Bagi lebih 1,500 penduduk daripada kira-kira 500 keluarga di enam perkampungan Orang Asli sekitar Bekok, tarikh 11 dan 12 Oktober 2025 pasti menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan.
Sebahagian penduduk Kampung Sri Tempayan, Bekok yang hadir ke Program Ramah Mesra Bersama Orang Asal bergambar kenangan bersama Datuk Tan Lek Khang (duduk tiga dari kanan).
Datuk Tan Lek Khang menyampaikan televisyen kepada pemenang cabutan bertuah di Kampung Sri Tempayan, Bekok.
Pada dua hari itu, mereka diraikan penuh meriah oleh Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Malaysia (PKJPM) menerusi Program Ramah Mesra Bersama Orang Asal, yang diadakan sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia.
Walaupun sambutan sebenar Hari Orang Asal Sedunia diraikan setiap bulan Ogos, kemeriahan program ini tetap terasa biarpun diadakan dua bulan kemudian.
Apa yang menjadikannya lebih istimewa, majlis tersebut bukan sekadar jamuan makan dan sesi ramah mesra, tetapi turut diserikan dengan pelbagai hadiah menarik termasuk barangan elektrik, telefon bimbit, basikal dan enam buah motosikal untuk cabutan bertuah.
Penduduk Kampung Lenek pelbagai lapisan umur keluar memeriahkan program yang meraikan mereka.
Menurut Pengerusi PKJPM, Datuk Tan Lek Khang, program tersebut sepatutnya berlangsung pada awal Ogos lalu namun ditunda kerana bertembung dengan sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.
“Walaupun agak terlewat, saya percaya program sebegini tetap membawa makna besar kerana ia mampu mengeratkan hubungan antara masyarakat luar dengan komuniti Orang Asli.
“Pada masa sama, ia menjadi ruang untuk mereka menyuarakan keperluan dan masalah yang boleh diketengahkan kepada pihak berwajib.
"Paling penting, mereka berasa dihargai kerana turut menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara dengan cara tersendiri,” katanya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Kemidak.
Penduduk Kampung Kemidak diraikan oleh PKJPM semasa Program Ramah Mesra Bersama Orang Asal di kampung tersebut.
Beliau berkata, penganjuran kali ini merupakan edisi kedua selepas program pertama dijalankan pada tahun 2023 di Kampung Orang Asli Kudung.
Berbeza dengan tahun lalu (2024) yang berlangsung sehari di satu lokasi, kali ini PKJPM menjadikannya jelajah dua hari ke enam kampung berbeza bagi memastikan lebih ramai penduduk dapat turut serta.
Hari pertama menyaksikan kunjungan ke Kampung Kemidak, Kampung Sri Tempayan dan Kampung Lenek, manakala hari kedua diteruskan ke Kampung Tamok, Kampung Selai dan berakhir di Kampung Kudung.

Kegembiraan jelas terbayang pada wajah Wan Mohammad Khairi Azwan Wan Karim yang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal.
Setiap lokasi mempunyai atur cara serupa iaitu jamuan makan, sesi ramah mesra dan cabutan bertuah, namun suasana yang terhasil di setiap kampung tidak pernah sama kerana senyuman penduduk menjadi warna tersendiri kepada perjalanan dua hari itu.
Antara yang paling gembira ialah Wan Muhammad Khairi Azwan Wan Karim, 28, dari Kampung Tamok, yang memenangi sebuah motosikal baharu.
“Saya rasa bersyukur sangat. Saya sudah ada motosikal, tapi kongsi dengan isteri untuk ke kebun dan ke pekan. Sekarang, saya nak hadiahkan motosikal ini untuk dia supaya senang urus urusan harian,” katanya sambil tersenyum malu.
Salah seorang penduduk Kampung Sri Tempayan yang bernasib baik memenangi hadiah televisyen.
Sementara itu, seorang lagi pemenang motosikal, Ram Rizal Bogos, 31, dari Kampung Selai, tidak menyangka nasibnya berubah kali ini selepas gagal pada program sebelumnya.
“Saya memang tak sangka boleh menang. Nilai motosikal ini bukan murah dan memang salah satu idaman saya. Sekurang-kurangnya, saya dah tak perlu menabung lama-lama untuk beli motosikal baharu,” katanya berseloroh.
Penduduk Kampung Selai mendaftar untuk mendapatkan nombor cabutan bertuah yang menaawarka hadia barangan elektrik dan motosikal.
Penduduk Kampung Tamok keluar beramai-ramai menjayakan Program Ramah Mesra Bersama Orang Asal anjuran PKJPM.
Bagi penduduk Orang Asli di Bekok, program seperti ini bukan sekadar pesta hadiah atau jamuan makan. Ia menjadi simbol pengiktirafan dan tanda bahawa masih ada pihak luar yang mahu mendekati, memahami dan menghargai kehidupan mereka.
pada penghujung program, tepukan dan sorakan anak-anak kecil yang berlari-lari di kawasan lapang menjadi bukti kecil bahawa kehadiran PKJPM telah meninggalkan kesan besar – bukan hanya pada dua hari itu, tetapi pada hati komuniti yang sering terlindung di balik rimba Johor. - KitaReporters
Penduduk Kampung Kudung yang memenangi hadiah utama cabutan bertuah berupa motosikal adalah seorang remaja perempuan.
Lokasi terakhir Program Ramah Mesra Bersama Orang Asal dI Kampung Kudung antara yang pallng meriah.