Insan & Komuniti 23 Jun, 2021

Bebanan kerja bertambah ketika PKP! Walaupun hadapi gangguan mental, pensyarah terus kongsi ilmu!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

 

Kalau dalam jiwa sudah tertancap cinta dan kasih kepada kerjaya, apa jua rintangan pasti dilalui. Ibarat lilin membakar diri untuk memberi cahaya kepada orang lain.

Begitulah yang dilalui oleh seorang pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Kuala Lumpur, Mohamad Khairulnizam Nordin, 37.

Kerjaya yang ditimang-timang selama 14 tahun akhirnya bertemu dengan ujian yang sangat besar. Bukan kepalang ujian yang harus dilaluinya. Kalau tiada rasa cinta mandalam terhadap kerjaya sebagai pendidik, pasti ia karam sebelum berlabuh.

Namun suami kepada Siti Lyana Radzuan, 31 dan ayah kepada dua orang anak ini bukan sebarang nakhoda. Beliau tetap teguh berbekal ilmu di dada dan semangat juang yang tinggi mengharungi ujian mendatang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pensyarah

Kharulnizam tetap ceria bersama keluarga walaupun menghadapi masalah berkaitan mental.


Semangatnya terus utuh apatah lagi mendapat dorongan dan sokongan daripada isteri tercinta. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri pun terasa, begitulah yang dirasai Siti Lyana sebagai teman hidup.

Ketika ditemu bual oleh wartawan KitaReporters melalui aplikasi WhatsApp, Siti Lyna tidak teragak-agak untuk berkongsi kisah yang berlaku ke atas suaminya.

Menurutnya, suami seorang yang sangat cintakan kerjaya sehingga sanggup berulang alik dari Slim River, Perak di mana mereka menetap ke ibu kota Kuala Lumpur untuk mengajar di salah sebuah IPTS di situ.

Namun, disangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. 

Pada April 2021, Mohamad Khairulnizam telah disahkan menghidap penyakit Major Depressive Disorder (MDD) (Gangguan Kemurungan Utama) dan Anxiety Disorder (Gangguan Kegelisahan) atau bahasa mudahnya kemurungan (masalah kesihatan mental).

Berikutan penyakit yang dihidapinya itu, Mohamad Khairulnizam terpaksa meletak jawatan kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak. Namun begitu, semangat wajanya tetap membara dalam menyampaikan ilmu apabila menjadi tenaga pengajar di sebuah lagi IPTS secara sambilan di Kuala Lumpur.


Siti Lyana sentiasa menjadi pendamping setia memantau kesihatan suaminya.


“Suami saya amat dikenali sebagai instruktor dan pensyarah Malaysian University English Test (MUET) di banyak Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia. Malah, dia juga dikenali kerana kejayaannya mengajar pelajar-pelajar IPT untuk skor dalam MUET oleh pihak Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

“Namun, ketika sedang bertugas sebagai pensyarah di salah sebuah IPTS dalam negara, dia jatuh sakit dan terpaksa berhenti. Walau bagaimanapun, dia masih bekerja secara sambilan di sebuah lagi kolej swasta di Kuala Lumpur,” cerita Siti Lyana.

Bercerita mengenai penyakit yang dihidapi oleh suaminya, menurut Siti Lyana ia bermula disebabkan kemurungan melampau sehingga menyebabkan insan yang disayanginya itu takut untuk beriteraksi dengan semua orang kecuali isteri dan anak-anak.

“Namun, saya kagum melihat semangatnya. Walaupun mengalami semua simptom MDD dan anxiety tetapi tetap meneruskan proses mengajar pelajar melalui kelas dalam talian menggunakan Google Meet, Google Classroom dan Zoom. Kadang-kadang apabila serangan terjadi, suami saya ambil masa sebentar untuk bertenang dan sambung semula kelas tersebut.

“Suami saya sangat komited mengajar sejak 14 tahun lepas sehingga sekarang dan walaupun sakit dia tetap ketawa dan memikirkan ilmu dan pencapaian pelajarnya sebagai perkara penting dan nombor satu dalam mindanya apabila bekerja,” ujarnya. 


