Insan & Komuniti 16 Apr, 2024

Video| Penumpang kelaparan pulang raya! Pemandu bas budiman bawa beraya dan makan di rumah mentua!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this


Keadaan geografi di Indonesia menyebabkan perjalanan daratan memerlukan jangka yang agak lama untuk sampai ke destinasi.

Perkara menarik dan tular terjadi dalam perjalanan pulang raya baru-baru ini dari Palu, Sulawesi Tengah ke Makassar, Sulawesi Selatan dengan menaiki bas perkhidmatan Borlindo.

Perjalanan berjarak kira-kira 870 kilometer itu memerlukan sekurang-kurangnya 17 hingga 20 jam untuk sampai ke destinasi.


Bas bergerak pada waktu malam dengan kelajuan sederhana kerana jalan sesak dan menjelang tengah hari pada hari raya pertama pada Rabu 13 April 2024, para penumpang sudah terasa lapar.

Malangnya kerana hari raya, tiada restoran dan gerai makanan dibuka sepanjang perjalanan.

Menyedari keresahan para penumpang yang kelaparan, pemandu bas yang dikenali sebagai Satir, mengambil langkah spontan dengan memberhentikan bas di sebuah rumah tepi jalan milik mentuanya.

Pemandu budiman bernama Satir mendapat pujian penumpang dan warga net.

Para penumpang dijemput turun dan berehat di satu kawasan berbumbung di laman rumah. 

Satir kemudian masuk ke dalam rumah. Beberapa minit kemudian dia keluar bersama dua orang yang diperkenal sebagai mentuanya.

Ibu dan ayah mentua Satir memberi sambutan mesra dan mereka dianggap sebagai tetamu Aidilfitri walaupun datang secara mengejut. 

Tidak lama kemudian beberapa lelaki dan wanita anggota keluarga membawa beberapa hidangan untuk tetamu. Antara hidangan yang dibawa ialah lontong, rendang, beberapa jenis kuih dan minuman.



Penumpang bas yang sudah kelaparan merasai juadah dengan berselera. Ada sejumlah penumpang meminta kebenaran untuk bersolat. Setelah semuanya selesai, Satir meneruskan perjalanan bas menuju Makassar.

Para penumpang yang sudah kenyang selesa melalui perjalanan jauh dan ada yang tertidur pulas sehingga tiba ke destinasi.


Sementara itu, peristiwa menarik ini tular setelah dimuat naik salah seorang penumpang melalui TikToknya. Hasilnya Satir menjadi popular di seluruh Indonesia. Ramai netizen yang memuji sikap terpujinya.

Satir terharu dengan pujian itu. Dia tidak menyangka tindakan spontannya membawa para penumpang berhari raya di rumah mentuanya tular. - KitaReporters

14
17
0
13
0
You will be interested