Kredit foto: FB Ebit Lew
KETIKA kerajaan memperketatkan pergerakan rakyat bagi membendung penularan virus Covid-19, banyak pekerja dan pemain industri yang hilang pendapatan.
Atas kesedaran dan keprihatinan, ramai juga pihak yang tampil memberi bantuan dengan cara sendiri. Ini termasuklah guru-guru agama di pedalaman yang tampil melakukan dakwah sambil memberi bantuan kepada penduduk setempat yang berada dalam kesempitan.
Baru-baru ini tular dalam media sosial, video memaparkan seorang lelaki berpakaian putih bergelar ustaz sedang menyerahkan bantuan kepada golongan yang memerlukan bantuan di tepi jalan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan memberi bantuan
Jika pendakwah Ebit Lew tular videonya kerana cara beliau memberi bantuan kepada kumpulan yang jarang-jarang didekati, video ini pula mencuri perhatian netizen disebabkan tindakan pendakwah itu yang didakwa memberi ‘tazkirah’ dengan cara yang agak kasar kepada golongan tersebut sebelum menghulurkan bantuan.
Bukan itu sahaja, cara beliau menyampaikan tazkirah mendapat kritikan ramai kerana turut bertanyakan soalan-soalan fardu ain secara terbuka, seperti rukun iman, niat solat fardu dan sebagainya.
Ia mungkin tidak timbul sebarang isu jika pertanyaan itu dilontarkan kepada anak-anak murid atau mereka yang pada usia muda, sebaliknya dalam video tersebut jelas menunjukkan mereka yang 'ditazkirahkan' itu dari golongan telah berusia dan golongan dewasa.
Jika ada yang gagal atau memberi jawapan salah, orang tersebut seolah-olah dipersenda untuk tidak diberi bantuan oleh pendakwah berkenaan.
Video berdurasi satu minit itu telah dikongsi oleh seorang pemilik Twitter atas nama @NazrudinRahman menerusi akaun miliknya.
“Aku jijik dengan keangkuhan, terutama dari golongan ‘terpelajar’. Orang tengah kebulur, dia boleh bagi syarat kena silat? Kena jawab quiz agama sebelum mendapat bantuan? Ini salah. Astaghfirullah. Di mana hilangnya ikhlas dan perikemanusiaan,” ciap Nazrudin.
Pemilik akaun Twitter Nazrudin tersebut meluahkan rasa kesal dengan sikap angkuh pendakwah terbabit yang dianggap seperti tidak ikhlas dan tidak berperikemanusiaan. Ia juga jelas suatu tindakan menjatuhkan air muka mereka yang berada dalam video berkenaan.
Tambahnya, perbuatannya itu seoalah-olah memalukan orang yang dalam kesusahan.
Sehingga kini, identiti lelaki berjubah berkenaan serta lokasi kejadian tidak dapat dipastikan. Namun apa yang jelas, bantuan itu berunsur ‘peribadi’ seperti yang dimaklumkan olehnya dalam video tersebut. - KitaReporters