Insan & Komuniti 05 Jul, 2021

Video| Ho Van Lang si Tarzan Moden! Lebih 40 tahun menghuni hutan belantara! Dibawa lari bapanya!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Ho Van Lang yang mendapat jolokan sebagai "Tarzan Moden" membesar dan menghabiskan masa lebih empat dekad di dalam hutan belantara. - Kredit foto: Docastaway.


TIDAK dapat dibayangkan bagaimana rasanya jika terpaksa hidup di dalam hutan belantara yang terputus hubungan dengan dunia luar dalam tempoh yang lama.

Walaupun sukar dipercayai namun perkara tersebut benar-benar terjadi kepada seorang lelaki Vietnam yang mengikut satu cerita dibawa lari oleh bapanya “bersembunyi” di dalam hutan selama lebih empat dekad selepas ibu dan dua abangnya terbunuh dalam satu serangan bom tentera Amerika Syarikat ketika Perang Vietnam pada tahun 1972.

Ketika itu, bapanya, Ho Van Thanh yang kini berusia 90 tahun yakin dengan melarikan diri ke hutan dia mampu menyelamatkan dua anak kecilnya, Ho Van Lang yang baru berusia dua tahun dan abangnya, Ho Van Tri daripada ancaman perang yang sedang berlaku di negara mereka. Namun mengikut satu cerita lain, Thanh hanya dapat membawa lari Lang, manakala Tri ditinggalkan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan hutan

Ho Van Thanh, bapa 'Tarzan Moden" yang membawa anaknya Ho Van Lang melarikan diri ke hutan selama lebih empat dekad. - Kredit foto: Docastaway.


Ho Van Lang ketika dibawa keluar dari hutan yang di diaminya selama lebih empat dekad. - Kredit foto: Docastaway.


Tanpa sebarang persiapan, kehidupan mereka di dalam hutan di daerah Tay Tra, wilayah Quang Ngai tidak mudah  dan terpaksa memakan  haiwan liar seperti tikus, ular, katak, kelawar dan monyet selain pucuk kayu serta madu untuk menyambung kehidupan selama lebih empat dekad “persembunyian” mereka.

Mereka yang terputus sama sekali dengan dunia luar sepanjang tempoh tersebut juga membina kediaman di atas pokok dan menggunakan kulit kayu sebagai pakaian yang lebih menyerupai cawat untuk meneruskan kehidupan.

Sepanjang di hutan mereka juga membuat sendiri pelbagai peralatan  seperti  peralatan untuk memasak dan makan daripada  sumber hutan yang ditemui selain sentiasa membiarkan api yang dinyalakan terus hidup sepanjang masa.


Antara peralatan yang dibuat oleh keluarga "Tarzan Moden" hasil daripada bahan yang  ditemui di hutan. - Kredit foto: Docastaway


Disebabkan membesar di dalam hutan, Lang yang kini berusia 49 tahun tidak begitu memahami berbahasa ibunda dan tidak lancar bertutur selain tidak mengetahui konsep hidup bermasyarakat kerana tidak pernah bertemu dengan sesiapa selain bapa dan abangnya ketika  menghuni hutan tersebut.

Tempat ‘persembunyian” mereka terbongkar ketika ditemui penduduk kampung yang memasuki hutan untuk mencari kayu pada tahun 2013 sebelum diselamatkan pihak berkuasa  pada tahun 2015.

Lebih memeranjatkan lagi, Lang yang mendapat jolokan “Tarzan Moden” mengakui  dia tidak pernah mengetahui kewujudan manusia berjantina wanita kerana bapanya tidak pernah menerangkan kepadanya mengenainya.


Lang menjadikan haiwan liar sebagai salah satu sumbermakanan sepanjang hidup di hutan. -Kredit foto : Docastaway


Lang benar-benar tidak mengetahui tentang dunia luar kecuali apa yang diceritakan oleh bapanya mengenai kapal terbang yang sering terbang merentasi awan kerana Thanh mengehadkan banyak maklumat dunia luar yang disampaikan kepada anaknya.

Sepanjang lebih empat dekad menjadi penghuni hutan mereka  tidak pernah menemui sesiapa dan kehidupan mereka di hutan  berjalan lancar sehinggalah kesihatan Thanh mula merosot disebabkan keadaan mentalnya yang semakin lemah. 

Lang juga dikatakan berada dalam keadaan tertekan dan bimbang sepanjang beberapa tahun terakhirnya di hutan berikutan kesihatan bapanya yang semakin merosot dan sentiasa berjaga pada waktu malam setiap kali bapanya sakit atau memerlukan sesuatu.

Apabila mereka ditemui penduduk kampung, mereka dibawa menaiki kereta ke kampung berhampiran dan mereka terkejut dengan kemodenan yang disaksikan. Pada waktu malam pula, Lang sangat teruja melihat cahaya lampu yang dihasilkan daripada mentol dan menyifatkannya sebagai luar biasa.


Lang bersama bapanya berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan baharunya di sebuah perkampungan di Vietnam.- Kredit foto : Docastaway


Alvaro Cerezo


Sementara itu, Pengarah Urusan Docastaway, Alvaro Cerezo yang menjejaki keluarga ini pada penghujung tahun 2015 berkata, mereka melarikan diri setiap kali terserempak dengan manusia.

“Mereka pernah cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu di sebuah perkampungan kecil pada tahun 2013, namun kembali semula ke kediaman asal di hutan tidak lama selepas itu.

“Saya boleh mengesahkan bahawa Lang langsung tidak mempunyai nafsu syahwat dan naluri tersebut tidak pernah ditonjolkan,” katanya kepada  laman berita news.com.au.

Malah abangnya, Ho Van Tri menyifatkan Lang seperti seorang anak kecil yang terperangkap di dalam tubuh seorang manusia dewasa kerana terlalu lama hidup di dalam hutan.

“Kebanyakan orang dapat membezakan apa yang baik dan buruk dalam kehidupan mereka, tetapi bukan dia. Lang seperti anak kecil yang tidak tahu apa-apa.

“Sekiranya saya meminta dia memukul seseorang,  dia akan melakukannya tanpa belas kasihan kerana dia tidak dapat membezakan antara kebaikan dan kejahatan;” katanya. - KitaReporters



3
0
0
0
0
You will be interested