahyarham Pak Ya tabah menghadapi dugaan kehilangan insan tersayang. Semoga roh Allahyarham Yahya Atan atau Pak Ya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan beriman,” lapor laman itu.


MIRNAWAN Nawawi (empat dari kiri) banyak mendapat bimbingan Yahya Atan dari 1996 hingga 2002. - Kredit foto: KHM 


Bekas kapten skuad naib juara Sukan Komanwel 1998, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, “Allahyarham bukan sahaja sebagai jurulatih bahkan seorang yang mudah didekati dan selesa berkongsi pendapat.

“Seorang yang sukar dilihat marah tetapi sentiasa positif, menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, disiplin dan tekun. 

“Begitu banyak pengorbanannya untuk sukan hoki terutama pengorbanan masa bersama keluarga,” kata Mirnawan yang mendapat asuhan Pak Ya juga dalam Olimpik 1996 dan 2000, Piala Dunia 1998 dan 2002.

Di Atlanta 1996, skuad negara turut menghuni tempat ke-11 selepas menewaskan Amerika Syarikat 4-1 dengan para pemain bimbingannya termasuk Nasihin Nubli Ibrahim, Maniderjit Singh, Lailin Abu Hassan, Brian Jayhan Siva, Mirnawan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Calvin Fernandez dan S. Kuhan. 


 

YAHYA Atan (berdiri) mengendalikan satu kursus kejurulatihan tahap 1 di Kuching pada 2019. - Kredit foto: KHM


Stephen dan Yahya kemudian mengendalikan skuad negara ke Olimpik Sydney 2000 yang berjaya mengikat kuasa utama dunia seperti Belanda 0-0, Great Britain dan Pakistan 2-2 namun berkesudahan di tempat ke-11 selepas mengalahkan Poland 3-2 dengan barisan pemain hampir sama dan muka baharu seperti  Roslan Jamaluddin, Chua Boon Huat, K. Gobinathan, Nor Azlan Bakar, Jiwa Mohan dan Suhaimi Ibrahim.

Pak Ya juga menjadi penolong jurulatih negara kepada Volker Knapp dan Lissek (Jerman) dan Stephen yang turut membabitkan Olimpik 1996 dan 2000, Piala Dunia 1998 di Utrecht dan Kuala Lumpur 2002. 

Malaysia menduduki tempat ke-11 daripada saingan 12 pasukan pada Olimpik Los Angeles 1984 yang antara rakan sepasukan Yahya ialah Ahmad Fadzil, Foo Keat Seong, Sarjit Singh, Colin Sta Maria, Poon Fook Loke, Stephen, Soon Mustapha Karim, Zulkifli Abbas dan M. Shurentheran. - KitaReporters


YAHYA Atan (berdiri, kanan) sebagai jurulatih pasukan hoki lima sebelah remaja perempuan dalam Kelayakan Olimpik Belia 2018 di Bangkok. - Kredit foto: KHM 


YAHYA Atan atau Pak Ya menabur banyak jasa dan pengorbanan buat sukan hoki negara. - Kredit foto: MSN

13
12
0
12
0
You will be interested