Tompokan darah ditemukan di lantai CIMB Jertih
GARA-GARA penemuan tompokan darah di atas lantai di dua buah bank komersial di Bandar Jertih, Terengganu, penduduk gempar kerana menyangkakan telah berlaku kes jenayah menyebabkan pelanggan berasa bimbang dan takut untuk berurusan dengan bank terbabit.
Kejadian dipercayai berlaku pada Ahad 2 Mei 2021 jam 8.20 malam ketika pelanggan pergi ke dua buah bank terbabit untuk mengeluarkan wang dari ATM dan menemui tompokan darah di lantai bank berkenaan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Abdul Rozak Muhammad
Bank Islam Jertih
Bimbang dengan kejadian itu seorang pelanggan memuat naik satu status dalam media sosial untuk mendapatkan kepastian kejadian daripada pihak berkuasa.
Agak menghairankan ia bukan berlaku pada sebuah bank sebaliknya dua bank yang terletak kira-kira 500 meter antara satu sama lain.
Tular dalam media sosial bahawa orang ramai temukan tompokan darah di dua buah bank.
Seorang netizen dikenali sebagai Hanum Anum yang pergi ke CIMB Bank kira-kira jam 8.20 malam 2 Mei 2021 mendakwa kesan tompokan darah dikatakan baharu berlaku dan belum kering.
Seorang lagi pelanggan Muhamad Khairul Aazhar pula mendakwa menemui tompokan darah ketika pergi di Bank Islam dengan kesan tapak selipar seorang perempuan.
Abdul Rozak Muhammad
Bertindak atas maklumat tersebut Polis Daerah Besut membuat pemeriksaan pada CCTV di kedua-dua bank tersebut pada Isnin 3 Mei 2021.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil pemeriksaan tiada sebarang kejadian jenayah yang berlaku.
Sebaliknya, polis mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 60-an berkunjung ke kedua-dua bank tersebut dengan keadaan kakinya berdarah.
Bagaimanapun, punca sebenar pendarahan tersebut ialah lelaki tersebut terkena tunggul tali lembu menyebabkan kakinya berdarah ketika berkunjung ke bank terbabit.
“Lelaki terbabit tidak merujuk kes tersebut di mana-mana klinik atau hospital sebaliknya pergi ke bank dipercayai untuk mengeluarkan wang,” katanya kepada media.
Sehubungan itu, Abdul Rozak menasihatkan netizen jangan cepat membuat status dalam media sosial sebaliknya menghubungi pihak polis sebelum menulis perkara yang belum mendapat pengesahan. - KitaReporters