Walaupun keselamatan awam menjadi keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kebersihan dan persekitaran kawasan surau dan kediaman warga PDRM tetap diberi perhatian, apalagi menjelangnya bulan mulia Ramadan yang begitu hampir.

Seramai 69 warga PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) mengambil inisiatif mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan Surau Nurul Aman IPD SPU serta kawasan perumahan polis supaya ia lebih kelihatan ceria dan lestari.


Menjelangnya Ramadan yang begitu hampir sudah pasti aktiviti sebegini menjadi rutin di setiap ceruk dan pelosok negara bahkan seantero dunia.
Malah program seumpama ini dapat merapatkan hubungan sesama warga PDRM serta tautan antara satu sama lain dan seharusnya menjadi teladan bagi individu maupun organisasi sedia ada.

Sementara itu, senyum dan ketawa peserta khatan beramai-ramai memecah kesunyian pada pagi Ahad 4 Januari 2026 lalu di Dewan Dato Ahmad Badawi, Bagan, Butterworth apabila mereka dimandikan oleh bomba sukarela.
Tawa hilai anak-anak yang berusia di antara 6 hingga 12 tahun sebagai peserta khatan menggembirakan ibu bapa, waris serta enam orang mudim dan pihak penganjur yang telah siap sedia untuk menjayakan program sebelum sekolah dibuka ini.


Namun begitu sebaik sahaja proses berkhatan bermula suasana senyum serta tawa hilai sudah mulai ditambah dengan suara sedu, sedan dan tangisan.
Para peserta seawal 7 pagi sudah mulai memenuhi ruang bersama keluarga dan waris dengan pelbagai gelagat.
Pecutan terakhir khatan beramai-ramai sebelum musim persekolahan bermula tahun 2026 ini adalah percuma untuk 60 orang bagi meringankan kos berkhatan yang semakin meningkat saban waktu.


Haziq Rizqy Hanafi dan Akif Akmal Mustaqim senantiasa ceria dan tersenyum sebelum proses khatan bermula sehinggalah selesai berkhatan.
Manakala Syaqeef Harraz Syafrie yang ditemui turut bersemangat untuk berkhatan selepas dimandikan beramai-ramai oleh pasukan bomba sukarela. - KitaReporters

