Insan & Komuniti 21 Oct, 2020

Mula dapat bantuan! Wan Kadir terima peti ais, mesin basuh!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: adnan580218@gmail.com

Share this

KESUKARAN keluarga penoreh getah, Kamariah Mahmud, 54, serta suaminya, Wan Kadir Wan Sulaiman, 62, akibat rumah mereka terbakar di Kampung Seri Bayas, Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu pada Sabtu, 17 Oktober 2020 lalu mula mendapat simpati dari orang ramai serta pelbagai pihak. : KitaReporters


AZMI Maarof (dua dari kiri) menyampaikan sedikit wang perbelanjaan kepada Wan Kadir Wan Sulaiman di Kampung Seri Bayas, Bandar Permaisuri, Setiu. 


Sumbangan yang dihulurkan itu sejak Isnin, 19 Oktober 2020 berupa wang tunai serta barangan dan difahamkan juga mangsa kebakaran itu akan mendapat sebuah rumah yang akan disalurkan oleh kerajaan dalam masa terdekat ini. 

Bantuan rumah yang bakal diberikan terhadap mangsa kebakaran itu bagi memastikan kehidupan mereka lebih selesa kerana buat masa ini keluarga Kamariah terpaksa menumpang rumah arwah ibunya di kampung itu. 

Pada 19 Oktober 2020 lalu, Pas Kawasan Setiu bersama ahli jawatankuasanya telah menyumbang sebuah mesin basuh, sebuah peti sejuk serta sedikit wang perbelanjaan kepada keluarga Wan Kadir. 


AZMI Maarof (tiga dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Pas Kawasan Setiu menyumbang sebuah peti sejuk kepada Wan Kadir Wan Sulaiman di Kampung Seri Bayas, Bandar Permaisuri, Setiu.


Pengerusi Lujnah Kebajikan Pas Kawasan Setiu, Azmi Maarof berkata sumbangan yang dihulurkan itu bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga Wan Kadir yang bukan sahaja rumah mereka musnah tetapi peralatan eletrik seperti mesin basuh dan peti sejuk turut hangus dalam kebakaran itu. 

Menurutnya, dengan adanya mesin basuh itu keluarga terbabit tidak perlu lagi bersusah payah mencuci pakaian dengan menggunakan tangan sebaliknya mereka boleh menggunakan mesin itu.


 

KAMARIAH MAHMUD


``Ini adalah salah satu usaha kita membantu golongan mereka yang tidak berkemampuan ataupun mangsa kebakaran seperti Wan Kadir itu sekurang-kurangnya dengan sumbangan yang kita beri ini dapat meringankan kehidupan mereka,’’ katanya selepas menyampaikan bantuan barangan tersebut kepada Wan Kadir di Kampung Seri Bayas, Bandar Permaisuri, Setiu.  

Sementara itu, Wan Kadir berkata, beliau serta keluarganya mengucap terima kasih kepada mereka yang sudi memberi sumbangan serta bersimpati dengan nasib mereka. 

Beliau berkata, dengan wang yang diberikan itu, dapatlah keluarganya berbelanja untuk membeli keperluan mereka kerana dalam kebakaran itu sejumlah wang tunai RM800 yang berada di rumahnya ketika itu turut hangus dijilat api dan semasa kejadian berkenaan pasangan suami isteri itu tiada di rumah.  

Kebakaran tersebut berlaku kira-kira pukul 4 petang pada hari tersebut telah memusnahkan sebuah rumah yang didiami keluarga Kamariah itu termasuk barangan lain menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang serta mengalami kerugian yang dianggarkan lebih RM100,000.


Peti sejuk dan mesin basuh yang disumbang oleh Pas Kawasan Setiu untuk keluarga Wan Kadir Wan Sulaiman.


Turut musnah dalam kejadian itu ialah barangan hantaran dan peralatan pengantin bernilai kira-kira RM10,000 kepunyaan anak bongsunya, Nor Azuani Ariffin, 23, yang dijadualkan akan melangsungkan perkahwinannya pada 14 November 2020. 

Sebelum itu, Kitareporters melaporkan sebanyak dua kali mengenai kejadian kebakaran yang dialami oleh Kamariah dan kini ternyata kesedihan keluarga terbabit mula dikongsikan bersama dalam kalangan pembaca selepas mereka menyumbang wang menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Kamariah itu. - KitaReporters

0
0
2
0
0
You will be interested