Insan & Komuniti 05 Feb, 2026

Ringan tulang! Santuni warga emas di Mahmudah! Pelajar UIS masak makan tengah hari dan minum petang!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Peluang diberikan untuk membuat program ‘Community Credit Fund 2.0’ di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor, sekumpulan pelajar Universiti Islam Selangor (UIS), Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor, menitipkan sokongan sosial, emosi dan moral kepada penghuni di pusat itu.


Nuraleeya Balqis Rahidin dan Sufi Suparti (dua dari kanan) membantu petugas PJMM memasak di dapur.


10 pelajar UIS terbabit melakukan pelbagai tugasan untuk menyantuni warga emas di PJMM serta meringankan bebanan petugasnya dengan tugas harian seperti memasak, membersih pinggan mangkuk, bilik penghuni, surau, membaik pulih kelengkapan dan sebagainya.

Ketuanya, Mohamad Hakimi Md Noor, berkata program yang dianjurkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) itu memberi peluang dia bersama rakan-rakan sukarelawan UIS untuk mempraktikkan tugasan dalam kerja amal kebajikan membantu komuniti di satu-satu tempat.


Beberapa pelajar UIS membersih karpet dan menyusun sejadah dalam surau PJMM.


Menurutnya, langkah itu mendedahkan kami kepada kerja atau tugasan yang memberi manfaat untuk mereka yang dibantu malah menjadikan seseorang sukarelawan mahir melaksanakan tanggungjawab sosial bagi masyarakat.

Tambahnya, kehadiran mereka di PJMM itu secara tidak langsung mewujudkan hubungan erat pelajar dari institusi pengajian tinggi dengan mereka yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melakukan tugas membela nasib warga emas terdampar serta disisih ahli keluarga.

“Saya dan rakan-rakan dapat melihat secara dekat petugas di PJMM ini melakukan tugas penuh kasih sayang menyantuni warga emas tanpa menunjukkan sebarang reaksi atau emosi marah dan sebagainya demi memastikan penghuni itu berasa selesa meneruskan kehidupan,” ujarnya ketika ditemui pada program itu pada 31 Januari 2026.


Mohamad Hakimi Md Nor dan rakannya dengan dibantu petugas PJMM, Hussein (kiri) mengecat semula rak pinggan.


Mohamad Hakimi berkata, dalam kumpulan itu dia mengagihkan tugasan kepada rakan-rakan untuk melakukan kerja di dapur iaitu membantu tukang masak PJMM menyiapkan menu makan tengah hari dan minum petang selain membasuh pinggan mangkuk, periuk digunakan, membersih lantai serta singki.

Jelasnya, sekumpulan lagi pelajar ditugaskan untuk melakukan kerja pembersihan bilik penghuni dan surau daripada sampah sarap dan debu, manakala dia bersama seorang lagi rakan melakukan kerja membaik pulih kelengkapan serta peralatan yang digunakan petugas PJMM.

“Walaupun dilaksanakan dalam tempoh yang singkat kami semua berasa seronok dan terharu dapat membanting tulang membantu PJMM secara sukarela kerana ia memberi ilmu serta manfaat berguna untuk dipraktikkan apabila melakukan kerja amal kebajikan,” katanya.


Mohamad Hakimi (dua dari kiri) bersama rakan-rakan mencuci singki tempat membasuh peralatan dapur seperti pinggan mangkuk, periuk dan barangan mentah untuk memasak.


Seorang pelajar yang ditemui, Sufi Suparti, berkata kehadiran dia bersama rakan-rakan dalam program berkenaan amat tersentuh hati apabila melihat warga emas yang sudah lanjut usia menyuapkan menu makan tengah hari yang mereka masak. 

Terangnya, dalam keadaan kudrat yang semakin lemah warga emas itu menunjukkan rasa bersyukur dapat menjamah makan tengah hari kami sediakan yang sepatutnya dimasak oleh anak atau isteri di rumah jika mereka tidak terbuang di PJMM.

“Dalam benak kepala saya mereka tetap berasa gembira dapat menikmati makan tengah hari seadanya kerana masih ada lagi insan atau orang di luar sana ambil peduli nasib mereka untuk menjaga makan minum setiap hari,” ujarnya.


Mohamad Hakimi (kanan) bersama rakan-rakan melahirkan rasa gembira dapat berkhidmat untuk PJMM.


Rakanya, Nuraleeya Balqis Rahidin, pula berkata walaupun saban hari sibuk dengan kuliah dan berada dalam kelas, program itu memberi kelegaan kepada dia apabila dapat menyantuni warga emas di samping berpeluang mendengar keluh resah mereka.

Menurutnya, walaupun sesetengah warga emas itu terpaksa berkerusi roda untuk bergerak tetapi mereka cukup berdisiplin menggunakan kemudahan yang disediakan termasuk ketika berada dalam surau bersama-sama rakan sebaya.

“Mereka berjaya mencipta suasana selesa ketika menunaikan ibadat solat malah sering saling membantu antara satu sama lain apabila terpaksa menggunakan kerusi untuk duduk yang memberi kesedaran kepada kami iaitu hubungan erat perlu dipupuk dalam apa jua tugasan dilakukan,” ujarnya. - KitaReporters

7
18
0
9
0
You will be interested