Insan & Komuniti 14 Sep, 2025

Johor untuk Johor! 42 inisiatif bernilai RM209j untuk kesejahteraan! Kembalikan hasil kepada rakyat!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this


Kerajaan negeri Johor menegaskan bahawa hasil daripada lonjakan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi Johor bukan sekadar angka dalam laporan rasmi, sebaliknya dikembalikan terus dalam bentuk manfaat yang boleh dinikmati oleh rakyat.


Onn Hafiz Ghazi ketika mengumumkan 42 inisiatif untuk kesejahteraan rakyat pada sesi pengulungan sidang Dewan Undangan Negeri Johor pada 11 September 2025 lalu.  - Kredit foto: Media Digital Johor.


Sumbangan bakul makanan Bantuan Kasih Johor yang diperluas menjadi salah satu yang terkandung dalan inisiatif tersebut. - Kredit foto: Media Digital Johor.


Ia diterjemahkan melalui 42 inisiatif baharu bernilai lebih RM209 juta, melibatkan hampir 1.9 juta penerima manfaat yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor,  Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika sesi pengulungan mesyuarat kedua bagi penggal keempat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada 11 September 2025 lalu. 

Inisiatif untuk kesejahteraan rakyat tersebut dianggap antara yang terbesar dari segi angka dan skop penerima yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut Onn Hafiz, inisiatif tersebut dibahagikan kepada dua fokus utama iaitu 25 langkah khusus yang fokus terhadap usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat, manakala baki 17 inisiatif menumpukan pembangunan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan sosial. 

“Setiap pertambahan hasil negeri akan terus disalur kembali kepada rakyat kerana pembangunan sebenar tidak bermakna jika rakyat tidak merasainya. 

"Apa yang diumumkan ini bukan sekadar angka besar di kertas bajet, tetapi program yang dekat dengan kehidupan seharian rakyat di mana yang menonjol ialah Program Infaq Jumaat Johor dengan peruntukan RM1.72 juta bagi menyokong 132 masjid," katanya.


Jualan Kasih Johor antara inisiatif yang mmbantu rakyat mendapatkan keperluan harian dengan harga yang lebih murah.  - Kredit foto: Media Digital Johor.


Tambahnya, program tersebut bukan sahaja menghidupkan budaya infak dalam kalangan masyarakat tetapi turut memberi sokongan kewangan untuk  menganjurkan aktiviti keagamaan dan kebajikan pada peringkat komuniti.

Selain itu, program Jualan Kasih Johor yang mendapat sambutan baik kerana menawarkan harga barangan asas yang jauh lebih murah berbanding pasaran turut diperluas ke 252 lokasi tambahan melibatkan peruntukan sebanyak RM13.7 juta bagi  meringankan beban kos sara hidup rakyat biasa.

Inisiatif lain termasuk agihan bakul makanan di 56 kawasan DUN bernilai RM5.88 juta, serta tambahan 2,000 komputer riba untuk mahasiswa dengan kos RM5 juta yang merupakan satu langkah penting dalam mengurangkan jurang digital khususnya bagi pelajar daripada golong keluarga berpendapatan rendah.


Turut diberi perhatian adalah pembangunan infrastruktur. - Kredit foto: UtusanBorneo.


Kerajaan Negeri juga memperkenal bantuan one-off RM200 kepada beberapa katogeri iaitu Mahasiswa Anak Johor melibatkan peruntukan RM17.78 juta, pelajar Tingkatan Enam (RM2.2 juta), pemandu e-hailing serta p-hailing (RM7.91 juta) dan warga emas penerima bantuan JKM (RM3.54 juta) sebagai bantuan bersasar yang turut melibatkan golongan rentan serta pekerja GIG.

Sebahagian peruntukan juga turut disalurkan bagi tujuan pembangunan komuniti jangka panjang melibatkan jumlah RM12.61 juta  bagi menyelesaikan 158 isu yang dibangkitkan menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD), manakala RM1.26 juta lagi digunakan bagi tujuan mercu tanda sempena Tahun Melawat Johor (TMJ) 2026.

"Dalam bidang kesukarelawanan pula, seramai 117 sukarelawan Southern Volunteers ditempatkan di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Pasir Gudang dengan sokongan dana berjumlah RM2.02 juta di mana kehadiran mereka mampu membantu meringankan beban hospital kerajaan serta menonjolkan peranan belia dalam kerja komuniti.


Warga Emas penerima bantuan JKM antara yang memperolehi manafaat. - Kredit foto- UTHM News.


"Ini bukan kali pertama Kerajaan Negeri memperkenal program sebegini, awal tahun lalu (2024), Johor menyalurkan lebih RM20 juta inisiatif kepada 200,000 penerima melibatkan peneroka FELDA, masyarakat Orang Asli, ibu tunggal dan pesakit kanser dan kesinambungan ini menunjukkan dasar “hasil untuk rakyat” bukan retorik semata, tetapi sedang diterjemahkan dari semasa ke semasa," katanya.

Segala pengumuman ini dibuat dalam konteks ekonomi negeri yang sedang melonjak di mana Johor merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM56 bilion pada suku kedua tahun 2025 ini yang juga merupakan tertinggi dalam negara selain pertumbuhan KDNK 6.4 peratus tahun lalu yang melepasi purata nasional.


Sumbangan nelayan turut dihargai oeh kerajaan negeri dengan bantuan one off RM 200. - Kredit foto: UtusanBorneo.


Dalam masa sama, Johor juga mencatatkan hasil jualan pertanian bernilai RM27.2 bilion, satu angka yang membuktikan kekuatan negeri ini sebagai pengeluar utama sektor makanan negara dan dengan momentum ini, kerajaan negeri optimis mampu mencapai unjuran hasil RM2.5 bilion tahun ini iaitu rekod  tertinggi dalam sejarah Johor.

Jika diperhatikan, setiap peruntukan yang diumumkan cuba menjawab persoalan besar rakyat hari ini  bagaimana hasil negeri dimanfaatkan. 

Bagi Kerajaan Negeri, jawapannya ialah melalui kombinasi program jangka pendek yang meringankan beban harian rakyat, serta inisiatif jangka panjang yang mengukuhkan ekonomi dan infrastruktur negeri.

"Pembangunan Johor tidak diukur pada nilai pelaburan semata-mata, tetapi sejauh mana hasil itu dapat dirasai oleh rayat secara keseluruhan di rumah, di sekolah, di jalanraya dan di hospital," katanya. - KitaReporters


Masyarakat Orang Asl tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan negeri Johor dan turut mendapat manfaat. - Kredit foto : Airasia.

15
11
0
8
0
You will be interested