Kisah mentua yang tidak suka kepada menantunya bukan hanya kisah dalam filem atau kisah dalam drama. Namun kisah-kisah begini memang benar-benar terjadi dalam kehidupan masyarakat kita. Berdasarkan realiti hidup, isah itu difilemkan dan dibukukan.
Pasti ramai masih ingat kisah Ibu Mertuaku dalam filem P Ramlee yang sangat popular, menggambarkan ibu mentua yang sangat zalim dan membuatkan ramai yang takut bila memasuki gerbang perkahwinan.
Ibu mentua menjadi ikon paling penting dan sangat disegani dalam alam perkahwinan. Ramai berharap mendapat Ibu mentua yang baik dan menganggap menantu seperti anak sendiri.
Mentua wanita dan menantu perempuan sering kita dengar ada konflik antara mereka juga kisah ketidaksesuaian pada awal perkahwinan. Namun tidak dinafikan ada juga mentua perempuan yang baik dengan menantu perempuannya. Ada juga mentua lelaki yang tidak suka menantu lelakinya.
Kisah yang akan saya kongsi pada kali ini ialah kisah seorang wanita yang tidak disukai mentua wanitanya kerana dia bukan menantu pilihan ibu mentuanya.
Suaminya pernah dicadangkan untuk melamar seorang wanita pilihan mentuanya dulu. Namun dia terlebih dahulu berada di hati suaminya. Mereka berkahwin dan mendapat restu keluarga walaupun dia bukan menantu pilihan.
Namun setelah berkahwin, ibu mentuanya seperti tidak puas hati dengan pilihan suaminya. Dia sering mencari kesilapan menantu perempuannya dan merasakan kehadiran menantu perempuannya menyebabkan dia agak tersisih daripada perhatian anak lelakinya.
Wanita ini cuba berbuat bermacam-macam cara untuk memikat hati ibu mentuanya, namun masih gagal. Walaupun wanita ini dan suaminya sudah berpindah rumah setelah berkahwin, ibu mentuanya tetap datang ke rumahnya dan ada sahaja yang dia rasa tak betul mengenai menantunya di mata dia.
Suaminya pula tidak mahu ibunya berkecil hati. Awal-awal dia dah bagi tahu isterinya, ibunya tetap penting dalam hidupnya dan meminta isterinya menghormati serta beralah dengan ibunya.
Demi kerukunan rumah tangga, dia lakukan semua itu, bersabar dengan ibu mentuanya dan sentiasa cuba mengambil hati ibu mentuanya.
Suaminya pernah berkata syurga saya di tapak kaki ibu saya, syurga seorang isteri di tapak kaki suami." Dia faham apa maksud suaminya. Jadi walaupun kadang tu dia rasa kurang senang dengan sindiran ibu mentuanya tapi demi keharmonian rumahtangganya dia tetap bersabar.
Dipendekkan cerita setelah 15 tahun berkahwin, ibu mentuanya tetap keutamaan dalam hidup suaminya. Walaupun adakalanya dia kecil hati dengan sikap suami yang sentiasa berat sebelah pada ibunya, dia menerimanya dengan hati terbuka.
Betullah kata orang mendapat ibu mentua yang baik adalah satu rezeki. Baginya melalui pengalaman 15 tahun menjadi menantu, apa yang boleh dia pelajari ialah, sekuat mana pun kita berusaha untuk masuk dalam keluarga mentua kita tetap orang luar.
Kita kena pandai bawa diri, tahu di mana kedudukan kita. Jangan bergaduh dengan ibu mentua, banyak-banyak bersabar dan tidak terlalu melayan emosi dengan perangai ibu mentua.
Mereka akan menerima kita seadanya, jadi jadilah diri kita yang sebenar-benarnya , tak perlu buat macam-macam cara untuk menyenangkan hati orang lain. Yang penting kita hormat ibu dan ayah mentua kita.
Sebagai isteri kita perlu faham hubungan anak lelaki dan ibu. Jika suami melihat kita sentiasa beralah dan tidak cari masalah dengan ibunya, dia akan menghargai kita sebagai isteri.
Hidup ini satu putaran. Jika kita ada anak lelaki dan anak kita berkahwin, kita juga mungkin akan menjadi seperti ibu mentua kita.
Oleh yang demikian, jalan terbaik adalah memahami ibu mentua kita agar bila menjadi ibu mentua nanti, kita akan lebih bijak menangani masalah dengan menantu dan akan lebih menghargai menantu perempuan kita. - KitaReporters