Pada November 2025 kecoh dalam media sosial apabila Malaysia mahu menukar buah kebangsaan daripada betik ke durian. Cadangan ini datang daripada Durian Manufacturer Association (Persatuan Pengeluar Durian atau DMA) untuk menjadikan durian sebagai buah kebangsaan Malaysia.
Namun cadangan
itu telah mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial, khususnya daripada
netizen Indonesia. Malah, Menteri Koordinator Bidang Pangan Indonesia, Zulkifli Hasan, turut memberikan respons keras
mengenai cadangan tersebut.
Cadangan itu dikemukakan oleh Presiden DMA, Eric Chan, yang turut menyarankan agar 7 Julai diangkat sebagai Hari Durian Kebangsaan.

Isu ini menjadi perhatian ramai kerana durian yang sering digelar sebagai ‘raja buah’, mempunyai kedudukan khas dalam budaya dan industri makanan Malaysia.
Namun, perdebatan mengenai buah kebangsaan hanya menjadi pintu masuk kepada perbincangan yang lebih kritikal dan saintifik iaitu ketulenan variasi durian premium Malaysia, termasuk Musang King (D197) dan Duri Hitam (D200) atau yang juga dikenali sebagai Black Thorn atau Ochee, yang sering menjadi rebutan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.
Susulan cadangan
DMA, ruang media sosial dipenuhi pelbagai komen daripada netizen Indonesia yang
mendakwa bahawa variasi premium Malaysia sudah lama ditanam di negara mereka
dan boleh dianggap sebagai milik Indonesia.
“Durian Ochee, Musang King, Duri Hitam sudah
diproduksi masal di Indonesia. Tanah Indonesia lebih subur kerana letusan
gunung berapi.”
“Tanah kalian itu kecil saja. Indonesia sebesar Eropah. Setiap daerah ada pohon durian.”

“Itu durian
Indonesia sebab durian itu tumbuh di tanah Indonesia.”
“Durian Musang
King sudah ada sebelum Malaysia merdeka.”
Dakwaan ini menimbulkan persoalan penting, adakah benar variasi premium Malaysia boleh ditiru di luar negara dan masih mengekalkan kualiti, aroma dan identiti variasi yang sama?

Menjawab kekeliruan ini, Green Genius Resources Corp tampil memberikan penjelasan saintifik yang tegas.
Menurut syarikat tersebut, variasi premium Malaysia tidak boleh diiktiraf hanya berdasarkan rupa bentuk buah atau lokasi penanaman.
Pakar menegaskan dua syarat asas untuk mengesahkan ketulenan variasi durian Malaysia iaitu bahan tanaman mesti berasal daripada pokok induk berdaftar dan pengesahan DNA mesti dilakukan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.
Tanpa dua elemen ini, pokok yang menghasilkan buah walaupun kelihatan serupa tetap tidak dianggap tulen.
Morfologi buah sahaja tidak cukup untuk pengesahan, kerana ciri luaran boleh ditiru tetapi tidak menjamin identiti genetik variasi.

Selain itu, identiti saintifik variasi premium melibatkan analisis mendalam seperti genotip pokok yang memastikan struktur DNA sepadan dengan induk asal. Profil aroma dan kompaun volatil yang membezakan rasa dan bau unik variasi Malaysia.
Morfologi pokok dan fisiologi yang membentuk pertumbuhan, hasil dan kualiti buah. Padanan rekod induk asal yang hanya wujud dalam pangkalan data Malaysia.
Kesemua maklumat
ini dilindungi di bawah Akta Perlindungan Variasi Baru Tumbuhan (PPV),
memastikan variasi premium Malaysia tidak boleh dihasilkan secara sah di luar
negara tanpa kebenaran.
Green Genius Resources Corp menegaskan bahawa negara luar tidak pernah menerima bahan induk sah daripada Malaysia. Maka, penanaman durian yang menggunakan nama Musang King, OCI, atau Duri Hitam di luar negara tidak diiktiraf dan diklasifikasikan sebagai variasi tidak berdaftar.

Pakar
menjelaskan bahawa walaupun buah luar negara mungkin kelihatan serupa dari segi
rupa dan warna, ia tidak mempunyai identiti genetik atau kualiti organoleptik
yang sah, termasuk aroma dan rasa unik yang diiktiraf di Malaysia.
Ini bermakna dakwaan bahawa durian premium Malaysia boleh ditiru sepenuhnya di negara lain adalah tidak tepat.
Penanaman luar negara mungkin menghasilkan buah yang serupa secara visual, tetapi ia tidak boleh digelar Musang King atau Duri Hitam yang sah.
Ketulenan variasi durian premium Malaysia bergantung pada bahan induk, rekod DNA dan pengesahan Jabatan Pertanian. Faktor-faktor ini tidak boleh ditiru atau disalin tanpa melalui prosedur saintifik dan perundangan yang sah.

Walaupun perdebatan mengenai durian sebagai buah kebangsaan menjadi pembuka kepada isu ini, isu utama yang perlu difahami adalah keaslian variasi premium Malaysia tidak boleh ditiru di luar negara.
Penegasan ini penting bagi memastikan reputasi durian Malaysia sebagai antara yang terbaik di dunia terus terpelihara, sekali gus melindungi pengguna dan mengekalkan identiti variasi tempatan yang diiktiraf secara antarabangsa. - KitaReporters