
Seronok... inilah masanya mereka dapat memilih jenama pakaian yang diminati.
“Ustaz… saya nak baju itu! Ustaz… saya nak baju yang ini.” Begitulah kedengaran suara keterujaan anak-anak daripada golongan asnaf, tatkala mereka dibawa untuk membeli-belah keperluan hari raya.
Mereka adalah sebahagian masyarakat yang kurang bernasib baik termasuk dalam golongan kurang mampu dari segi ekonomi seperti golongan fakir, miskin dan berpendapatan rendah.
Namun begitu, prihatin dengan masalah sedemikian, masih ada
yang sayang tampil dalam merapatkan jurang antara yang bernasib baik dengan kurang
bernasib baik.
Kelab Keluarga Yayasan Pahang (KKYP), tampil meraikan
komuniti rentan yang berada di sekitar Jalan Dato’ Wong Ah Jang, di tengah-tengah
Bandar Raya Kuantan, Pahang agar mereka dapat merasai kenikmatan dan kegembiraan
menyambut hari raya.
Dianggarkan seramai 30 kanak-kanak dari komuniti rentan, yang berusia tujuh hingga 16 tahun dibawa ke sebuah pasar raya bagi mendapatkan keperluan dan pakaian sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 31 Mac 2025.

Mohd Nazri M Nordin (dua, kanan) bersama-sama anak-anak komuniti rentan, Jalan Dato' Wong Ah Jang, dekat Kuantan.
Yang Dipertua KKYP, Mohd Nazri M Nordin berkata, program ini bukan sekadar menyediakan pakaian baharu tetapi juga bertujuan membawa kegembiraan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Katanya, setiap anak-anak asnaf tersebut diberi kebebasan
memilih pakaian idaman mereka sendiri untuk menyambut lebaran ini.
"Kami mahu memastikan mereka turut merasai kemeriahan
Aidilfitri sama seperti kanak-kanak lain yang seusia.
“Apabila mereka dapat memilih sendiri baju yang mereka suka,
jadi kita tahu betapa bermaknanya hari raya kali ini buat mereka," ujarnya kepada pihak media.
Setiap daripada mereka diperuntukkan sebanyak RM200 untuk mendapatkan pakaian lengkap hari raya dan turut menerima duit raya sebanyak RM50 setiap seorang.


Wajah ceria anak-anak selepas selesai membeli-belah.
Dalam pada itu, bagi tenaga pengajar yang mengiring, Mohd Haikal Mohd Zin, inisiatif yang dilakukan dalam menggembirakan anak-anak asnaf ini begitu memberi kesan kepada golongan ini.
Katanya, usaha murni KKYP harus dijadikan contoh oleh pihak-pihak
lain yang berkeinginan untuk terus membantu.
"Terlebih dahulu, terima kasih KKYP kerana sudi membeli baju raya kepada anak-anak rentan, dan saya harap usaha murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang bukan sahaja diberikan kepada anak-anak golongan rentan malahan kepada sesiapa yang memerlukan.
"Saya dapat melihat riak wajah anak-anak ini begitu ceria dan gembira sepanjang tempoh membeli-belah. Ini memandangkan mereka tidak pernah mendapat peluang begini,” tambahnya lagi ketika ditemui.
Inisiatif ini bukan sekadar sumbangan material tetapi juga lambang kasih sayang serta keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan. - KitaReporters

Bergambar beramai-ramai bagi merakamkan kegembiraan membeli baju raya.