Insan & Komuniti 23 Sep, 2024

Tahniah! Cucu ikut jejak, penuhi impian datuk! Ahmad Hasnain jadi Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel khadijahmohamadnor@gmail.com

Share this

AHMAD Hasnain Makhluf mengetuai perbarisan Majlis Tamat Latihan Perajurit Muda Sesi 200/2024 di PUSASDA, Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini. - Kredit Foto: Air Times Network


Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), arwah datuk Ahmad Hasnain Makhluf Azizul Hakim sering berpesan supaya menyertai pasukan seragam celoreng hijau bagi meneruskan impian yang gagal disempurnakan oleh tujuh anak lelakinya.

Namun, anak sulung daripada dua beradik itu hanya mendengar sahaja saranan si datuk. Ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Begitulah yang dilakukan oleh Ahmad Hasnain.

Sebaliknya, dia memilih untuk bekerja terlebih dahulu bagi mencari duit poket. Pada usia 19 tahun, Ahmad Hasnain kemudian dapat menjadi operator pengeluaran di sebuah kilang aiskrim yang terkenal di Malaysia.

Hidupnya mula selesa kerana gaji yang ditawarkan ditambah bayaran kerja lebih masa, lebih daripada mencukupi untuk menampung kehidupan sebagai anak bujang.

Rezeki daripada menyimpan hasil pendapatan sebagai pekerja kilang juga membolehkan dia melangkah ke alam perkahwinan pada 24 Jun 2022.



ANAK muda kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini menerima anugerah Perajurit Muda Lelaki Terbaik Keseluruhan daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin.


Namun, siapa sangka selepas empat tahun dalam alam pekerjaan, Ahmad Hasnain mencabar diri untuk keluar dari zon selesa, sekali gus cuba merealisasikan impian arwah datuknya, seorang pesara tentera yang telah meninggal dunia pada tahun 2021. 

Berkat kegigihan, dedikasi dan disiplin yang tinggi, akhirnya anak muda berusia 24 tahun ini berjaya dinobatkan sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 200/2024 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini. Dulu semasa hayatnya, arwah datuk selalu minta saya masuk askar, tetapi saya tak endahkan permintaannya. Bagaimanapun selepas beberapa tahun, barulah saya nekad untuk masuk tentera," ujar Ahmad Hasnain.

Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, anak muda ini bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa, isteri dan juga keluarga yang sentiasa memberi semangat dalam menamatkan latihan.


GAMBAR kenangan Ahmad Hasnain dan keluarga bersama arwah datuknya yang merupakan pesara tentera.


"Memang pada awal mengikuti latihan ini, ia sangat mencabar. Malah, ketika latihan larian saya sampai termuntah-muntah kerana  terlalu penat. 

"Pernah juga saya rasa hampir putus asa tapi bila terkenangkan arwah datuk, saya tetap kuatkan semangat. Berkat doa semua, saya berjaya sampai ke tahap ini," jelasnya lagi. 

Menurut Ahmad Hasnain, arwah datuknya, Mohamad Nor Mahmud selalu bercerita pengalaman ketika berkhidmat dalam pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). 

Ia termasuklah khidmat arwah dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Congo, Afrika Tengah pada tahun 1960 serta melawan pengganas komunis dalam beberapa operasi darurat dan insurgensi.

"Atuk selalu cerita, kecederaan yang dialami akibat tembakan yang kesannya dapat dilihat sepanjang hayatnya menjadi bukti kesetiaannya pada agama, bangsa dan negara. 

"Justeru, semangat keperwiraan atuk sangat tinggi sehingga beliau meninggal dunia. Sebagai satu-satunya cucu beliau yang menyambung legasi ketenteraan atuk, saya rasa sebak dan dalam masa yang sama rasa bertuah kerana dapat memenuhi impian arwah," tuturnya lagi.


GAMBAR menunjukkan Ahmad Hasnain terpilih sebagai Perajurit Muda Lelaki Keseluruhan Terbaik.


Pada majlis berkenaan, turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan. 

Secara keseluruhan, seramai 1,144 Perajurit Muda berjaya menamatkan latihan yang dilaksanakan bermula 8 Mac 2024 lalu. 

Buat semua Perajurit Muda, selamat berkhidmat dan selamat berjuang dalam mempertahan kedaulatan dan keamanan negara. Doa kami sentiasa ada buat kalian, Perwira Negara! - KitaReporters


AHLI keluarga menjadi pendorong Ahmad Hasnain untuk mencapai kejayaan sebagai anggota tentera. - Kredit Foto Air Times Network 

7
9
0
17
0
You will be interested