Insan & Komuniti 23 Apr, 2022

Keluarga Malaysia: PATIK beli baju raya! Untuk anak yatim dan asnaf! Kegembiraan jelas terpancar!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this


Pegawai Perhubungan Awam PATIK, Mohd Jefrisham Abdul Latif (kanan) membantu seorang kanak-kanak mencuba baju Melayu di Jakel Kuantan pada 18 April 2022.


SEMUA orang berhak meraikan Aidilfitri dengan cara mereka sendiri termasuk bergaya dengan pakaian baharu. Andai ada yang sudi menaja, hanya ucapan terima kasih dan bersyukur yang mampu diluahkan kepada si pemberi. 

Tidak terkecuali 45 anak-anak yatim dan asnaf apabila mereka dibawa oleh Pertubuhan Amal Tiara Kasih Kuantan (PATIK) untuk membeli baju raya di sebuah gedung tekstil terkenal, Jakel di Kuantan, Pahang pada 18 April 2022 lalu.  


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan keriangan baju raya

Jelas tergambar keceriaan anak-anak yatim dan asnaf selepas membeli baju raya idaman mereka.


Keriangan jelas tergambar pada wajah 45 anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang (PJHKS), Taman Guru di Kuantan apabila dibawa membeli baju raya  bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Mereka yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu diberikan kebebasan untuk memilih baju Melayu berserta samping dan songkok bernilai RM120 setiap seorang mengikut warna yang mereka gemari.

Mohd Muntazar Ahmad Shahir, 10, berkata, perasaannya bercampur baur antara gembira dan sedih kerana hanya dia dan dua lagi adiknya dapat baju raya baharu berbanding adik-adiknya yang lain di kampung.

“Saya bersyukur dan gembira sebab dapat baju baharu tapi mengenangkan adik beradik lain di rumah, saya sedih. Tak tahulah ada baju baharu atau tidak.

“Saya harap, mak dan ayah boleh jemput kami pulang  beraya di rumah. Kalau boleh nak bersama dengan keluarga pada pagi raya,” katanya.

Mohd Muntazar berkata, dia dan dua lagi adiknya, Muhammad Taat, 9, dan Muhammad Fitri Al-Ikhwan, 7, dihantar ke Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang sejak tahun lalu.

Muhammad Humam Daqiqi Firdaus, 12, pula berkata dia terharu menerima sumbangan baju raya tahun ini, sekali gus memeriahkan suasana raya kali ini.

“Terima kasih kerana sudi bantu kami beli baju dan kain sampin, tahun lepas saya tak dapat beli baju baharu,” katanya.

“Saya harap saya boleh bawa balik baju baharu ini untuk tunjuk kepada keluarga supaya dapat beraya bersama keluarga,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.


Mohd Jefrisham Abdul Latif membantu seorang kanak-kanak mencuba baju Melayu pada Majlis Membeli Pakaian Raya dan Majlis Berbuka Puasa di Kuantan.


Sejumlah RM5,500 diperuntukkan oleh Pertubuhan Amal Tiara Kasih Kuantan (PATIK) dan The Green Valley Plantation Management Sdn Bhd (TGVY) bagi menjayakan program Pembelian Baju Raya Anak-anak Yatim dan Asnaf PJHKS terbabit.

Sementara itu, Ketua Penjaga Pusat Jagaan Hembusan Kasih Sayang, Muhamad Mu'izuddin Abdullah Hashim berkata, pihaknya berterima kasih kepada penyumbang yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan kepada 85 orang anak yatim dan asnaf di bawah jagaannya.

“Alhamdulillah. tahun ini, kami menerima sumbangan daripada PATiK dan Green Plantation untuk kanak-kanak lelaki, manakala untuk kanak-kanak perempuan pun ada juga terima tapi daripada NGO lain.

“Apabila tengok anak-anak ini gembira terpancar pada wajah mereka, saya bersyukur sangat-sangat. Itu sudah memadai pada saya kerana mereka juga dapat menyambut Syawal seperti orang lain," katanya.


Syed Mohd Rauzi Syed Abd Rahim membantu seorang kanak-kanak mencuba baju Melayu di Jakel Kuantan, Kuantan. 

Pengerusi  PATIK, Tunku Zaza Fakia Faranaz Tunku Datuk Ismail berharap inisiatif yang dilakukan menerusi program amal, Sinar Kasih Ramadan itu dapat menceriakan kanak-kanak berkenaan yang jarang dapat peluang membeli pakaian baharu. 

Tunku Zaza Fakia Faranaz berkata, PATIK akan menjadikan aktiviti membeli pakaian raya yang dimulakan pada tahun lalu itu sebagai acara tahunan bagi membantu lebih ramai anak yatim merasai kemeriahan Aidilfitri.

“Kami harap lebih banyak pihak tampil menjadi penaja dan menjayakan aktiviti seperti ini kerana kami juga akan fokus kepada bantuan persekolahan kepada mereka yang memerlukan,“ katanya.

Menurutnya, program sepeerti itu akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM5,000 bagi pembelian baju raya.

Semoga sumbangan yang diberikan kepada anak-anak yatim dan miskin ini dapat gembirakan hati mereka ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut beberapa hari sahaja lagi. - KitaReporters 


Mereka turut menerima duit raya sumbangan Jakel Kuantan

10
9
0
12
0
You will be interested