Insan & Komuniti 22 Feb, 2021

Pak cik penjual buah potong menangis kesyukuran! Keluarga Alina Farahin borong habis jualan!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

Lelaki ini memborong semua buah-buahan potong yang dijual oleh seorang pak cik di Stesen Minyak Petron di Masjid Tanah,, Melaka dan diagihkan kepada mereka yang berurusan di stesen minyak berkenaan. - Kredit foto-foto: Video FB Alina Farahin


DALAM meneruskan kesinambungan kehidupan harian ketika suasana ekonomi penuh cabaran sekarang apa sahaja pekerjaan perlu dilakukan untuk memperolehi sumber kewangan.

Sekalipun umur sudah menjangkau ke usia lanjut tetapi kerana keadaan desakan hidup, usaha mencari pendapatan terpaksalah diteruskan dengan sedaya upaya yang termampu.

Memanglah seseorang yang sudah berstatus warga emas tidak perlu lagi bersusah payah bekerja sekalipun di bawah terik panas matahari  atau basahan hujan lebat, sebaliknya hanya perlu duduk di rumah berehat atau melakukan kerja-kerja yang sesuai.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan warga emas:

https://kitareporters.com/search?search=warga+emas


Semua buah potong yang dijual oleh seorang pak cik (baju hijau muda) di Stesen Minyak Petron di Masjid Tanah, Melaka diborong oleh satu keluarga dari Shah Alam, Selangor. - Kredit foto: Video FB Alina Farahin.


Bagi seorang pak cik penjual buah-buahan potong yang usianya melewati 70-an di Masjid Tanah, Melaka, usaha mencari rezeki perlu diteruskan bagi menyara diri dan keluarga sekalipun dalam apa juga keadaan.

Kerana dengan cara inilah peniaga ini memperolehi rezeki sebagai sumber pendapatan sekalipun tidak seberapa jika dibandingkan dengan masa dan tenaga dicurahkan.



Rutin hariannya menjual beberapa jenis buah-buahan potong di sebuah stesen minyak di kawasan tersebut. Dia akan berada di situ hinggalah jualannya habis. 

Bagaimanapun jika rezeki kurang baik terpaksa membawa pulang lebih jualan tersebut atau diagihkan kepada sesiapa sahaja.

Seperti biasa, pada Sabtu 19 Februari 2021 setelah menyiapkan barangan jualan dengan menaiki motosikal pak cik ini menuju ke tempat biasa di Stesen Minyak Petron, Masjid Tanah untuk berniaga.

Setelah beberapa ketika menunggu dan beberapa bungkusan buah-buahan potongnya laku dijual, beliau didatangi satu keluarga yang ingin membeli jualannya.

Suami keluarga berkenaan dalam lingkungan sekitar 40-an bersama seorang anak lelakinya pergi menghampiri pak cik tersebut dan bertanya mengenai harga dan jenis buah-buahan potong yang dijual setelah memberhentikan kenderaan.



Sekalipun usianya sudah lanjut namun pakcik penjual buah potong di Masjid Tanah, Melaka ini terus berusaha mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga.


Kasihan dengan keadaan pak cik tersebut yang sudah lanjut usia dan berpanas, suami keluarga berkenaan meminta untuk memborong semua bungkusan buah-buahan potong yang hendak dijual di mana setiap satunya terdapat lima jenis buah-buahan.

Lelaki berkenaan kemudian mengagihkan bungkusan buah-buahan potong berkenaan kepada sesiapa sahaja yang lalu atau berurusan di stesen minyak berkenaan. 

Sebelum itu, dia telah menyerahkan duit belian buah-buahan tersebut.

Setelah terkejut dan terpinga-pinga kehairanan pak cik penjual buah potong sambil memegang duit yang diberikan menadah tangan bersyukur dengan rezeki diperolehi pada hari itu. 

Malahan dia juga datang menuju ke arah kereta keluarga berkenaan dan tidak semena-mena menangis tanda terima kasih dan bersyukor. Juga keluarga ini membelinya sekampit beras untuk dibawa pulang.


Pakcik penjual buah potong menadah tangan bersyukur kerana jualannya diborong oleh keluarga Alina Farahin yang singgah di stesen minyak berkenaan.


Peristiwa tular dalam laman sosial ini dikongsi oleh seorang pengguna laman sosial Facebook yang memakai akaun nama Alina Farahin dari Shah Alam, Selangor melalui sebuah rakaman video.

Menurut catatan Alina, kisah pak cik itu dan keluarganya bermula kerana dia teringin makan buah potong dan anaknya pula asyik minta aiskrim semasa dalam perjalanan pulang ke kampung.

Sebaik sahaja nampak stesen minyak Petron di Alor Gajah, suami beliau memberhentikan kerana bukanlah kerana nak isi minyak. Sebenarnya singgah nak pergi beli aiskrim dan kalau-kalau ada buah-buahan potong sekali.

Tiba-tiba mereka nampak seorang pak cik menjual buah potong di tepi bangunan stesen minyak.


Pak cik penjual buah potong ini menitiskan air mata dan bersyukur kerana rezeki hari itu agak baik apabila jualannya diborong oleh keluarga Alina Farahin yang kasihan akan melihat kesungguhannya berniaga.


"Kuat pak cik ni berdiri, sampai pukul berapa la dia di situ nak habiskan buah-buahan potong yang dijual. Umur macam dia tak sepatutnya kerja dah. Tapi ini sahaja pilihan yang dia ada nak cari rezeki.

"Aku nak beli semua buah-buahan potong yang dia jual, sebab aku nak dia balik cepat dan berehat di rumah. Pak cik tu sedih dan bersyukur," ujarnya.

Melalui catatan tersebut, menurut Alina, bila lagi boleh jumpa pak cik ni kerana dah nak balik ke Kuala Lumpur?

Sehubungan itu, beliau juga tidak lupa meminta kepada sesiapa yang melalui kawasan tersebut untuk singgah di Stesen Minyak Petron Masjid Tanah dan tolonglah beli buah-buahan potong yang pak cik ni jual.

Katanya, tak mahal pun buah-buah potong yang dijual, sekurang-kurangnya dapatlah tolong dia memperolehi rezeki. - KitaReporters


Sebelum beredar keluarga tersebut membelikan sekampit beras untuk pak cik yang berniaga menjual buah potong distesen minyak berkenaan.


1
0
1
0
0
You will be interested