BARU-BARU ini tular dalam media sosial mengenai posting berkenaan isu wanita perlu "buat bodoh-bodoh jika ingin bertemu jodoh" atau bahagia di samping suami sehingga mencetus perbalahan dalam media sosial.
Oleh kerana isu ini terlalu hangat diperkatakan, pakar motivasi, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad semalam, Khamis 10 Jun 2021, telah membuat permohonan maaf berhubung kenyataan yang mencetus kontroversi ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan D5r Muhaya
Menurut beliau dalam laman Instagramnya, beliau mengatakan semua ini salah faham daripada potongan klip buat bodoh-bodoh yang telah tular.
Untuk makluman, hantaran klip 56 saat tersebut adalah petikan dari live dalam FB Page Prof Muhaya dan Youtube Prof Muhaya TV berdurasi 45 minit yang diterbitkan pada 6 Feb 2021 jam 6 petang bertajuk “Antara Cinta Dan Cita-cita”.
Katanya, siaran live berhubung kenyataan kontroversi tersebut adalah sebenarnya bagi menjawab persoalan KK Talib dan komen-komen daripada FB, berkaitan wanita yang dalam dilema, antara mengejar kerjaya, cinta serta keluarga.
"Secara teknikalnya, ini adalah video lama. Bagaimanapun Bonda faham klip yang telah disunting kepada 56 saat ini, telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat, terutama kaum wanita, sehingga menimbulkan persoalan, perbalahan dan sangkaan.
"Bonda mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang ambil berat termasuk pihak media, rakan-rakan dan keluarga yang mengambil inisiatif tabayyun, atau bertanya akan perkara sebenarnya kepada Bonda mahupun team Bonda.
"Bonda juga seorang wanita, isteri, ibu dan nenek yang berkerjaya dan semestinya sentiasa mendukung, mendoakan wanita semua berjaya ke puncak tertinggi, berbahagia dunia akhirat dan mendapat redha Allah," kata Dr Muhaya.
Rata-rata netizen pun memberi komen yang sangat positif di Facebook miliknya.
Diharapkan kita semua tidak berbalah lagi akan isu seperti ini, yang penting kita kena selidik dahulu sebelum berkata-kata. - KitaReporters