Insan & Komuniti 02 Sep, 2025

Geng motosikal besar bersatu! Unite 4 Gempa Bumi! 6k motosikal berkuasa tinggi berkumpul di MAEPS!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Deruman 6,000 enjin motosikal berkuasa tinggi telah memeriahkan suasana program Unite 4 Gempa Bumi (Bersatu untuk Gempa Bumi) yang diadakan buat julung kalinya sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang pada 30 Ogos 2025.



Program yang dianjurkan oleh Violent Storm MG dengan kerjasama 32 buah kelab motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara itu berjaya menarik lebih 10,000 orang pengunjung, yang bukan sahaja terdiri daripada pemilik-pemilik motosikal malah orang ramai dari kalangan pelbagai lapisan masyarat berbilang bangsa, kaum dan agama yang teruja menyaksikan koleksi jentera motosikal berkuasa tinggi pelbagai saiz dan rekaan.

Antara aktiviti yang disediakan termasuk reruai pameran, forum diskusi motosikal, persembahan kebudayaan serta aktiviti cabutan bertuah yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM15 ribu ringgit yang bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah malam.


Nazatul Amin Jaffar


Pengerusi penganjur, Nazatul Amin Jaffar berkata, program ini dilaksanakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan menepis tanggapan negatif dan stigma masyarakat terhadap penunggang motosikal yang dianggap sebagai tidak berdisiplin dan kurang bermoral.

“Matlamat dan juga harapan kami adalah untuk menyatupadukan semua kelab motosikal tempatan yang mempunyai semangat cintakan negara dan patriotik serta jati diri yang tinggi terhadap budaya dan bangsa kita.

"Sebab itu kita amat gembira kerana turut mendapat penyertaan dari Indonesia, Singapura dan Thailand yang juga memberikan sokongan mereka terhadap program ini.

"Alhamdulillah program ini sangat menarik dan kita telah berjaya mengumpul hampir 6,000 buah motosikal selama dua hari ini di Sepang ini,” ujarnya.


Muhamad Irwan Muhamad Mustafa


Sementara itu, para peserta Unite 4 Gempa Bumi menyifatkan program ini sangat bermakna kepada penggemar motosikal berkuasa besar dalam menyambut Hari Kebangsaan dengan semangat patriotik sebagai tanda cinta dan sayang kepada tanah air.

Ketua Kelab Motosikal Skyhawk Malaysia, Muhamad Irwan Muhamad Mustafa berkata program ini juga merapatkan lagi ukhuwah dalam kalangan anggota sambil beriadah dengan aktiviti berfaedah pada hari kelepasan umum.

“Saya rasa program ini amat baik, kami berkumpul kerana berkongsi minat yang sama, saya berharap pada tahun hadapan program ini dapat dianjurkan lagi,” tambahnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


14
9
0
17
0
You will be interested