Insan & Komuniti 20 Jul, 2024

Tilam, cadar, tuala dan seluar pendek disita! Premis urut haram diserbu! Selepas dua bulan intipan!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Gambar hiasan


SELEPAS dua bulan menjalankan intipan akhirnya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bertindak menutup dan mengenakan kompaun kepada sebuah pusat urut di Dataran Emas, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu kerana beroperasi secara haram.

Itu pun secara kebetulan pada malam serbuan dibuat terdapat pelanggan yang ingin memasuki premis tersebut dan memberi peluang kepada pihak penguat kuasa untuk bertindak.

Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata, tindakan itu diambil selepas 11 penguat kuasa MBKT menyerbu premis urutan tradisional berkenaan sekitar jam 11 malam pada 16 Julai 2024.


Rosli Latif


Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya telah merampas dan menyita beberapa barangan termasuk enam buah tilam, tujuh helai cadar dan tuala, sehelai seluar pendek dan satu set alatan urut. 

“Dalam serbuan itu juga kita dapati ada enam warga Thailand yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut dan seorang penjaga kaunter," katanya.

Selain itu, katanya, ada tiga pelanggan yang berada di dalam premis tersebut.

"Premis berkenaan dikenakan denda maksimum berdasarkan kuasa kami, sebanyak RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian 2013. 

“Sekiranya denda ini tidak dibayar, pemilik premis berkemungkinan dikenakan hukuman lebih berat iaitu denda sehingga RM2,000 jika dibawa ke mahkamah. Pemilik premis juga diberi tempoh 30 hari untuk menuntut kembali barangan yang dirampas, jika tidak, barangan tersebut akan dilelong. 

"Suka saya ingatkan, MBKT tak akan berkompromi terhadap sesiapa yang melanggar tatasusila dan undang-undang kerajaan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada 18 Julai 2024.

Tambah Rosli, premis milik bukan Islam itu tidak akan dibenarkan beroperasi lagi. - KitaReporters


14
13
0
9
0
You will be interested