Insan & Komuniti 21 May, 2020

Gempar! Penduduk jumpa satu rangka mayat lelaki dekat masjid

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

PERSIAPAN berbuka puasa oleh penduduk Kampung Balik Bukit, Jertih di Terengganu, bertukar menjadi gempar apabila seorang penduduk menemui rangka mayat lelaki yang tidak dikenali di kawasan berhampiran masjid kampung itu pada petang Rabu, 20 Mei 2020. Penemuan berkenaan kemudian menjadi tular dalam media sosial. : KitaReporters

Lokasi penemuan rangka manusia berhampiran Masjid Balik Bukit, Jertih, Terengganu. - Kredit foto: Facebook Anak2 Jertih, Besut (AAJB)

Penemuan mayat kira-kira jam 6.30 petang itu amat mengejutkan kerana ia berada kira-kira 50 meter dari penempatan penduduk dan 100 meter dari jalan utama Jertih-Pasir Akar, Hulu Besut yang juga tidak jauh dari Hospital Besut.

Penemuan tersebut dikesan menjadi tular dalam media sosial termasuk group Facebook Anak2 Jertih, Besut (AAJB) sehingga menjadi tanda tanya netizen bagaimana mayat berkenaan berada di lokasi terbabit.

Mojo KitaReporters telah menghubungi Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abd Rozak Muhammad, yang mengesahkan mengenai penemuan rangka manusia di kawasan masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abd Rozak Muhammad 


Katanya, bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Besut telah menerima panggilan daripada orang awam pada jam 6.44 petang yang menemui rangka mayat di kawasan masjid.

Beliau berkata, polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati mayat lelaki terbabit sudah mula reput dan dalam keadaan terlentang.

“Jarak mayat dari kawasan rumah berhampiran lebih kurang 50 meter. 

"Tempat kejadian lebih kurang 100 meter dari jalan utama Jerteh-Pasir Akar dan berhadapan Hospital Daerah Besut,” katanya.

Tular dalam media sosial mengenai penemuan rangka manusia dekat Masjid Balik Bukit, Jertih

Abd Rozak berkata, mayat lelaki, berjanggut, memakai baju-T berleher bulat labuh warna hijau, tidak berseluar dan berselipar warna biru. 

"Mayat dipercayai telah meninggal dunia lebih kurang lima hari yang lalu," jelasnya.

Beliau berkata, semakan rekod orang hilang Daerah Besut, mendapati tiada sebarang laporan orang hilang dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, pihak Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu melakukan siasatan di tempat kejadian, manakala petugas Kementerian Kesihatan Malaysia di Besut turut hadir bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan maklumat awal, mayat dipercayai lelaki Cina (kurang siuman) berumur 50 tahun, tinggal di Taman Teratur, Jertih tidak jauh dari lokasi penemuan mayat terbabit," tambahnya.

Katanya, ahli keluarga telah dimaklumkan untuk pengecaman. 

Mayat berkenaan kini berada  di bili mayat Hospital Besut bagi bedah siasat. - KitaReporters

7
6
8
1
3
You will be interested