Insan & Komuniti 31 Dec, 2021

Kuppan Muniandy, The Penang Panther sudah tiada! Pemain berkaliber emas! Jurulatih skuad juara!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

M. Kuppan (kiri) menyampaikan anugerah kepada bekas pemain negara, V. Kalimuthu manakala di kanan ialah Bahwandi Hiralal, anggota skuad Sukan Olimpik Munich 1972. 


BERJAYA sebagai pemain dan cemerlang selaku jurulatih negara. Amat jarang untuk memperoleh satu bakat dengan pencapaian sebegitu namun Datuk Kuppan Muniandy atau M Kuppan ialah antara yang segelintir mereka yang memilikinya.

Sebagai penyerang dan sayap kanan, dia menikmati pingat emas Sukan SEAP Rangoon 1961 di bawah bimbingan seorang jurulatih kelahiran Singapura, Choo Seng Quee (mendiang).

Apabila beralih kepada karier kejurulatihan, anak jati Kampung Baru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini berjaya membentuk pula skuad negara juara Pestabola Merdeka 1976 dan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1977.

Tidak ketinggalan dalam koleksi kejayaannya sebagai ketua jurulatih Malaysia ialah Piala Raja Thailand 1976 dan 1977 selepas seri 1-1 dan 0-0 dengan tuan rumah dan Korea Selatan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan M Kuppan



SALAM takziah daripada FAM dalam laman sosial dan sesawang rasminya. - Kredit foto: FAM


Sebagai pemain Pulau Pinang, Kuppan menjulang Piala Malaysia pada 1958 selepas mengatasi Singapura 2-0 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan semakin manis kerana mengulanginya selaku jurulatih negeri itu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang selepas menewaskan Perak 2-1.

Laman sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melaporkan, ketangkasan dan kelincahan di padang pernah membawanya digelar 'The Penang Panther' (Si Rimau Kumbang Pulau Pinang) dan Jetboots (Si Kaki Laju)

Kuppan menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Selayang, Selangor kira-kira pukul 5.30 petang 30 Disember 2021, menurut laman sosial Penang FC dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).


UCAPAN takziah dalam laman Facebook Penang FC. - Kredit foto: FB PFC


Dia yang lahir pada 14 Oktober 1936 serta pernah bertugas dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), meninggal dunia pada usia 85 tahun dan akan disemadikan di Butterworth, Pulau Pinang.

Kuppan yang juga bekas guru sementara, berkahwin dengan seorang pendidik, G. Amirthamani pada 1962 dan mereka dikurniakan tiga anak - Suther, Siva Prakash dan Siva Kumaran.

Mokhtar Dahari, Isa Bakar Abu Bakar, James Wong, Namat Abdullah, Shukor Saleh, Soh Chin Aun, Jamal Nasir Ismail dan Abdullah Ali serta R. Arumugam ialah antara pemain legenda negara yang pernah dibimbingnya sekitar 70-an.

Anggota skuad pemenang pingat emas Sukan SEAP 1961 ini pernah bergandingan dengan Edwin Dutton, Mahd. Yusoff Abu Bakar, Sexton Lourdes, Yee Sin Choy, Abdullah Yeop Noordin, M. Govindarajoo, Ahmad Nazari Min Zohari dan Abdul Ghani Minhat.

Diterajui ‘Pak Cik’ Choo, mereka menewaskan Kemboja 4-0, Burma 2-1 dan seri 2-2 dengan Thailand sebelum memastikan emas dengan menjinakkan semula tuan rumah 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Peringatan Aung San, Rangoon.


M. Kuppan (berdiri, lima dari kanan) sambil memeluk bahu pengurus pasukan, Datuk Abu Bakar Daud bersama-sama skuad negara juara Pestabola Merdeka 1976. 


Kuppan menyarung jersi negara selama lapan tahun dari 1958 hingga 1965 selain mewakili Pulau Pinang selama 10 musim termasuk sebagai kapten mulai 1962 namun bersara pada 1967 dan menghadiri Sekolah Jurulatih Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 1972.

Gelaran Pestabola 1976 turut dimilikinya sebagai jurulatih pasukan negara yang menjinakkan Jepun 2-0 hasil dua jaringan Mokhtar malah mereka kekal tanpa kalah sepanjang enam perlawanan liga.

Malang sekali, barisan paling berbakat dan handalan kendalian Kuppan yang turut mengandungi Isa, James, Yip Chee Keong dan Wong Choon Wah terkandas lebih awal dalam Kelayakan Piala Dunia 1977 (Mac) di Singapura.

Mereka dikejutkan jaringan tunggal penalti tuan rumah dan sekadar seri 1-1 dengan Hong Kong selepas turut terikat tanpa jaringan dengan Indonesia dan membelasah Thailand 6-4 sekali gus hanya memungut empat mata Kumpulan 1 Zon Asia.


M. Kuppan (kanan) bersama Soh Chin Aun menjulang trofi Pestabola Merdeka 1976 sambil didukung rakan (dari kiri) Wan Aziz Wan Ahmad, Shukor Saleh, Azraai Khor Abdullah, R. Arumugam, Wan Rashid Muhammad, Abdul Rahman Ibrahim dan Zainnondin Hussain. 


Namun skuad Kuppan bangkit menebusnya apabila menggondol emas Sukan SEA Kuala Lumpur pada 26 November 1977 selepas menewaskan Thailand 2-0, hasil jaringan Supermokh dan Bakri Ibni di Stadium Merdeka.

Jawatan-jawatan lain yang pernah disandangnya ialah Pengarah Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang 1986-1990 dan Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan dan Negeri 1990-2010 dan Ahli Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2004-2010.

Beliau dianugerahkan gelaran Datuk daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ketika itu juga Presiden FAM pada 2005. - KitaReporters


LUKISAN mural di dinding Stadium Bandaraya, Pulau Pinang - venue kejayaan negeri itu menjuarai Piala Malaysia 1974, menampilkan wajah M. Kuppan yang diapit Mohd. Faiz Subri (kiri) dan Namat Abdullah. 

11
11
0
9
0
You will be interested