Insan & Komuniti 17 May, 2024

Program Rumah Ibadat Hijau! NRES sokong usaha jadikan masjid sebagai pusat kelestarian alam sekitar!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


KONSEP masjid hijau harus dilaksanakan secara proaktif oleh pihak masjid di negara ini supaya institusi itu menjadi pusat kelestarian alam sekitar dalam memupuk budaya hijau dalam kalangan semua ahli kariah.

Ketika berucap merasmikan Karnival Masjid Bestari anjuran Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang (BB) 2020, Behrang dengan kerjasama Malaysia Green Technology and Team Change Progression (MGTC) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Nor Yahati Awang berharap institusi masjid memperkasakan masjid hijau di bawah program Rumah Ibadat Hijau yang digerakkan oleh MGTC.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup hijau dan amalan bestari secara berjemaah di samping istiqamah di masjid dan surau sekali gus dapat menyumbang ke arah Malaysia yang lebih hijau serta mampan.


 

Nor Yahati (empat dari kiri) melakukan gimit perasmian Karnival Masjid Bestari, di Masjid Al- Hidayah Bandar Behrang 2020, Perak, pada 11 Mei 2024. 


Menurutnya, premis masjid yang sedia ada dianggap sebagai cekap air, cekap tenaga dan rendah karbon, malah mesra alam dalam mengurangkan impak kepada persekitaran seperti pencemaran serta pelepasan gas rumah hijau.

“Gaya hidup hijau sebegini bukan sahaja mendatangkan manfaat seperti penjimatan kos utiliti bahkan meningkatkan produktiviti masyarakat dan pendekatan teknologi hijau boleh dimanfaatkan dengan optimum,” katanya pada perasmian karnival berkenaan di Behrang, Selangor, 11 Mei 2024

Nor Yahati turut mengalu-alukan sumbangan dan kolaborasi daripada pelbagai pihak supaya program masjid hijau dapat dikembangkan selain NRES menyokong program anjuran masjid kerana ia membantu agenda ke arah kelestarian alam.

“Masjid boleh melaksanakan program masjid hijau setiap tahun atau setahun dua kali kerana ramai orang Islam yang berkemampuan ingin menyumbang secara sukarela kepada masjid.  

“Sebagai contoh, projek penukaran lampu, penghawa dingin yang cekap tenaga, pemasangan sistem panel solar, pemasangan bilik cekap air, projek kitar semula serta pembangunan komuniti oleh pihak masjid boleh dimanfaatkan daripada wang sumbangan ahli jemaah atau masyarakat Islam,” ujarnya.


Rusli Ahmad (empat dari kiri) bersama pegawai MARDI meninjau kawasan tanaman cili padi di Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang 2020.


Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Rusli Ahmad, berkata masjid yang sudah mencapai dua dekad penubuhannya tercetus untuk menyertai Rumah Ibadah Hijau di bawah MGTC, Bank Rakyat serta PSAS sebagai rakan strategik sehingga berjaya menganjurkan Karnival Masjid Bestari untuk kali pertama.

Pengarah program berkenaan, Fauzi Ghani, pula berkata antara aktiviti yang dijalankan dalam karnival masjid bestari itu seperti solat berjemaah; kuliah maghrib, isyak dan subuh serta qiamullail; pertandingan mewarna kanak-kanak; pertandingan memanah; majlis pelancaran karnival masjid bestari; slot ceramah kelestarian alam; dan cekap tenaga.

Terang beliau, pelajar dan komuniti setempat didedahkan mengenai program kesedaran kesihatan oleh  Klinik Kesihatan Tanjung Malim dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) untuk memberi informasi kesihatan. 

“Saya berharap program ini dapat memperkasakan peranan masjid dan membentuk minda ahli kariah supaya lebih berminat untuk mengimarahkan masjid sama ada melakukan ibadah wajib atau aktiviti kebajikan lain," katanya lagi.


 

Nor Yahati bersama ahli Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) yang turut hadir memberi penerangan mengenai kanser payudara. 


Hadir sama pada majlis perasmian itu, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Ir Ts Shamsul Bahar Mohd Nor; Timbalan Pengarah Akademik PSAS, Ts Salhana Sahidin @ Salehudin; serta Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PSAS, Saiful Adli Yusof; dan Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Prof Madya Dr Ghazali Din. - KitaReporters


Peserta pertandingan memanah memperlihatkan kehandalan masing-masing pada karnival itu.

________________

12
8
0
17
0
You will be interested