Insan & Komuniti 03 Nov, 2020

Terlantar di katil hospital! MB Terengganu tetap bertugas!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

“WALAUPUN masih tidak boleh berjalan, dan berdiri tetapi minda harus sentiasa cergas untuk melaksanakan amanah.” Begitulah ungkapan dari Menteri Besar Terengganu,Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang kini terlantar di katil hospital. Baginya, amanah dan tugas perlu dilaksanakan, meskipun berada di hospital. : KitaReporters


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggunakan komputer riba ketika bertugas  dari katil hospital


Lagi cerita-cerita berkaitan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar:

https://kitareporters.com/search?search=Ahmad+Samsuri


Katanya, pada tengah hari Isnin, 2 November 2020 iaitu tidak sampai 24 jam selepas 'operation', beliau sudah minta Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu dan Ketua Polis Terengganu supaya datang ke bilik wadnya untuk memberi taklimat mengenai kedudukan terkini COVID-19 dan isu keselamatan di Terengganu. 

Dr Ahmad Samsuri menarik perhatian rakyat Terengganu kerana beliau memulakan tugas dari katil Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) selepas selesai jalani pembedahan lutut.



Katanya, dalam satu kenyataan dalam Facebook hari ini, Selasa 3 Novermber 2020, walaupun masih tidak boleh berjalan, dan berdiri tetapi minda harus sentiasa cergas untuk melaksanakan amanah.

"Fail-fail di pejabat Menteri Besar yang memerlukan tugas saya untuk ditandatangani juga saya minta dibawa ke bilik wad,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau itu. 

Katanya, saya juga memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, sekiranya ada perkara yang memerlukan MB membuat keputusan, sila terus bawa kepada saya walaupun semasa saya berada di dalam kamar wad.


Dr Ahmad Samsuri sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Terengganu


Dalam masa yang sama, beliau memohon maaf sekiranya ada sebarang kekhilafan yang dilakukannya.

"Saya akui kelemahan diri saya dalam pelbagai perkara dan bukanlah 'Superman' yang boleh melakukan berbagai-bagai kerja yang luar biasa, tetapi sesungguhnya saya merasa insaf bahawa rakyat sentiasa memerlukan keputusan dan tindakan pemimpin kerajaan dalam urusan seharian," tambah beliau.

Ahmad Samsuri selesai menjalani pembedahan lutut selepas mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament (ACL).


Cedera ligamen! MB Terengganu dah jalani pembedahan lutut!


Datuk Tengku Hassan Omar (dua dari kiri) dan Dr Alias Razak (kiri) ketika mengunjungi Menteri Besar di hospital


Setiausaha politiknya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, Ahmad Samsuri telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pergerakan fizikal yang boleh memberi kesan pada proses penyembuhan.

“Proses penyembuhan dijangka sekurang-kurangnya selama enam minggu.

“Pembedahan ini dilakukan kerana kecederaan dalaman pada ligamen lutut akibat terseliuh kerana menahan badan daripada jatuh semasa aktiviti riadah,” katanya.


Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (kiri) mengaminkan doa ketika menziarahi Menteri Besar


Dalam perkembangan lain beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu mengambil kesempatan untuk menziarah Menteri Besar yang kini menjalani rawatan di hospital. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak yang turut ziarah beliau berkata, Ahmad tetap setia mengukir senyuman walaupun masih dalam tempoh rawatan. 

Katanya, beliaulah teman seperjuangan, pemimpin parti dan ketua kerajaan yang sentiasa sibuk memikirkan urusan rakyat walaupun di atas katil hospital.


Dr Ahmad Samsuri memperkatakan sesuatu kepada Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman


Dua lagi  lagi pemimpin kerajaan negeri  yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro, Sumber Manusia Dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran, Datuk Tengku Hassan Omar. - KitaReporters

7
0
0
1
0
You will be interested