.
SAYU hati memandang api merah marak menyala membaham bangunan Asrama Abdul Rahman Talib (ART), Sekolah Menengah Tinggi (SMT) Setapak, yang dulu lebih dikenali sebagai High School Setapak, Kuala Lumpur, pada malam Isnin 28 April 2025 lalu.
Kebakaran ini sangat menyentuh hati penulis kerana pernah menjadi penghuni asrama sewaktu
belajar dalam Tingkatan Enam Rendah dan Tingkatan Enam Atas, pada tahun 1974-1975.
Penulis memasuki SMT Setapak dalam Tingkatan Empat pada 1972 selepas lulus peperiksaaan Lower Certificate of Education (LCE) di Sekolah Menengah Rendah (SMR) Selekoh, Bagan Datuk, Perak, pada tahun 1971.

Bangunan Asrama Abdul Rahman Talib, Sekolah Menengah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur sebelum terbakar.

Sekolah Menengah Tinggi Setapak di Jalan Ayer Jernih, Setapak, Kuala Lumpur.
Namun penulis tinggal di asrama hanya apabila masuk Tingkatan Enam Rendah 1974. Sebelumnya tinggal di rumah abang di Gombak. Penulis diberi kepercayaan menjadi Ketua Asrama sehingga meninggalkan asrama selepas tamat peperiksaaan Higher School Certificate (HSC) tahun 1975.
Bangunan asrama
khusus untuk lelaki yang terletak dalam kawasan sekolah di Jalan Ayer Jernih, Setapak, itu terbakar kira-kira pukul 8.40
malam. Guru asrama atau warden dan 95 pelajar yang menghuni asrama tinggal
sehelai sepinggang.
Kebakaran sehingga 80 peratus bangunan asrama menyebabkan mereka hilang harta benda, pakaian, buku dan semua peralatan sekolah.
Allah menentukan ketika kejadian berlaku, pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 tahun berada di surau sementara menunggu solat Isyak berjemaah.

Api marak membakar bangunan Asrama Abdul Rahman Talib pada malam Isnin 28 April 2025 sehingga memusnahkan 80 peratus bangunan asrama.

Keadaan Asrama Abdul Rahman Talib selepas kebakaran menyebabkan warden dan pelajar tinggal sehelai sepinggang.
Untuk rekod, nama Asrama Abdul Rahman Talib (ART) adalah sempena nama Abdul Rahman Talib yang pernah dua kali menyandang jawatan Menteri Pelajaran dalam kabinet Tunku Abdul Rahman. Kali pertama tahun 1960, manakala kali kedua tahun 1964.
Allahyarham
yang lahir pada 1916 dan meninggal dunia pada 18 Oktober 1968 juga pernah jadi
Menteri Pengangkutan (1957), Menteri Perdagangan dan Industri (1959) dan
Menteri Kesihatan (1962) sebelum kembali memegang portfolio Pelajaran pada
1964.
Antara jasa Allahyarham selaku Menteri Pelajaran ialah Laporan Rahman Talib yang diperakukan dalam Akta Pendidikan 1961. Ia menggariskan hasrat sistem pendidikan kebangsaan.
Selepas meninggalkan kabinet pada 1965, Allahyarham dilantik Duta ke Mesir.

Allahyarham Abdul Rahman Talib, mantan Menteri Pelajaran yang namanya diabadikan pada Asrama Abdul Rahman Talib di SMT Setapak, Kuala Lumpur.
Kebakaran Asrama Rahman Talib mengembalikan kenangan penulis ketika di sana. Warden asrama ketika itu Mr Fenandez dan Ustaz Ibrahim Md Diah, dua insan yang baik hati dan mesra.
Ustaz
Ibrahim masih ada. Penulis bertemunya selepas beberapa dekad
meninggalkan sekolah dan masih berhubung sehingga kini. Tidak diketahui di mana
Mr Fernandez berada.
Ketika penulis
tinggal di ART, penghuninya bukan hanya pelajar High School. Ia juga menempatkan
pelajar pintar luar bandar Selangor di bawah Yayasan Selangor, yang menyambung
pelajaran menengah di sekolah terkenal, seperti Victoria Insitution (VI) dan
St John Institution (St. John).
Pelajar
pintar perempuan pula memasuki sebuah lagi sekolah ternama, Convent Bukit Nanas
(CBN). Mereka ditempatkan di Asrama Puteri, Kampung Baharu.
Selain pelajar Melayu, terdapat pelajar berbangsa Cina dan India tinggal di ART, juga pelajar keturunan Siam. Kehidupan di asrama sungguh harmoni dan mesra.

Ustaz Ibrahim Md Diah
Memang menjadi
rutin bagi pelajar mengulang kaji atau ‘prep’ setiap malam pada hari
persekolahan, selain solat berjemaah maghrib dan isyak. Selesai ‘prep’
pelajar menikmati minum malam sebelum lampu ditutup untuk tidur.
Hubungan
baik dengan warden dan pelajar menjadikan kehidupan penulis di ART
menggembirakan. Sama-sama belajar, bermain atau ‘outing’. Dua minggu
sekali pelajar dibenarkan balik rumah untuk bersama keluarga, atau keluarga
datang melawat.
Kerana itu apabila ART terbakar, hati penulis sangat sayu walaupun sudah lebih lima dekad meninggalkannya. Kenangan lama kembali mengusik jiwa. Wajah-wajah penghuni terbayang. Penulis tidak tahu apa perkembangan terkini mereka.
Wajah pekerja
yang rapat dengan penulis seperti ‘stewart’ atau pengawas dewan makan,
Jamaludin Mat; tukang masak seperti Kak Jah, Rosli, arwah Pak Din, Bang Mat dan
Abang ‘John’ kembali menerjah minda.
Juga pekerja asrama yang penulis lupa nama, kecuali seorang iaitu Soosai. Entah di mana mereka sekarang, masih hidup atau sudah tiada.

Rayuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Tinggi Setapak yang memohon bantuan untuk pelajar mangsa kebakaran bagi membolehkan mereka meneruskan persekolahan.
Mangsa kebakaran ART perlu bantuan. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merayu bantuan untuk pelajar terlibat meneruskan persekolahan.
Bantulah melalui PIBG, nombor akaun Maybank 014066402753. Rujukan: Kebakaran ART. Bantuan anda besar maknanya. Allah jua yang memberi ganjaran balasan. - KitaReporters