WALAUPUN tidak dapat menyertai kemeriahan apatah lagi mengikuti perarakan sambutan Hari Kemerdekaan bersempena Hari Kebangsaan ke-66, warga emas yang disisih oleh ahli keluarga serta terdampar tanpa waris tetap disantuni dengan semangat patriotisme.
Bergabung dengan sukarelawan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tetamu lebih 40 warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor tetap bersemangat melaungkan merdeka pada program Majlis Sambutan Merdeka PJMM, pada 31 Ogos 2023 lalu.
Ithnin Jufpri (berbaju merah) menyorong kerusi roda warga emas sebagai gimik berarak meraikan sambutan Hari Kebangsaan di dalam dewan PJMM.
Pengerusi
PJMM, Azman Rasman, berkata, setiap tahun pusat itu tidak pernah lupa untuk
mengadakan acara ini bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan negara supaya semangat
cintakan tanah air sentiasa segar dalam kalangan warga emas.
Menurutnya, walaupun ada antara warga emas terbabit makin kurang ingatan namun rakan-rakan mereka yang lain sentiasa mengingatkan pihak pengurusan supaya diadakan sambutan kemerdakaan negara di PJMM kerana tidak puas sekadar menonton menerusi televisyen sahaja.
Sukarelawan menaikkan bendera Jalur Gemilang serentak dengan warga emas dan tetamu menyanyikan lagu Negaraku.
Tambahnya,
selain itu ada sesetengah warga emas berkenaan sebelum dihantar atau menjadi
penghuni di PJMM adalah kakitangan awam atau swasta yang ketika sihat dahulu
pernah terbabit bersama-sama majikan dalam perarakan Sambutan Hari Kebangsaan.
Jelasnya, apabila PJMM dapat memenuhi hasrat mereka itu warga emas terbabit berasa amat gembira serta terharu kerana dapat mengimbaukan kembali kenangan berarak bersama-sama rakan sepejabat seperti ketika diadakan di Dataran Merdeka dan tempat-tempat lain.
Sebahagian sukarelawan dan warga emas mengibarkan bendera sambil menyanyikan lagu Jalur Gemilang pada program Majlis Sambutan Merdeka, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor pada 31 Ogos 2023.
“Jika
sebelum ini kita adakan perarakan sambil memegang bendera Jalur Gemilang kira-kira 10 meter dari jalan utama ke PJMM
bagaimanapun ia tidak dapat dilakukan berikutan ramai warga emas yang uzur,”
kata Azman yang ditemui pada majlis tersebut.
Majlis itu didahulukan dengan bacaan doa kesihatan dan selamat serta tahlil arwah untuk ahli keluarga juga penghuni sudah meninggal dunia yang diketuai Pegawai Agama PJMM, Ustaz Shafie, dan kemudian diikuti dengan nyanyian lagu-lagu patriotik yang dimulakan dengan lagu Negaraku serta diakhiri dengan jamuan ringan.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, Mohiadin Mahado.
Sukarelawan, tetamu dan warga emas PJMM menyanyikan lagu Jalur Gemilang dengan penuh bersemangat.
Sementara itu Pengerusi Kelab Sukarelawan Hospital Kajang (KSHK), Ithnin Jufpri menzahirkan rasa kagum dengan pengurusan PJMM yang sentiasa gigih menyantuni warga emas di pusta itu dengan pelbagai aktiviti termasuk mengadakan sambutan kemerdekaan negara setiap tahun.
Menurutnya, walaupun menghadapi beberapa kekangan khusus mendapatkan dana bagi menampung kos operasi namun mereka sentiasa peka dengan peristiwa penting sejarah negara yang secara tidak langsung mengukuhkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan warga emas.
“Ada antara
warga emas ini pula mampu mengingati sejarah kegemilangan negara mencapai
kemerdekaan yang ketika itu mereka dalam usia remaja selain kesusahan kehidupan
bersama ibu bapa pada zaman komunis.
“Walaupun tahun ini (2023) tidak dapat dibuat perarakan di atas jalan menuju ke PJMM mereka menunjukkan semangat patriotik apabila bersama-sama mengalunkan lagu Negaraku dan sebagainya,” ujar beliau. - KitaReporters
Warga emas di PJMM tetap bersemangat menyambut Hari Kebangsaan walaupun sekadar duduk di kerusi kerana keuzuran.