Insan & Komuniti 12 Apr, 2020

WALAUPUN KUDUNG, HAFIZ CEKAL JADI RUNNER!

@nur syamila kamarul arefin
Alumni Universiti Sains Malaysia dalam bidang kewartawanan. Pernah berkhidmat sebagai seorang wartawan dan juga penulis di dua buah syarikat. Masih lagi belajar menjadi seorang penulis.

Share this

WALAUPUN dulunya beliau pernah hidup normal, tetapi takdir Allah tangan sebelahnya terpaksa dipotong akibat kemalangan yang teruk dan ini tidak menjadi penghalang buat pemuda ini untuk keluar mencari rezeki seperti orang lain, lagi-lagi pada ketika wabak Covid-19 yang sedang melanda di seluruh dunia termasuk negara kita. : KitaReporters


Mohd Hafiz Abdullah, 31, adalah seorang runner biarpun beliau kudung. Kegigihan beliau bergelar 'runner' ini pernah tular dalam media sosial. 

Hafiz melakukan servis penghantaran di sekitar Pahang. Walaupun kudung tangan kiri, pemuda ini mempunyai pengalaman selama enam tahun dalam mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan.

Seawal usianya 20 tahun, beliau telah kehilangan tangan akibat memandu motosikal terlalu laju. 

Pada mulanya, beliau putus asa untuk meneruskan kehidupan kerana tidak sanggup untuk menempuhnya dengan hanya sebelah tangan.

Saya mengalah kerana saya sudah tak normal lagi. Masa baru sedar dari koma selepas kemalangan teruk, saya terkejut tengok tangan saya hilang dan membuatkan saya nekad nak terjun dari bangunan hospital Kuantan.

Tapi, saya bangkit dan tak jadi bunuh diri bila teringat arwah ayah yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan, tetapi sangat tabah meneruskan hidupnya setiap hari. Saya juga telah membaca kisah-kisah OKU yang lebih teruk dari saya menyebabkan saya bangkit untuk meneruskan hidup.


Menurutnya, keluarga dan kawan-kawan juga adalah penguat semangat untuk dia terus bangkit dan lebih kuat.

Jangan mengalah, tak guna menangis, dan terus menangis. Tangan dah tak boleh sambung, tetapi hidup mesti diteruskan.

Tak guna lagi menyesal.


Beliau dikenali sebagai ‘runner’ yang jujur dan tidak berkira dan akan cuba sebaik mungkin dalam menjalankan amanah masyarakat ketika melakukan servis berkenaan.

Insyaallah saya cuba sebaik mungkin. Jangan risau walaupun OKU, saya mampu melakukan tugas seperti orang normal. Kami bukan barisan pertama atau kedua, tapi kami ada untuk anda semua.



Walaupun kudung, beliau bersyukur dan selesa dengan kehidupannya ini kerana mampu buktikan kepada kawan-kawan yang sering kali menghina dan merendahkan dirinya.

Apa yang lebih menarik, beliau tahu semua jalan di Pahang tanpa menggunakan apa-apa aplikasi seperti Waze.

Pekerjaan runner telah menaikkan semangat saya untuk keluar berinteraksi dengan orang dan saya lebih yakin dengan diri sendiri. Inspirasi saya juga dari kawan-kawan runner di luar sana. 


Tambahnya, pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), permintaan terhadap perkhidmatan runner meningkat 3 kali ganda kerana barang keperluan paling banyak diminta terutama bahan makanan

Walaupun hanya menggunakan sebelah tangan, saya mampu berkerja. Sekarang ni saya memang sibuk menghantar barang ke rumah-rumah orang mengikut pesanan.


Berbeza dengan sebelum ini, penghantaran barang sangat mudah tetapi kerana Covid-19, terdapat beberapa cara untuk menghantar barang pelanggan agar kesihatan dan keselamatan mereka terjaga.

Pesanan saya, rezeki Allah itu luas, jangan ingat orang OKU tak payah cari rezeki. Jangan fikir wabak Covid-19 ini menyusahkan kita semua kerana terpaksa berhenti kerja. Semuanya bergantung pada diri kita sendiri, kalau malas tak dapat apalah. 

Semoga kita semua kuat dalam menghadapi ujian pandemik Covid-19 ini serta cabaran-cabaran kehidupan yang bakal mendatang nanti. Pastikan jangan mengalah seperti Mohd Hafiz Abdullah. - KitaReporters

4
8
1
0
0
You will be interested