DOUG Simmons dan isterinya, Dedra McGee cukup mesra setelah melangsungkan perkahwinan di Jamaica pada bulan Ogos 2021 lalu. - Kredit Facebook
KERAP kali apabila kita dijemput ke majlis perkahwinan, pihak tuan rumah akan meminta tetamu menjawab sama ada akan hadir atau tidak. Ini untuk membolehkan mereka membuat persediaan secukupnya dari segi penyediaan kerusi meja dan makanan.
Namun
jarang sekali, dan memang belum pernah kita dengar, tuan rumah bertindak
menuntut ganti rugi daripada tetamu yang gagal hadir tetapi sebelum itu telah
mengesahkan akan hadir.
Tetapi
lain halnya dengan pasangan pengantin baharu dari Chicago, Amerika yang
bertindak meminta bayaran pampasan daripada jemputan yang gagal hadir setelah
memberi jawapan akan hadir apabila menerima jemputan.
DOUG dan Dedra pada hari perkahwinan. Mereka menuntut ganti rugi daripada para jemputan yang tidak hadir, tetapi telah menjawab akan hadir. - Kredit Facebook
Pasangan
Doug Simmons, 44, dan Dedra McGee, 43, menghantar invois kepada mereka yang
tidak hadir ini bagi menuntut bayaran AS$240 (kira-kira RM995) kerana tidak menunaikan janji
menyerikan majlis perkahwinan mereka. Tuntutan ini tular dalam media sosial.
Memetik
laporan Insider, Doug dan Dedra melangsungkan perkahwinan di Royalton
Resort di Negril, Jamaica pada akhir bulan Ogos 2021 lalu. Seramai 109 orang diundang ke
majlis tersebut tetapi lapan daripada mereka tidak hadir walaupun telah mengesahkan
akan hadir.
Menurut
Doug, jika para jemputan berkenaan memaklumkan mereka tidak dapat hadir, ia tidak
menjadi masalah. Tetapi dia berang apabila mereka bersetuju hadir tetapi pada
hari majlis kelibat mereka tidak kelihatan.
Ini kerana dia telah membuat tempahan majlis dan membuat bayaran berdasarkan jumlah jemputan yang setuju hadir. Apabila lapan daripada mereka tidak datang, dia rugi RM995 setiap jemputan. Jumlah inilah yang dia tuntut daripada setiap mereka.
Apabila Doug membuat hantaran invois tersebut dalam Facebooknya, ia menerima 2,100 reaksi dan dikongsi 6,700 kali.
Ketika
menghantar invois berkenaan, Doug meminta mereka yang terlibat tidak berkecil
hati. Dia juga memaklumkan akan menghantar invois berkenaan melalui e-mel dan
surat berdaftar andai mereka tidak mendapat invois itu melalui e-mel.
Doug
bagaimanapun tidak menghantar invois itu. Tetapi mereka yang terlibat dan
telah membaca posting dalam Facebook memohon maaf dengan memberi
pelbagai alasan kenapa mereka tidak hadir.
Menurut
Doug, matlamatnya untuk menimbulkan rasa bersalah dalam kalangan mereka yang tidak
hadir sudah tercapai apabila mereka membaca catatan Facebook dan meminta
maaf. Dia menganggap ini sudah cukup menjadi pengajaran kepada mereka.
Dia
memberitahu, ada antara jemputan ini menawarkan untuk membayar ganti rugi
seperti yang dituntut tetapi dia menolak. Dia cuma mahu ia menjadi pengajaran
kepada yang terlibat jangan suka-suka menjawab boleh hadir tetapi tidak berbuat
demikian pada hari majlis.
Doug menyifatkan kelompok ini sebagai tidak sensitif dan tidak bertimbang rasa.
Dia gembira kerana menerima banyak komen dan kata-kata semangat daripada orang ramai yang setuju dengan tindakan yang diambilnya.
Katanya, ini bermakna ramai orang bersetuju dengan tindakannya dan berharap apa yang berlaku akan menjadi pengajaran dan tidak terjadi kepada orang lain. - KitaReporters