Pembelajaran secara dalam talian memerlukan kos yang tinggi dan ada pelajar yang tidak mampu.


Sementara itu, bagi pihak Mohamad Khairulnizam sendiri, dia menjelaskan penyakit yang dihidapinya itu bertambah serius disebabkan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Oleh kerana PKP, beban kerja bertambah kerana bukan sahaja saya perlu mengajar secara dalam talian tetapi juga tugasan tambahan untuk meneliti atau mengawal kehadiran pelajar serta menilai kebolehfahaman pelajar atas subjek yang diajar.

“Selain itu, bahan pengajaran juga perlu disediakan dalam bentuk ‘softcopy’. Penilaian pelajar juga sukar dilaksanakan kerana sebahagian pelajar tidak responsif semasa kuliah dijalankan. Ramai pelajar mengaku sukar untuk memberi perhatian kerana tiada interaksi aktif dengan rakan semasa kuliah dijalankan.

“Oleh kerana pelaksanaan PKP, terdapat banyak ibu bapa yang mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian anak mereka di IPTS. Malahan pelajar yang sedia ada juga diminta oleh para ibu bapa untuk menangguhkan pengajian atau berhenti daripada meneruskan pengajian.

Memandangkan pendapatan IPTS adalah bergantung kepada jumlah kemasukan pelajar maka dengan pelaksanaan PKP jumlah enrolmen para pelajar jatuh mendadak dan memberi kesan kepada kewangan IPTS tersebut. 

“Terdapat IPTS seperti tempat saya bertugas terpaksa membuat potongan gaji yang agak besar untuk mengurangkan kos operasi. Selain itu, terdapat juga pensyarah atau pekerja yang diberhentikan terutamanya yang berstatus kontrak dan sambilan.

“Dengan pemotongan gaji dan kos pengajaran yang semakin meningkat, secara automatik memberi tekanan mental kepada para pengajar kerana bukan sahaja mereka perlu membelanjakan wang untuk kehidupan seharian bersama keluarga tetapi juga perlu menyediakan platform pengajaran di rumah yang serba mahal dalam keadaan gaji yang berkurangan.

Akibat tugasan yang terlalu banyak menyebabkan masalah anxiety (kerisauan melampau) semakin serius dan saya sentiasa berasa takut apabila mendengar ‘notification’ daripada telefon.

“Ini kerana setiap kali menerima ‘notification’, saya berasa yang saya ada terlalu banyak tugas yang perlu dilaksanakan dan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melaksanakannya (tugas pentadbiran dan mengajar).

“Disamping itu, saya mula mengalami gejala kurang penghargaan diri, kesedihan yang melampau dan kemurungan yang menyebabkan saya tidak mampu berfikir secara waras dan efektif.

“Saya dipengaruhi oleh perasaan marah, kecewa dan sedih yang membawa kepada keinginan untuk membunuh diri dan menyakiti diri sendiri

Saya mula meminta nasihat pakar dan didiagnosis dengan Major Depression Disorder dan Anxiety Disorder dan sehingga kini atas nasihat doktor saya perlu dipantau untuk memastikan saya menghadiri setiap janji temu kerana mereka yang ada masalah ini menghadapi kecelaruan ingatan yang menyebabkan mereka selalu terlupa terutama tarikh.

“Saya juga perlu mengambil ubatan mengikut masa yang ditetapkan bagi membolehkan saya cukup rehat dan dapat mengawal emosi. Isteri saya pula perlu memerhatikan saya jika terdapat tanda-tanda kecenderungan untuk menyakiti diri sendiri atau membunuh diri,” ceritanya.

Semoga pengalaman dan kisah Mohamad Khairulnizam ini boleh dijadikan panduan dan pengajaran kepada mereka di luar sana yang mungkin berhadapan masalah yang sama. Ingat, cegah sebelum parah! - KitaReporters


Khairulnizam dikenali ramai kerana berjaya membantu pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam MUET.

18
5
12
0
4
You will be interested