Insan & Komuniti 04 Nov, 2024

Ejekan jadi pembakar semangat! Sofea Nia Emyra dari UMT buktikan anak Orang Asli pun boleh berjaya!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this

Kredit foto: Utusan Digital


Kisah kejayaan seorang graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) daripada suku kaum Mahmeri di Gombak membuktikan bahawa Orang Asli turut berpeluang mencipta kejayaan setanding masyarakat lain dan mendapat tempat di kalangan majikan. 

Sofea Nia Emyra Shaharol, 23, anak sulung daripada empat beradik dibesarkan dalam keluarga Mahmeri yang menetap di Batu 12, Gombak, Selangor. 

Pada tahun 2018, ketika sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), keluarganya memilih Islam sebagai pegangan untuk panduan hidup.

Perjalanan hidupnya mula mencorak arah yang lebih cerah apabila beliau memilih aliran perakaunan semasa di sekolah menengah yang menjadi asas kepada penerokaan bidang itu lebih mendalam.

Selepas tamat SPM, dia yang lebih mesra dengan panggilan Sofea menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Matrikulasi Perlis dalam jurusan perakaunan selama setahun. 

Keputusan peperiksaan yang cemerlang pada peringkat matrikulasi telah mendorongnya diterima masuk ke UMT untuk melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana Muda Perakaunan.

Dengan mempraktikkan segala ilmu dan kemahiran yang ditimba sepanjang bergelar pelajar UMT, kini, Sofea Nia Emyra berkhidmat di sebuah firma audit di Setapak, Kuala Lumpur, tempat di mana beliau menjalani latihan industri semasa pengajian. 


Kredit foto: Malaysia Gazette


Berkongsi kisah sedih, Sofea melalui pelbagai cabaran termasuk dipandang rendah hanya kerana berasal daripada keturunan Orang Asli.

“Sewaktu di sekolah saya sering diejek rakan sebaya yang memandang rendah hanya kerana berketurunan Orang Asli.  

“Saya terima ejekan itu sebagai pembakar semangat untuk buktikan bahawa Orang Asli juga mampu berjaya dan mencapai kejayaan setanding dengan masyarakat lain.

"Sebagai generasi pewaris kepada nenek moyang, saya berasa bangga dan bertekad untuk terus memajukan kehidupan masyarakat Orang Asli. 

"Penghinaan tidak seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya ia perlu dijadikan pembakar semangat untuk membuktikan bahawa anak-anak muda Orang Asli juga mampu menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi," katanya. 

Tambahnya, tingkah laku yang positif ditunjukkan kepada orang sekeliling menjadi faktor penting penilaian majikan terhadap pelajar latihan industri.

“Komitmen, sikap positif terhadap pembelajaran berterusan dan pembangunan diri akan memberi nilai tambah kepada majikan dalam membuat penilaian bahawa kita proaktif dan bersedia untuk menghadapi cabaran dalam menjalankan amanah dan tugas,” katannya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media

16
12
0
11
0
You will be interested