
RAMADAN adalah bulan keberkatan, bulan memberi dan berkongsi.
Pada tahun 2025, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM Malaysia) memperkenal Dapur Ramadhan. Ia satu inovasi untuk memasak dan mengedarkan juadah berbuka dan moreh secara terus di masjid-masjid terpilih sepanjang bulan puasa ini.
Setiap hari, Dapur Ramadhan MAPIM akan menyediakan hidangan segar dan berkhasiat untuk kira-kira 500 penerima manfaat.
Hidangan ini bukan sekadar makanan, tetapi simbol kasih sayang dan solidariti umat Islam dalam menyantuni mereka yang memerlukan.

Makanan dimasak secara panas dan segar di Mobile Kitchen MAPIM.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata dapur berkenaan menyediakan hidangan iftar atau moreh yang dimasak segar di lokasi masjid terpilih, buah-buahan dan kuih-muih sebagai pelengkap selain aneka minuman untuk menyegarkan selepas seharian berpuasa
"Matlamatnya untuk berkongsi rezeki pada bulan mulia ini sambil mengeratkan silaturahim dalam kalangan umat Islam. Setiap suapan adalah lambang kasih sayang dan kebersamaan yang akan dikenang hingga ke akhirat.
"Pek makanan panas disediakan oleh cef berpengalaman dari hotel bagi memberikan kepuasan dari segi keenakan. Selain itu, tim MAPIM Malaysia juga memastikan khasiat nutrisi bagi pertumbuhan kesihatan anak-anak asnaf yang terbaik untuk dimakan," katanya.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Beliau yang mesra dipanggil Cikgu Azmi berkata, idea konsep dapur bergerak bermula selepas beberapa misi yang dilalui seperti menghantar bantuan banjir, pemberian makanan panas dan segar menjadi cabaran utama dan kadangkala sukar dilaksanakan.
"Menyedari kekangan ini, MAPIM Malaysia tekad merealisasikan dapur itu bagi memberikan kemudahan dapur bergerak yang boleh ke mana-mana lokasi dengan pantas.
"Mobile Kitchen (dapur mudah alih) MAPIM dibina daripada sebuah bas yang sudah diubah suai, sesuai dengan piawaian antarabangsa dan mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Pembinaannya mendapat khidmat pakar-pakar bagi reka bentuk dalaman, kejuruteraan, teknikal dan cef bagi memastikan operasinya mencapai objektifnya bagi menyediakan makanan bertaraf lima bintang," katanya.

Dapur Ramadhan MAPIM menggunakan konsep mobile kitchen atau dapur mudah alih dan bergerak dari tempat ke satu tempat lain yang dipilih.
Program Dapur Ramadhan MAPIM buat pertama kalinya diadakan di kawasan terpilih di Selangor dan di Kuala Lumpur selama dua hari. Proses penyediaan pek makanan panas bermula sebelum subuh untuk edaran kepada 2,000 penerima.
“Sebanyak 500 pek masakan panas diedarkan kepada asnaf dan kariah Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota, Kajang pada 10 Mac 2025, manakala 1,500 pek lagi di Dewan Pusat Aktiviti Masyarakat, Seksyen 2, Wangsa Maju dan sekitar Kuala Lumpur," katanya.
Cikgu Azmi berkata, dapur berkenaan akan bergerak ke seluruh negara khususnya ke kawasan yang memerlukan bagi menyantuni asnaf, kerana menyedari ekonomi keluarga yang semakin mencabar dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini.

Petugas yang mengendalikan Dapur Ramadhan MAPIM begitu komited dan pakar dalam bidang masing-masing.
MAPIM Malaysia komited untuk meneruskan usaha ini agar lebih ramai mendapat manfaat, sekali gus memastikan suasana Ramadan lebih meriah dan bermakna.
Orang ramai yang ingin menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai Dapur Ramadan ini boleh menghubungi talian 1 300 888 038.
Sumbangan dan infak juga boleh disalurkan melalui saluran berikut: https://mapim.berisalam.net/ - KitaReporters

Dapur Ramadhan MAPIM buat pertama kali diadakan di Masjid At Taqwa, Bandar Bukit Mahkota, Kajang pada 10 Mac 2025-