Insan & Komuniti 30 May, 2025

Waris pencarum Perkeso tak dilupakan! Balu bekas petugas Utusan terima bayaran berkala Pencen Penakat!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this



Pemergian seorang bekas petugas syarikat media, Mohd Khairi Mazlan, akibat kanser limfoma pada 25 Mei 2025 lalu meninggalkan kesan mendalam buat isteri dan empat anaknya, termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang masih bersekolah. 

Mohd Khairi adalah bekas eksekutif pemasaran syarikat Utusan Media and Sales Sdn Bhd (UMES), sebuah anak syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Kedua-dua syarikat sudah tidak lagi beroperasi ekoran pelaksanaan penggulungan sukarela syarikat Kumpulan Utusan itu pada 2019.

Namun, di sebalik kedukaan yang menyelubungi keluarga ini, keprihatinan Allahyarham semasa hayatnya dengan mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuka ruang kelegaan, bukan sahaja dari sudut kewangan, malah sebagai sinar harapan untuk waris meneruskan kehidupan. 

Menerusi semakan rekod Perkeso, kali terakhir caruman Allahyarham adalah pada Jun 2021, sekali gus melayakkan waris menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) secara sekali bayar sebanyak RM3,000 serta bayaran berkala Pencen Penakat sebanyak RM2,553 yang akan disalurkan bermula hujung bulan ini. 



Balu Allahyarham, Anis Sabariah Kamaruddin, 45, menyifatkan bantuan ini sebagai suatu rahmat tidak disangka pada waktu yang amat mencabar, memandangkan perlu terus menyara empat orang anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun, termasuk seorang yang memerlukan perhatian khas. 

“Justeru, alhamdulillah, faedah ini sedikit sebanyak mampu menampung perbelanjaan pendidikan dan keperluan harian kami sekeluarga,” katanya ketika disantuni dalam program Ziarah Prihatin Perkeso di kediamannya di Klang Gate, di Kuala Lumpur pada 28 Mei 2025. 

Sementara itu, Perkeso menerusi kenyataan menyifatkan pemergian seorang ketua keluarga sememangnya kehilangan yang tiada galang ganti. 

“Namun, Perkeso sentiasa berusaha memastikan setiap pencarum yang layak akan menerima hak mereka dan keluarga yang ditinggalkan akan terus dibela serta dilindungi. 

“Perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar angka bantuan kewangan, tetapi simbol kasih sayang yang diwariskan pencarum kepada mereka yang tersayang, walaupun selepas ketiadaan mereka. 

“Inilah tujuan utama Perkeso ditubuhkan demi memastikan pencarum dan waris ditinggalkan tanpa sokongan, lebih-lebih lagi ketika berdepan saat paling sukar dalam hidup mereka,” menurut kenyataan berkenaan. 



Sehubungan itu, Perkeso menyarankan setiap majikan untuk terus melunaskan caruman pekerja secara konsisten demi memastikan keluarga petugas mereka dilindungi dengan sempurna, andai perkara tidak diingini berlaku. 

Walaupun masa depan tidak dapat diduga, namun perlindungan dapat dirancang dan dalam setiap caruman itu, tersimpan harapan buat yang tercinta. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
7
0
17
0
You will be interested