Insan & Komuniti 13 May, 2025

Bila ABAH Bersuara| Belek buku! Beli buku! Baca buku! Maksud tersirat Pesta Buku Antarabangsa KL!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) datang lagi dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025 di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur. Datanglah berkunjung beramai-ramai.


PESTA BUKU Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) datang lagi. Pesta edisi ke-42 tahun 2025 ini akan bermula pada 23 Mei hingga 1 Jun 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Acara bermula dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

Ini merupakan pesta buku tahunan terbesar untuk menanam kasih dan cinta terhadap buku, yang juga pada pandangan penulis meliputi bahan bacaan bercetak lain seperti majalah dan jurnal.

Populariti PBAKL menyaksikan ia menjalar ke seluruh dunia. Ini terbukti dengan penyertaan pempamer dan pencetak buku luar negara sejak beberapa tahun lalu untuk sama-sama memeriahkan pesta.

Untuk menyebar luas pesta ini, khususunya kepada yang tidak dapat hadir secara fizikal ke WTC, ia juga diadakan secara hybrid. ‘Pengunjung’ boleh bersemuka dan berinteraksi secara dalam talian demi memartabatkan buku sebagai sumber ilmu pengetahuan.


Pengunjung tekun memilih buku diminati pada PBAKL 2024. Yang berkenan di hati dibeli dibawa pulang.


Hakikat PBAKL telah diiadakan 42 kali sejak bermula pada 1981 (dua tahun tiada pesta akibat Covid-19), membuktikan ia terus diminati dan diberi sambutan hangat setiap kali diadakan. Kerana itu ia menjadi acara tahunan yang sentiasa dinanti para peminat tegar buku.

Kita boleh berbangga kerana ibu negara menjadi pusat pesta ilmu bertaraf dunia dengan kehadiran purata lebih 1.25 juta pengunjung setiap tahun. 

Tahun lepas (2024), pengunjung mencecah sehingga 1.8 juta. Terbukti bukan acara hiburan sahaja mampu menarik ramai, tetapi buku juga sangat diminati.


Imbas kembali PBAKL 2024.... Kehadiran pengunjung berpusu-pusu menyerlahkan minat terhadap buku masih tinggi dalam kalangan rakyat negara ini. 


Pesta ini antara lain mempamer dan menjual pelbagai jenis bahan bacaan, sama ada sains dan teknologi, perubatan, kejuruteraan, matematik, agama, ekonomi dan karya sastera seperti novel. Maka jadilah PBAKL sebagai medan pertemuan pelbagi sumber ilmu dan karya sastera.

Berbagai-bagai bahan bacaan untuk semua peringkat disediakan, untuk golongan warga emas, dewasa, remaja dan kanak-kanak.  uku-buku yang menepati cita rasa mereka semua ada untuk dipilih dan dibawa pulang.

Oleh itu datanglah beramai-ramai bersama keluarga, guru dan rakan sekolah memenuhi setiap ruai pameran penerbit dalam dan luar negara di WTC. Tentu ada buku yang sesuai untuk pengunjung sebagai bahan bacaan.


Buku-buku dan bahan rujukan agama turut mewarnai PBAKL sejak ia dimulakan pada 1981.


Namun yang penting PBAKL tidak harus hanya dilihat sebagai pesta yang berlalu apabila tamat sehingga datang lagi tahun berikutnya. Matlamat atau maksud tersirat pesta tersebut mesti difahami dan dihayati, iaitu memupuk dan menanam sifat suka membaca.

Justeru jadikan pesta buku itu sebagai penggerak dan pendorong memupuk diri menjadi orang yang suka membaca. Terdapat kajian menunjukkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia agak rendah. Ini tidak harus dibiarkan.

Sukar menyaksikan rakyat Malaysia membaca di mana juga ada peluang, termasuk di dalam pengangkutan awam seperti yang sering dilihat dalam kalangan penduduk negara maju. Malah ke perpustakaan awam pun tidak ramai minat pergi.

Perkembangan sains dan teknologi menyaksikan ramai memperoleh maklumat melalui alam maya, diakses di mana-mana. Kaedah yang mudah ini menjadikan kecenderongan mambaca buku atau majalah sebagai sumber maklumat semakin menipis. 

Tabiat membaca perlu dipupuk sejak kanak-kanak agar apabila dewasa mereka menjadi kelompok minat membaca. Ibarat kata peribahasa, 'melentur buluh dari rebung'.


Asyik sekali anak ini meneliti buku. Sememangnya minat membaca perlu dipupuk sejak zaman kanak-kanak. --Gambar PBAKL 2024.


Sementara maklumat melalui maya lebih mudah diakses, kesan jangka panjangnya tidak sama dengan bahan bercetak. Bahan bercetak mengandungi lebih banyak maklumat terperinci dan sahih, boleh disimpan dan dirujuk semula apabila diperlukan.

Kerana itu buku atau majalah tetap merupakan sumber bacaan dan rujukan utama. Boleh sahaja mengakses maklumat melalui alam maya tetapi usah lupakan bahan bercetak sebagai ‘primary source’

Berkunjunglah ke PBAKL dan didiklah diri menjadi insan peminat buku. - KitaReporters

 

 

 

6
13
0
12
0
You will be interested