Insan & Komuniti 16 Aug, 2022

2 Dekad Cinta Tanpa Sempadan! PERNIM sambut ulang tahun ke-18! Norlina Alawi lancar buku autobio!

@rahanamd
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this

Norlina Alawi menunjukkan buku, Aku Seorang Norlina Alawi pada majlis pelancaran bukunya pada 8 Ogos 2022.


Kisah 21 tahun lalu, ketika dia menerima bayi yang masih merah dan lapar susu ibu, masih bergentayangan di ruang mata.

Kehadiran bayi yang digelar andak itu dan “ditolak” keluarga kandung mengundang belasnya dan Norlina Alawi mengambil keputusan hamil anak keenam. 

Selepas menjadi ibu susuan andak, beliau terbuka hati membuka Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM).

Melalui PERNIM, lebih ramai anak yatim, anak tidak sah taraf, anak mualaf dan anak penghidap HIV/AIDS dipelihara di kediamannya di Cheras Baru, Kuala Lumpur dan kini hampir 100 anak-anak telah disantuninya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Norlina Alawi

Norlina (kiri) ketika mengadakan sidang media bersama-sama Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) dan penulis buku Lily Haslina Nasir.


Kisah tersebut diceritakan oleh Norlina dalam sidang akhbar selepas majlis Sambutan Ulang Tahun ke-18 PERNIM  serta Pelancaran Buku Autobiografi – Aku Seorang Norlina Alawi di Dewan Pusat Komuniti, Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2022 lalu.

Majlis tersebut anjuran bersama Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertujuan untuk memperingati penubuhan persatuan yang diterajuinya dan menghimpunkan semula anak-anak yang pernah dipelihara dan tinggal di bawah satu bumbung sebelum ini.

“Saya berasa hati jika memanggil anak-anak dengan panggilan anak yatim atau anak asnaf jadi saya sering memberitahu, anak-anak saya adalah anak anugerah. Saya mahu angkat darjat mereka tidak ubah seperti kanak-kanak yang memiliki ibu bapa dan keluarga kandung.

“Walaupun hakikatnya, apabila menjelang dewasa, ada yang berdikari dan keluar rumah untuk bekerja, berkahwin dan membina rumah tangga sendiri, ikatan antara kami anak-beranak  tidak terputus. Majlis ulang tahun hari ini untuk memberi peluang anak-anak yang telah tinggal berjauhan untuk berhimpun semula dan kita raikan pada hari ini,” ujarnya ketika ditemui.

Majlis pelancaran majlis telah disempurnakan oleh, Datin Seri Masdiana Muhamad,  isteri Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. Hadir sama Datin Seri Hamidah Khamis, isteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Lily Haslina Nasir, penulis buku.


Norlina (tengah bertudung hitam) bersama-sama Masdiana Muhamad, Hamidah Khamis, Lily Haslina Nasir dan anak-anak anugerah memotong kek sambutan ulang tahun PERNIM ke 18 tahun di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Di majlis yang sama turut dilancarkan buku autobiografi bertajuk, 'Aku Seorang Norlina Alawi - Dua Dekad Cinta Tanpa Sempadan

Buku yang ditulis oleh novelis terkenal Lily Haslina Nasir itu mengangkat kisah pejuang kemanusiaan ini yang sejak kecil menyaksikan kedua-dua ibu bapanya telah menunjukkan tauladan denga membantu orang-orang kampung yang memerlukan pertolongan.

“Kedua-dua arwah ibu bapa saya adalah idola yang membawa kepada siapa diri saya pada hari ini. Kisah suka duka menjadi anak gadis yang dibesarkan di kawasan kampung dengan sembilan adik-beradik dengan ikatan kekeluargaan yang  erat sehingga hari ini adalah atas didikan orang tua.

“Selepas kehadiran andak, saya berlapang dada menerima anak-anak anugerah termasuk menghidap HIV/AIDS untuk dipelihara dalam rumah sendiri. Saya dikurniakan tujuh anak kandung dan 60 anak-anak anugerah yang sebahagiannya masih tinggal bersama.



Menyentuh mengenai buku kisah hidup itu, menurutnya buku tersebut adalah penganti dan pengenalan kepada dirinya dalam usaha melahirkan lebih ramai klon Norlina Alawi di luar sana.

 “Saya hanya seorang ibu yang mempunyai anak ramai dan apa yang saya lakukan ini adalah fardu kifayah untuk menyelamatkan anak-anak. Saya beranggapan jika setiap daripada keluarga di negara ini menerima walau hanya seorang anak anugerah untuk dipelihara pasti kita akan menjadi rakyat yang lebih prihatin dan berjaya. 

“Inilah yang saya perjuangkan supaya anak-anak yang tidak beridentiti, anak-anak kehilangan ibu bapa akibat HIV/AIDS , anak-anak terbiar kerana dibuang waris kerana menghidap penyakit ini mendapat perlindungan daripada kita semua,” katanya.



Selepas 18 tahun penubuhannya, Norlina telah kehilangan empat anak-anak anugerah yang telah meninggal disebabkan HIV/AIDS. Namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk berulang alik ke hospital untuk rawatan, memberi mereka makan ubat berjadual, menghantar ke sekolah sehingga ke peringkat yang tertinggi dan paling utama berpeluang mengusap kepada mereka dan memberi mereka hanya pelukan seorang ibu sehingga ke hujung nyawa.

“Tidak ada beza layanan antara anak kandung dan anak-anak anugerah kerana mereka berkongsi makan dan minum yang sama, tidur sebantal, pergi dan balik sekolah bersama dan  segala suka- duka bersama mereka saya kongsikan di dalam buku,” katanya.

Tambahnya, buku Aku Seorang Norlina Alawi dijual dengan harga RM49.90 senaskhah. Hasil jualan akan digunakan untuk kelangsungan sara hidup anak-anak di PERNIM. 

Orang ramai yang berminat boleh menghubunginya di akaun facebook miliknya Norlina Alawi Official atau hubungi https://penerbitankeluarganorlinaalawi.onpay.my/order/form/1 - KitaReporters


  

 

 

10
14
1
11
0
You will be interested