SENIMAN veteran Datuk Zulkifli Zain, yang bakal berusia 76 tahun pada 7 April 2020 terpaksa ditahan semula di Hospital UiTM, Sungai Buloh, Selangor sejak 1 April 2020 selepas kakinya membengkak selain mengalami masalah paru-paru berair. : KitaReporters
Perkara ini dimaklumkan oleh salah seorang anaknya, Prof. Madya Dr Norzizi yang juga seorang pelakon dan pengarah teater dalam laman Instagramnya @norzizizulkifli.
"Saya mohon semua tenang. Insya-Allah papa okay. Keadaannya stabil," katanya menerusi satu posting yang dimuat naik dalam Instagram.
"Sebelum ini masa tengah hangat kes Covid-19, sebelum PKP Fasa1, papa dimasukkan ke wad.
"13 hari di hospital dan saya shif semuanya malam sebab siang saya kerja.
"Bila bermulanya PKP 18 Mac, nikmat untuk saya sebab selalunya lepas balik dari hospital saya akan bersiap ke pejabat.
"Bila PKP ini, ia semacam satu rahmat di mana saya balik dari hospital dan dapat memberikan 'tempoh nyawa' untuk saya," kongsinya.
Dalam pada itu, menerusi entri berasingan, Norzizi turut berkongsi kepada umum jadual giliran dirinya dan adik-beradik lain untuk menjaga bapanya di hospital.
Sebelumnya, Norzizi memaklumkan keadaan bapanya semakin merosot selepas lapan hari dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang.
Penglibatan Zulkifli dalam bidang seni bermula sejak 1970 sebagai penari Kompleks Budaya Negara (KBN) sebelum diterima bersama beberapa penari seperti Hail Amir dan Uji Rashid berlakon dalam beberapa filem awal dalam bentuk warna terbitan Merdeka Studio Film Production, Hulu Klang, Selangor.
Zulkifli adalah antara pelakon utama filem warna kedua terbitan Studio Merdeka Film Production iaitu ‘Jiwa Remaja’ pada tahun 1975 arahan Datuk Jamil Sulong.
Turut membintangi filem itu ialah Hail Amir dan Uji Rashid.
Ketika nama di puncak Zulkifli berkahwin dengan Normala Omar, 62, pada 1975. Mereka bercinta ketika sama-sama bertugas di KBN.
Normala juga mula mencipta nama sebagai pelakon filem dan artis rakaman.
Hasil perkahwinan mereka dikurnia lima cahaya mata.
Normala kini terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda sementara Zulkifli juga kurang sihat.
Ketika Zulkifli kurang sihat pada bulan Ramadan tahun 2016, Normala terjatuh dari katil dan selepas itu terpaksa bergerak dengan kerusi roda.